Theflowersellingboy

Rabu, 2 Januari 2013

Hari Ini Dua Kali Kecewa

Selepas menghantar cucu di taska cyber jaya, seperti biasa saya dan isteri bersarapan pagi. Kali ini kami hendak ubah selera. Tidak bersarapan di kafetaria di tingkat bawah bangunan taska. 

Saya mencadangkan untuk bersarapan di masjid putra. Isteri bersetuju.

Setelah meletakkan kereta di hadapan masjid kami menuruni untuk ke restoran menggunakan 'accelerator'.Dihadapan restoran ialah tasik putra jaya, indah sekali. Kami meninjau makanan dari satu restoran ke restoran yang lain. Tiada yang berkenan.

Akhirnya isteri memutuskan untuk makan roti canai, makanan yang saya cuba elakkan kerana tidak sesuai bagi kesihatan saya. Tapi kata isteri sesekali tidak mengapa. Saya akur, lagi pun sudah lama makanan itu saya ketepikan.

Kami menuju ke restoran nasi kandar kerana disitu kelihatan ada disediakan roti canai.

Berhadapan dengan kami ialah petugas kedai itu yang saya teka bukan warga kita. Mungkin dari Bangladesh atau India. Tidak sempat untuk membuka mulut membuat pesanan, saya terpandang tangan pekerja itu sedang memegang beberapa keping roti canai. Tangan pekerja itu tidak bersarung. Kukunya panjang. Kelihatan dengan jelas tahi kuku yang berwarna hitam pada jari-jari tangannya.

Sungguh menjijikkan. 

Kedua-dua kami cepat beredar menuju ke kedai sebelah. Isteri memesan laksa asam dan saya makan kuih pau berinti kelapa. Maka kecewalah kami terutama isteri yang tidak dapat makan roti canai.

Itu kecewa yang pertama.

Sebelah petang kami ke Bandar Baru Bangi, ke pejabat JPJ untuk membayar saman AES yang zalim itu. Di Putra Jaya tiada kaunter JPJ untuk tujuan bayaran saman.

Kami sampai pukul 3.30 petang. Kami ke tingkat satu untuk membayar saman. Setelah menunjukkan surat saman itu, petugas JPJ menyatakan pihaknya tidak boleh menerima bayaran disebabkan sistem komputernya 'break down'. Beliau minta saya datang esok hari.

Saya menyatakan bahawa saya tidak tinggal di Bandar Baru Bangi. Petugas mencadangkan supaya saya memberi surat saman itu kepada adik atau kakak saya untuk dibuat bayaran pada esok hari.

Menakjubkan sekali cadangan petugas JPJ itu. Macam ahli nujum.

Saya ada saudara mara di bandar baru Bangi? Ehh saya sendiri tidak tahu.

Saya tidak mahu mempersoalkan ketakjuban petugas itu kerana saya tidak mahu mempunyai ciri san sifat seperti itu. Tapi saya bertanya, 'adakah hari esok sistem akan ok'? 

Jawabnya, 'dia tak dapat beri jaminan'. 

Saya bertanya lagi, 'kenapa suruh saya datang esok?'

'Sebelum encik datang talipon dulu', jawab petugas itu selamba dan bersahaja seolah-olah dia tidak menimbulkan kesusahan kepada orang lain.

Saya dan isteri segera turun ke bawah sambil menyatakan perasaan marah.   
  
Antara yang terkeluar akibat dari perasaan marah kami ialah 'pasal saman number satu, cekap. Dah lah mahal , tiga ratus. Nak bayar pula tidak mahu terima sebab sistem komputer rosak. Kalau habis tempoh bayar, kena masuk mahkamah. Zalim'

Kecewa kami yang kedua pada hari ini.  

    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan