Theflowersellingboy

Sabtu, 12 Januari 2013

HKR#KL 112: TAHNIAH KEPADA SEMUA

Seronok. Puas hati. Berbaloi.

Sampai rumah hampir 15 minit pukul 7 petang. Perut baru terasa lapar. Tadi , waktu tengah hari hanya makan roti 4 ketul dan satu botol air mineral yang dibeli di KL Sentral. Licin habis nasi ayam sepinggan yang dihidangkan oleh isteri.

Isteri bertanya, macam mana?

Saya bertolak dari rumah pada pukul 10.30 pagi dengan kereta menuju ke Putra Jaya Sentral. Letak kereta di situ.

Tiket pergi balik LRT dari Putra Jaya ke KL Sentral segera dibeli. Harga M19.00. Kelihatan anak-anak muda dan dewasa serta yang sebaya dengan saya lelaki perempuan yang memakai baju merah R, baju hijau dan baju oren bersama di stesyen untuk ke KL  Sentral. Saya ada teman rupanya. Tapi saya tidak berbucara dengan mereka, mereka pun tidak menyapa saya, seolah-olah kami tidak menuju ke matlamat yang sama.

Ada diantara mereka bergambar ramai dengan menggunakan handphone dan i-pad masing-masing. Nampak canggih. Saya malu nak keluarkan talipon, yang agak ketinggalan kecanggihannya.

Koc sampai pada pukul 11.15 pagi. Dalam koc juga saya tidak menyapa sesiapa. Sampai di KL Sentral menghampiri pukul 12. Mula-mula saya mengikuti arus baju yang berwarna merah , hijau dan oren. Tapi saya fikir lebih baik beli makanan dan air terlebih dulu. Singgah beli 4 ketul roti dan sebotolair mineral. Kos RM4.00.

Beli tiket LRT ke stesyen Masjid Jamek.

Sampai Masjid Jamek 12.30 tengah hari. Sambil berjalan menuju Masjid Negara dengan menyusur tepi sungai sambil mengunyah roti dan meneguk air mineral.

Perjalanan menyusur sungai itu membawa nostalgia kepada saya. Di tepi sungai itulah dulu ada banyak gerai-gerai makan tempat saya makan tengah hari waktu rihat pejabat. Ada dua pejabat tempat saya bekerja dulu, yang terletak berhampiran dengan sungai itu. Pejabat pertama ialah di bangunan Straits Trading dan pejabat  kedua ialah di jam besar, Jabatan Perbendaharaan Malaysia.

Itu cerita 1972 sehingga 1976.

Sekarang semuanya berbeza. Tiada lagi gerai makan ditepi sungai.

Namun begitu keadaan sekarang lebih baik dan selesa untuk kita menyusur tepi sungai. Jalannya dari jenis batu bata interlocking dan ada bahagian-bahaginnya yang berbumbung. 

Saya berjalan tanpa berasa penat. Jalan diantara Agro Bank dan Bangunan Straits Trading ditutup. Terdapat anggota keselamatan yang berkawal. Jadi saya meneruskan perjalanan sehingga Pasar Seni, jalan yang santai tanpa ada rasa bimbang. Lagipun kawasan-kawasan itu adalah tempat biasa bagi saya semenjak bersekolah dan bekerja. Jadi tiada masalah bagi saya.

Saya sampai di Masjid Negara pada pukul 12.45. Sebelum itu terpaksa melalui jalan bawah tanah yang gelap tidak berlampu. Nasib baik ada handphone. Gunakan cahaya handphone untuk berjalan keluar untuk ke masjid. Selamat.

Setelah mengambil wudhu' untuk solat Zohor, saya naik pergi ke ruang solat. Disebelah kiri saya seorang anak muda. Saya minta dia ambil gambar saya dengan menggunakan handphone murah saya tu. Anak muda itu ialah seorang ustaz, bekerja dengan Jakim, Darul Quran, di Kuala Kubu Baru. Berasal dari Kelantan. Disebelah kanan, seorang yang sebaya dengan saya berasal dari Kuala Lumpur.

Anakmuda itu bertanya adakah saya mengikuti himpunan kebangkitan rakyat ini. Saya angguk, dengan menyatakan saya mahu melihat apakah suasana sebenarnya. Anak muda itu meminta pengesahan dari saya sama ada perhimpunan sah atau menyalahi undang-undang (dia gunakan perkataan haram). Sebelum saya menjawab, dia sendiri menyatakan bahawa ini bukan himpunan haram. Sekali lagi saya mengangguk.

Solat Zohor berjemaah dan diikuti dengan solat hajat.

Habis solat saya melangkah menuju stadium. Saya ikuti jalan stesyen kereta api. Bilangan yang berjalan terlalu ramai sehingga membuatkan kenderaan tidak dapat bergerak. Semakin berjalan , bilangan makin bertambah. Keadaannya sama seperti semasa kita berada di Mekah musim haji . Terlalu ramai. Ramai yang ikut arus.

Saya mengambil jalan potong dengan mendaki bukit yang bersemak untuk naik ke padang letak kereta stadium merdeka. Ada seorang anak muda memegang tangan saya , membantu saya agar tidak tergelincir. Terima kasih.

Saya dan ramai orang lagi tidak boleh masuk stadium. Waktu itu sudah hampir pukul 3 petang. Stadium sudah penuh. Tapi saya rasa  tidak berbaloi kalau saya tidak dapat masuk stadium. Saya cari jalan untuk masuk stadium. Ah, nasib baik. Anggota Amal beritahu saya di pintu sebelah hujung stadium masih lagi ada tempat. Saya dengan cepat ke sana. Alhamdulillah, saya berjaya masuk stadium dan dapat pula ruang untuk duduk.

Berbagai pihak memberikan ucapan. Semuanya ucapan ke arah menukar kerajaan untuk mendapatkan kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan menjaga kepentingan rakyat. Kerajaan yang tidak  rasuah, tidak zalim dan tidak menipu.

Disamping ucapan hadirin juga di hiburkan dengan nyanyian oleh penyanyi Ito. Sasterawan Negara A.Samad Said mendeklemasikan sajak.

Sambutan orang ramai sudah diduga. Memberi sokongan kepada perubahan.

Siapa tak mahu harga minyak diturunkan?
Siapa menolak PTPTN dihapuskan? 
Siapa yang tidak mahu AES yang zalim itu dihapuskan?
Siapa yang tidak sudi tol dikurang/dihapuskan?
Siapa yang tidak suka jika amalan rasuah dihapuskan?
Siapa yang tidak sokong agar mahkamah tidak di politikkan?
Siapa yang tak suka penguatkuasan dibebaskan dari camputangan penguasa politik?
Saipa yang tidak gembira khazanah negara diuruskan dengan penuh amanah?
                
Hadirin memberi sokongan yang padu melalui suara-suara menyokong apa saja yang diperkatan oleh pembicara. Mereka membuat gerakan ombak (Mexican Wave) yang sungguh cantik tanda sokongan mereka kepada perubahan yang dicita-citakan.

Mereka juga memberi sumbangan kewangan apabila pengerusi perhimpunan Tn. Haji Mat Sabu merayu supaya para hadirin menyumbang bagi membantu kos penganjuran perhimpunan. Saya sumbang sedikit saja RM10.00, tapi rasa terlalu puas.

Saya keluar dari stadium sebaik saja DSAI selesai berucap. 

Selepas solat 'Asar saya menuju ke stesyen Masjid Jamik untuk ke KL Sentral dan seterusnya ke Putra Jaya.

Saya kena RM2.00 untuk bayaran ruang tempat kereta.

Kos yang saya keluarkan pada hari ini untuk menghadiri Perhimpunan Kebangkitan Rakyat #KL112 ialah seperti berikut:

Tambang LRT Putra Jaya - KL Sentral pergi balik RM19.00
Tambang LRT KL Sentral -Masjid Jamik pegi balik RM2.60
Beli makanan dan air mineral RM4.00
Sumbangan HKR#KL!!@ RM10.00
Jumlah Kos RM35.60

 Murah, terlalu murah bagi satu perubahan dari sebuah kerajaan yang rasuah, zalim dan tidak bermaruah kepada satu kerajaan yang menjanjikan kebaikan.

Tapi ingat jika kerajaan yang baru ini juga tidak senonoh, ianya juga perlu ditendang keluar.         

Satu perkara yang jelas dari perhimpunan ini ialah bahawa jika tiada mana-mana pihak yang memulakan provokasi, perhimpunan akan berjalan dengan tertib dan aman. Tiada pergaduhan, tidak ada kerosakan harta awam, tiada tindakan menerbalikkan kereta polis, tiada semburan pemedih mata, tiada pergeseran dan sakit hati dengan pasukan penguatkuasaan/polis, tiada orang yang perlukan rawatan kecederaan.

Oleh itu sewajarnyalah apa yang telah jelas terbukti pada hari ini, bahawa rakyat berkumpul bukan ada niat untuk membuat kekacauan. Mereka berkumpul untuk menyatakan perasaan mereka sebagai warga negara Malaysia. Mereka tidak pun buat kacau. Dan pihak keselamatan pun menjalankan tugas tanpa apa-apa tekanan malah mereka bersama-sama membantu agar  rakyat yang berhimpun berada dalam keadaan selamat.

Terima kasih kepada yang berhimpun, terima kasih kepada pasukan keselamatan. Ini negara kita. Sama-sama kita jaga.

Hari ini kita telah buktikan bahawa kita boleh hidup bersama. Tahniah kepada semua.

#Tambahan: Kalau ada pihak yang kata kehadiran hanya 45,000 orang, maka berbohong besarlah orang/pihak itu. Saya tidak tahu hendak anggarkan. Tapi saya cuma beri gambaran begini: Kalau ada sesiapa yang telah menunaikan haji, saya beritahu bahawa keadaannya hampir sama dengan yang berlaku dalam perhimpunan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan