Bagaimana hendak menjadi orang otak yang kreatif?
Kita selalu mendengar cakap-cakap orang, orang yang pandai dan yang kurang pandai bahawa pelajar-pelajar kita tidak kreatif. Mereka belajar secara menghafal saja. Tidak punya daya kreatif dan analisis yang baik.
Saya tidak pasti sama ada kenyataan itu benar atau sebaliknya. Tapi saya ada satu saranan kearah menjadikan seseorang itu mempunyai daya kreativiti yang baik. Caranya ialah melalui penciptaan pantun Melayu .
Jangan pandang rendah orang yang mencipta pantun!
Galakkan pelajar merekacipta pantun menurut imiginasi mereka. Biarkan mereka berimiginasi ke tahap gila sekali pun. Maksud saya pantunnya itu semacam tidak masuk akal. Mungkin pada kita tidak masuk akal dik kerana kita mempunyai daya imiginasi yang rendah. Biarlah mereka berimiginasi tanpa batasan, melepasi daya fikir logik.
Maksudnya mereka juga berfikir. Tapi daya berfikir mereka membuatkan sebahagian orang mengatakan dianya gila. Sebenarnya orang yang mengatakan gila itu tidak mampu menjangkaui fikiran orang yang dikatakan gila itu.
Orang-orang macam inilah yang sanggup membuat dan menerima perubahan. Bagi mereka bukan hanya ada satu cara sahaja dalam mengharungi sebuah kehidupan. Dan tidak hanya itu saja caranya yang perlu kekal selama-lamanya.
Oleh itu sekarang saya mahu mencipta satu pantun menurut imiginasi saya. Saya tidak ambil kira faktor logik. Saya cipta mengikut apa yang saya mahu.
Saya cipta sebuah pantun empat kerat:
Buah Nangka diatas guni
Sabun tersedia di rumah sahabat
Sudah dijangka jadi begini
Racun yang bisa dijadikan ubat.
Dalam banyak-banyak buah saya gunakan Buah Nangka (BN) yang terletak diatas guni sebagai pembayang bagi maksud yang hendak disampaikan.
Saya percaya semua orang kenal BN. BN ini adalah buah yang bergetah, baik yang sudah masak atau yang muda. Sesiapa saja tidak dapat elak dari kena getah BN ini, jika memegang atau memetiknya. Sama ada kita suka atau tidak suka, apabila bersentuhan dengan buah ini kita tetap terkena getah.
Pakai sarung tangan? Sarung tangan pun akan terkena getah. Tapi tangan yang bersarung itu tidaklah kena getah BN itu.
Datuk nenek kita dulu-dulu pun menyatakan perkara yang sama tentang cara mengelakkan dari tangan kena getah. Cuma bezanya bukanlah dengan memakai sarung tangan.
Caranya ialah melalui daya imiginasi mereka melalui kias bahasa, pepatah dan petitir. Kata mereka , "Lain orang yang makan nangka (BN), lain orang yang kena getah".
Kata-kata itu bermaksud orang atau pihak lain yang melakukan sesuatu kesalahan, orang atau pihak lain yang dipersalahkan atau mendapat nama tidak baik.
Kita gunakan sarung tangan untuk mengelak dari terkena getah. Itu pemikiran logik. Betul dan benarlah pemikiran seperti itu.
Tapi orang dulu-dulu menggunakan imiginasi menyatakan sebaliknya bagi menyampaikan maksud bahawa yang sepatutnya yang kena getah ialah orang yang memakan BN itu. Hebat cara pemikiran orang dulu-dulu.
Getah BN amat susah untuk ditanggal.
Pembayang kedua menggunakan sabun yang disediakan di rumah sahabat.
Sabun adalah antara agen pelupus yang boleh membersihkan atau melupuskan getah BN tadi. Sebab itu tuan rumah yang memang sudah maklum akan keperluan untuk menanggalkan getah BN tadi telah menyediakan sabun.
Tapi sabun ini mesti digunakan sebaik-baiknya. Jangan hanya dibuat perhiasan dan tidak digunakan. Atau disorok.
Kedua-dua pembayang ini ada kaitan yang rapat antara satu dengan yang lain. Antara BN yang bergetah dengan sabun yang boleh melupuskan getah itu. Saya rasa satu ciptaan yang baik juga.
Angkat bangkul, saya nampaknya.
Kita lihat pula maksud pantun empat kerat tadi iaitu,
Sudah dijangka jadi begini
Racun yang bisa dijadikan ubat.
Memanglah semua orang tahu bahawa buah yang dipegang itu adalah buah dari jenis yang bergetah. Oleh itu kesannya telah diketahui lebih awal.
Tapi masih lagi ada pihak atau orang yang masih mahu memegang atau memakan BN itu. Mungkin disebabkan rasanya yang manis atau sedap walaupun mulut akan terkena getah. Mereka tidak kisah diserang angin dalam perut atau angin yang mencucuk-cucuk sudu hati, yang sangat menyakitkan. Sakit perut pun tidak jadi hal.
Mereka yang memakan BN itu sudah maklum atau sudah jangka akan kesan yang disebutkan itu. Tapi kerana terlalu sayang kepada buah bergetah itu, BN itu tetap tersemat pada hati dan sanubari.
Sikap sedemikian membuatkan mereka percaya bahawa sekalipun buah itu seperti racun yang berbisa, ianya tetap menjadi ubat kepada mereka.
Macam mana pantun ciptaan saya itu. Kreatif? Jangan pula ada yang kata saya belum cukup akal.
Sekali lagi saya tulis,
Buah Nangka diatas guni
Sabun tersedia di rumah sahabat
Sudah di jangka jadi begini
Racun yang bisa dijadikan ubat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan