Theflowersellingboy

Khamis, 17 Januari 2013

Kerinduan Dalam Mimpi

Sudah dua belas purnama saya meninggalkan rumah. Entah macam mana gamaknya keadaan rumah itu. Atapnya mungkin sudah tiris. Catnya sudah pudar. Rumput rampai tumbuh meliar. Pokok-pokok bunga mati tidak bersiram, hanya menunggu belas ikhsan dari awan mendung menurunkan hujan. Sicicak dan silipas semakin membiak berlari-lari disetiap ruang rumah dengan bebas. Sitikus? Entahlah, mungkin berkejaran di ruang dapur kerana tidak mungkin ada kucing yang mahu mengintai dan menumpang teduh kerana tuan rumah sudah lama menghilang. Tidak mungkin ada rezeki  disitu . Sitikuspun sudah pandai menari break dance, tak terlarat si kucing untuk menari sama.

Teringat akan saya sebatang pokok durian di pinggir dapur tempat jemuran pakaian. Sudah berbuah gamaknya, kerana di pasar raya tadi ternampak isi-isi durian dijual,tiga ulas sepuluh ringgit. Ah, jadi makanan beruk dan tupai? Biarkanlah . Itukan makanan kegemaran si binatang-binatang itu. Saya pula tidak sudi untuk menjenguk barang sekejap. Sudah tentu pokok  durian itu lebih rela buahnya dimakan dik binatang-binatang itu kerana binatang itu pandai menghargai penat lelah dia berbuah.

Pokok mangga disebalah pokok durian yang dulunya rajin berbuah, mungkin terus berbuah. Wah, untung lagi si monyet dan situpai. Nasib kau lah binatang.

Dataran kecil depan rumah dari batu interlocking bercorak hitam merah , gamaknya sudah di tumbuhi rumput-rumput liar, daun semalu dan rumput-rumput merayap yang lain. Mungkin batu interlocking itu telah tidak mudah kelihatan, semuanya telah liputi oleh tumbuhan rumput rampai itu.

Lampu-lampu diatas pagar didepan rumah? Semuanya terbakar? Pintu pagar, rasanya masih berfungsi lagi. Masih lagi boleh menghalang anjing atau orang-orang untuk memasuki kawasan rumah, kecuali orang itu berniat jahat, memanjat pintu pagar. Ah kalau ada yang berbuat begitu...... . Saya harap tiada orang yang berniat seperti itu. Semoga Allah melindungi rumah itu dari dicerobohi.

Sesungguhnya saya amat merindui rumah itu. Saya mesti balik segera. Paling lambat pada esok hari. Selepas ambil  si Siti di KLIA, saya mesti terus balik. Tak sabar rasanya. Si Siti pun dah lebih dua belas  purnama tak tengok rumah itu. Jadi sama-sama ada kerinduan.

Lagu The green green grass of home masih lagi berkumandang dari laptop saya. Oh saya terlelap seminit dua. Sempat juga merindui rumah dalam mimpi..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan