Theflowersellingboy

Rabu, 23 Januari 2013

Menu Sekolah dan Menu Rumah

Menu  sarapan pagi, dua keping (slice) roti dan oats bercampur susu sungguh tidak menyelerakan. Sudah tiga hari menu yang sama disediakan. Muak dan menjemukan. 

Si Tan Boon Chuan merungut katanya macam makanan untuk diberikan kepada anjing. Saya menganggukkan kepala tanda setuju. Pelajar-pelajar yang lain pun nampaknya tidak berselera. Makanan yang terhidang diatas meja ditinggalkan begitu saja, ramai  yang merungut tidak puas hati.

"Kita kena komplen. Macam ni tak boleh jadi. Dia orang ingat kita ni macam anjing". Tan mengoyakkan sehelai kertas dari buku latihannya. Dia duduk dan menulis sesuatu. Kemudian kertas itu diberikan kepada saya. Saya menganggukkan kepala tiga kali anggukan sambil menunjukkan ibu jari kanan yang menegak. "Setuju, aku setuju" .

Tan meletakkan nota diatas meja makan dan mengambil  piring yang berisi roti dua keping itu bagi menindih kertas itu agar tidak diterbangkan angin. Kami berharap nota yang berbunyi, 'Makanan ini layak diberikan kepada anjing saja', akan memberi amaran kepada tukang masak yang menyediakan makanan itu.

Kami berdua meninggalkan dewan makan dengan perasaan bangga dan puas hati diatas sikap berani kami memberi amaran kepada tukang masak. Padan muka mereka. Kami ketawa sambil berjalan menuju ke kelas.

Waktu makan tengah hari, kami duduk dimeja makan yang sama. Kami makan begitu berselera sekali. Masakan ikan sadin dan sayur nenas masak lemak kuning. Tan makan dua kali tambah nasi. Saya seperti biasa saja, sepinggan sudah cukup. 

"Pagi tadi awak ke yang duduk dimeja ni", seorang tukang masak bertanya memandang kearah kami berdua bergilir-gilir.  

"Ya, apa hal", jawab Tan begitu cepat sekali. Tan mahu segera tahu. Kalau fasal nota itu, inilah peluang si Tan untuk membantai si tukang masak yang beri makanan anjing itu.

"Awak yang tulis ni?" 

Tan segera berdiri dan dengan bangga mengaku bahawa dialah yang tulis. Tan memarahi tukang masak itu kerana memberikan makanan anjing itu kerana katanya kami semua ini bukanlah anjing. Anjing pun tidak sanggup makan makanan seperti pagi tadi.

Merah padam muka tukang masak itu . 

"Saya tukang masak. Menu makanan ini pihak sekolah yang sediakan. Kalau tak puas hati komplen pada pihak sekolah. Saya pun dah beritahu kepada Ketua Murid".

Tukang masak itu terus meninggalkan meja makan menuju ke dapur. Muka Tan segera menjadi pucat. Muka saya sama juga.

"Matilah", kata Tan.

"Berani buat berani tanggung", saya memberi kekuatan kepada Tan.

Kami berjalan longlai, keluar dari dewan makan menuju ke dom masing-masing
 
Saya berbaring diatas katil.

Apakah kemungkinan yang akan berlaku? Sudah tentu kami akan dipanggil oleh ketua murid itu. Sudah tentu kami kena marah.Kena hukum dengan dibawa kes ini ke peringkat lebih tinggi. Menghadapi guru disiplin. Berdepan dengan guru besar. Naik ke atas pentas pada hari perhimpunan untuk dirotan dan dimalukan. Public canning?

Aduh malunya.
 
Baru saja minggu lepas, saya naik ke atas pentas dewan sekolah. Kawan-kawan dan pelajar-pelajar serta guru-guru yang hadir pada Malam Karyawan Muda memberikan tepukan yang gemuruh. Saya adalah pemenang penulisan cerpen. Saya pelajar tingkatan empat, tingkatan yang paling rendah disekolah mengalahkan pelajar-pelajar tingkatan lima, enam rendah dan enam atas.

"Tahniah", kata Cikgu Adibah. Saya menyambut tangan cikgu Adibah sambil tersenyum bangga. Kami bersalam. Tangan cikgu Adibah sungguh lembut sekali menyambut tangan saya yang keras kematu. Maklumlah, anak orang kampong. Nak makan pun terpaksa mendapat belas ikhsan orang, banyak berhutang.

Ya, setiap kali mendapat gaji pada hujung bulan, bapa saya akan membayar hutang. Hutang membeli barang-barang keperluan harian termasuk beras dan makanan yang lain. Tapi gaji lebih kecil dari hutang. Tidak pernah gaji itu sempat dibawa balik ke rumah kerana Si Tamby, pekedai tempat berhutang itu telah sedia menunggu dipintu  pagar pejabat tempat bayaran gaji. 
  
Duit gaji menjadi duit hutang.

Atas modal pengalaman hidup inilah saya menceritakan dalam cerpen yang menang pada malam karyawan muda itu. Sebuah cerpen bertajuk Duit Hutang.

Aiman bercita-cita tinggi. Dia tidak mahu jadi seperti Daud, Kassim dan Zuki, kawan pengembala lembu di kampongnya. Semua kawan-kawan itu telah berhenti sekolah. Bersekolah setakat darjah enam saja. Mereka menorih getah, menolong bapa masing-masing.

Aiman mahu belajar lebih tinggi. Aiman mahu masuk sekolah asrama penuh. Mahu masuk universiti. Mahu kerja pejabat jadi pegawai, bertali leher. Aiman sudah jelak makan nasi dengan garam saja. 

Selalunya Aiman akan ke belakang rumah memetik beberapa biji cili api. Kemudian mencari-cari bawang merah didalam bekas yang terselit diatas para. Habis sepinggan nasi dimakannya berulamkan cili api dan bawang merah. Perutnya buncit mengening, terlalu kenyang.
    
"Kau tak sembahyang Zohor ke?"  Ismail, kawan dikatil sebelah menegur.

"Aduh, Zohor? Allah" . Saya bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Kelas persediaan tengah hari dan minum petang tidak menghilangkan kerisauan  saya dan Tan akan kemungkinan dipanggil oleh ketua murid pada sebelah malam nanti. Apa yang akan terjadi. Public canning? Itu yang menguasai otak kepala saya.

Waktu makan malam, saya dan Tan duduk dimeja makan yang sama. Sebelum doa makan dibacakan, seorang pengawas menghampiri kami dan meminta kami berdua datang ke bilik pengawas sebelum menghadiri kelas persediaan malam.

Selepas solat Maghrib saya bersiap-siap untuk  ke kelas. Tan telah sedia menunggu di koridor. Dia terlalu resah dan meminta fikiran saya apakah jawapan yang patut diberikan. Saya jawab mudah saja. Minta maaf, lain kali tidak akan buat lagi.

Tapi Tan tidak yakin jawapan seperti itu mudah diterima. Sudah tentu perkara ini akan dibawa ke pihak lebih atas, kepada guru disiplin atau guru besar. Kami berdua akan dipanggil naik ke pentas dewan pada hari perhimpunan pagi pada setiap hari Isnin. Kami akan dimalukan dan dirotan dengan disaksikan oleh pelajar dan guru-guru dalam perhimpunan itu nanti.

Saya cuba tidak mahu percaya sampai ke tahap itu tindakan akan diambil. Ini adalah kesalahan kami yang pertama. Sebenarnya kami marah kepada tukang masak dan bukan pihak sekolah.

'Tak mungkin, tak mungkin dihukum seperti itu', perlahan-lahan suara itu keluar dari mulut saya. Tan memandang saya. Dia tidak berkata apa-apa.

Tan mengetuk pintu bilik pengawas. Kebenaran masuk diberi. Saya memberi salam. Telah sedia ada dua orang pengawas sedang duduk disebuah meja empat persegi. Kami di persilakan duduk berhadapan dengan mereka berdua. Tapi pengawas di dewan makan yang mengarah kami datang tidak ada.

Kami diminta memperkenalkan diri.

"Kamu, cerpenis muda. Buat kelakuan tak senonoh. Kamu fikir kamu orang kaya. Makan sedap-sedap. Apa, roti dan oats tu makanan anjing?" Pengawas yang betul-betul berhadapan dengan saya, meninggikan suara, marah sambil membuat perlian.

"Saya minta maaf. Lain kali saya tak buat", saya cepat-cepat mengaku kesilapan dalam nada merayu.

Kedua-dua orang pengawas itu semakin naik berang. Suara semakin meninggi. Tan pula senyap membisu.

"Kamu berdua ni mengada-ngada. Tak sedar diri datang dari kampong. Apa menu sarapan pagi kamu dirumah. Roti disapu majerin?" Pengawas yang sebelahnya bersuara.

Kedua-kedua saya dan Tan tunduk muka. Malu tak terkata-kata. 

"Apa menu sarapan pagi kamu dirumah?" Diulang lagi pertanyaan tentang menu sarapan kami dirumah.

"Oiii kamu cerpenis muda, apa menu kamu?" Saya mengangkat muka memandang pengawas yang mula-mula bersuara tadi.

"Minta maaf, kami bersalah. Saya berjanji tak akan buat lagi". Rayuan kali kedua saya. Kedua-dua pengawas itu ketawa. saya tidak tahu mengapa mereka ketawa mendengar rayuan saya itu.

"Saya tanya apa menu. Tak kan tak faham", ulangnya lagi.

"Sebenarnya, saya yang tulis. Bukan kawan saya ni", Tan mahu mengambil tanggungjawab. Saya memandang wajah si Tan yang semakin pucat lesi. Tan mengambil tanggungjawab, bermakna dia seorang yang akan dihukum dan saya terlepas. Saya rasa tidak adil begitu, sebab saya juga memberi ransangan diatas keberaniannya itu dengan menyatakan 'bersetuju'. Saya juga bersubahat.

"Ok, kamu berdua telah membuang masa kami berdua. Masa kamu juga terbuang. Patut sekarang ini kamu telah berada dalam kelas persediaan malam", pengawas yang berhadapan dengan saya mula melembutkan suara. "Kali ini kami tidak mahu bawa ke atas. Kamu boleh balik kelas", tambahnya.

Saya dan Tan cepat-cepat mengeluarkan kata-kata terima kasih dan pergi bersalam dengan mereka.

Sebelum melepasi pintu bilik pengawas itu, langkah kaki saya terhenti apabila saya terdengar seorang dari pengawas itu berkata, "Aiman, pagi esok nanti petikkan saya cili api dibelakang rumah. Bawa juga sebiji bawang merah. Saya nak buat ulam waktu sarapan pagi".

Tan memandang saya, "Minta maaf, aku menyusahkan kau". Kami terus melangkah menuju kelas.     

 

   

  
   
  



    
     
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan