Theflowersellingboy

Khamis, 3 Januari 2013

MELAYU: Jenama Pelbagai Guna (3)

-sambungan dari paparan semalam-
Jelas sudah kegunaan utama dan pertama jenama Melayu ialah untuk berada dan kekal di barisan hadapan. Ertinya untuk berkuasa dan kekal berkuasa. 

Tanpa menggunakan jenama Melayu tidak mungkin boleh berada dan kekal di barisan hadapan. Dan dengan menggunakan tema Demi Melayu dan Ketuanan Melayu, mereka di barisan hadapan akan 'berjuang' bermati-matian untuk mempertahankan kelangsungan Melayu itu.

Kelangsungan Melayu itu bersamaan maknanya dengan kelangsungan kelompok yang berada di barisan hadapan. Dan Demi Melayu itu bermaksud demi kepentingan mereka untuk sentiasa menjadi tuan, berselindung di sebalik Ketuanan Melayu. Kerana jenama Melayu saja yang boleh memungkinkan mereka duduk di barisan hadapan. Mereka mahu sentiasa berada dan kekal disitu. Disitu banyak kecerahan.

Disitu ada kecerahan. Satu lagi kegunaan penting jenama Melayu.  Kegunaan menguasai kedudukan yang boleh hidup bermewah.

Gunakan sebaik mungkin jenama Melayu , agihan kecerahan sudah pasti datang bersama.

Ertinya pengguna jenama Melayu ini amat meluas sekali, tidak terbatas kepada orang Melayu saja. Semua golongan Melayu dan bukan Melayu boleh mendapat menfaat jika tahu cara dan selok belok untuk menggunakannya. 

Asalkan ada jenama Melayu, banyak perkara jadai mudah. Dapat bantuan mudah, dapat kontrak mudah, dapat projek mudah dan segala-galanya dipermudahkan. Naik pangkatpun mudah.

Hapus kira dan melupuskan hutang pun mudah.
  
Sebab itu adanya projek AliBaba, ada projek proksi, ada projek berasaskan penentuan peratusan komisyen, ada projek lembu kebangsaan dan berbagai lagi yang jenama Melayu mesti diseret bersama. Sudah tentu  alasan bersama itu di perkuatkan dengan dasar 'sama sama menang' ( win win).

Cuma peluang untuk bersama berbeza mengikut struktur dan hiraki. Lebih dekat dengan barisan hadapan , peluangnya lebih cerah. Dan yang jauh ke belakang dari barisan apatah lagi yang diluar barisan, biasanya hanya boleh pandang-pandang. Maka mereka ini ada yang simpan geram.

Sekali lagi diingatkan , semuanya tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Mesti dalam barisan, dan yang terbaik sekali jika berada di barisan hadapan dan dekat dengan barisan hadapan. Tidak kira Melayu dan bukan Melayu.   

Sesungguhnya nampak seolah-olah bahawa jenama Melayu ini diberikan kedudukan dan tempat yang terbaik. Semua orang sukakan jenama Melayu.

Persoalannya sebenarkah Melayu , jenama serba guna ini boleh memberi kekuatan kepada orang Melayu? Benarkah ianya boleh membina daya tahan orang Melayu? Benarkah ianya satu cara untuk kelangsungan generasi Melayu? Benarkah ianya satu perjuangan Demi Melayu, Demi Ketuanan Melayu.

Kalau kita jadi tuan maka mengapa pula kita perlu merintih sedih atas nasib diri yang masih miskin ditanah air sendiri?

Ada yang tidak kena dengan perjuangan kita itu.    


Maka sudah sampai masanya kita buat penjenamaan baru, 'rebranding' seperti yang dilakukan keatas jenama-jenama produk yang lain agar kita orang Melayu berwajah baru, menjadi berguna dan bermakna kepada negara Malaysia. 

Kita tidak mahu jadi Melayu sama tarafnya dengan jenama penjual ubat jalanan yang serba guna itu. Lihat saja apa yang telah terjadi: penjual ubat jalanan itu semakin hari semakin pupus walaupun sesekali muncul mengiburkan hati para pendengar atas retorik dan kepetahan mereka berbicara. Saya antaranya yang terhibur tapi hanya itu saja gunanya. Saya melangkah keluar meninggalkan si penjual ubat jalanan itu tanpa membeli ubat yang disyarahkannya. Ya ubat serba guna.   

 
 

 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan