Syabas kepada mahasiswi bernama Bawani dari UUM!
Jangan begitu kelakuanmu wahai pengerusi wanita suara 1 malaysia! Malu, amat memalukan!
Listen, listen , listen : khas untuk Bawani, dan sudah tentu maksudnya dipanjangkan kepada mahasisswa yang lain yang berada dalam forum berkenaan.
Kamu semua kucing kurap: untuk saya dan kawan-kawan yang mendengar satu syarahan dari pensyarah jemputan, seorang orang besar kerajaan.
Memandang rendah dan menghina seseorang yang tiada kedudukan atau orang kecil satu perkara yang masih berterusan. Kelakuan dan tabiat yang menjijikkan dari orang besar berkedudukan.
Itu yang telah berlaku kepada Bawani. Saya telah lebih awal mengalaminya.
Apalah ada pada Bawani, seorang mahasiswi yang belumpun lagi tamat pengajian. Budak setahun jagung! Ubun-ubun masih lembek.
'Dia tidak kenal siapa Aku? Bukankah Aku ini PENGERUSI SUARA WANITA 1 MALAYSIA. Lihat siapa yang lebih tinggi'. Begitu agaknya suara hati yang menyombong.
'Siapalah saya, pegawai muda mentah berbanding Dia seorang Menteri Besar'. Suara hati yang hari ini saya ceritakan.
Maka orang kecil-kecil, orang rendah taraf dan kedudukan, mahasiswi seperti Bawani dan kawan-kawannya, dan saya dan kawan-kawan pegawai muda yang baru saja mendapat kerja, layak diperlakukan sebegitu rupa.
Itu prinsip yang dipegang oleh dua manusia yang berlainan ,pada zaman yang berlainan, dengan tabiat dan kelakuan yang sama. Ego terlalu tinggi. Sombong.
Saya telah menonton video forum di UUM itu. Saya tidak nampak perkara yang dibangkitkan atau yang ditanya oleh Bawani ini sesuatu yang boleh menimbulkan rasa kurang hormat pengerusi itu terhadap anak muda itu. Tiada apa yang salahnya.
Bawani sewajarnya dibenar untuk terus mengeluarkan pandangannya, menghormati haknya sebagai seorang yang menyertai forum tersebut. Berbeza pandangan atau bertanya sesuatu isu dalam sesuatu forum, bukanlah satu kesalahan yang melayakkan pengerusi suara wanita 1 malaysia untuk melarang Bawani dari meneruskan ucapan apatah lagi memperlekehkan mahasiswa itu.
Adakah hanya dianya seorang mahasiswa, maka pengerusi suara wanita 1 malaysia itu boleh melakukan sedemikian rupa, meminta anak muda itu berhenti dari bersuara? Dan dengan angkuh mengeluarkan kata-kata listen,listen,listen seolah-olah si Bawani itu tidak mempunyai pendengaran yang baik.
Pengerusi suara wanita 1 malaysia itu terus menyerang Bawani. Keangkuhannya itu, maksud saya keangkuhan pengerusi suara wanita 1 malaysia, telah gagal untuk membaca air muka anak muda itu. Beliau dengan sopan, berdiri dan mendengar penuh fokus akan segala perlekehan yang ditimpakan keatasnya. Beliau begitu tenang, tidak sedikitpun menunjukkan perlakuan kurang hormat. Beliau dapat menguasai diri, dan tidak marah.
Sebaliknya lihat saja lagak dan gaya pengerusi itu, termasuk intonasi suaranya dan pilihan kata-kata serta biji butir yang dihamburkannya. Ada yang tidak kena dan tidak sepadan dengan taraf dan kedudukannya itu. Pengerusi sebenarnya telah ditawan oleh emosi keangkuhan yang menebal hanya kerana dia seorang pengerusi yang merasa lebih tinggi dari Bawani seorang mahasiswi setahun jagung yang pada anggapannya boleh dilenyek sesuka hati.
Dia mahu dihormati kerana kedudukannya lebih tinggi. Dia tidak boleh menerima perbezaan pandangan kerana pandangannya saja yang mutlak benar. Sesungguhnya amat malang sekali, masih ada lagi manusia berkelakuan seperti ini, pada millinium ini.
Sepatutnya pengerusi itu ada sedikit perasaan hormat kepada Bawani. Sedikitpun sudah cukup kalau Dia mahu menerima hormat dari orang lain.
Itu hal yang menimpa Bawani.
Dulu, pada zaman saya, pada tahun-tahun awal 70an, saya juga mengalami perkara yang sama. Tidak banyak beza.
Seorang orang besar (Telah meninggal. Semoga Allah mengampunkan dosanya) berkedudukan sebagai menteri besar sebuah negeri telah mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya dan tidak sepadan dengan kedudukannya, kepada orang-orang yang dianggap sebagai orang kecil semacam saya dan kawan-kawan saya.
Kami adalah peserta kursus . Pihak penganjur telah menjemput orang besar ini (dianya memang terkenal dan selalu dipanggil sebagai penceramah) untuk memberikan syarahan. Saya lupa tajuk syarahannya, tetapi mengenai Rasuah.
Ini adalah kali kedua saya mendengar syarahannya.
Dalam syarahannya antara lain dia berkata: "Kamu semua jangan hendak merasa besar diri. Kamu semua adalah kucing kurap. Kamu....... kucing kurap". Lebih kurang begitulah susunan ayat dan perkataan yang telah dikeluarkan oleh orang besar itu. Diulang entah berapa kali perkataan kucing kurap, ditujukan kepada kami semua.
Saya tidak tahu sama ada kata kucing kurap itu bertujuan untuk menghina atau hanya sebagai ingatan kepada kami semua agar jangan mudah merasa besar diri. Dia dan Allah saja yang tahu.
Apa pun maksud yang ada dalam hati orang besar itu, saya merasakan tidak wajar perkataan kucing kurap dikenakan kepada kami pegawai muda. Katakan niat beliau adalah baik iaitu agar jangan merasa besar diri, atau lupa diri tapi saya merasakan ada cara lain yang lebih tertib sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang menteri besar untuk menyampaikan nasihat dan ingatan.
Oleh kerana saya telah pernah mendengar kata-kata dan ayat-ayat itu sebelumnya dari orang yang sama, maka rasa ingin tahu telah membuatkan saya bertanya kepada pensyarah jemputan itu , mengapa menganggap kami semua sebagai kucing kurap.
Oleh kerana perkara yang disentuh adalah berkaitan dengan rasuah, saya juga memberi pandangan bahawa orang politik yang berkuasalah yang selalu mengamalkan rasuah dan terlepas dari hukuman, sedangkan orang kecil-kecil seperti kerani dan budak pejabat selalu menjadi sasaran apabila bercakap tentang rasuah.
Mahu tahu apa yang terjadi?
Melenting marahlah dia. Maka dia pun berkata, lebih kurang maksudnya begini: Sekarang saya kena ajar kepada orang baru lepas universiti apa itu kucing kurap..........
Keseluruhan 'ajarannya' itu adalah memperlekehkan saya.
Seperti juga Bawani, saya hanya mendengar saja dan tidak pula diberi peluang untuk saya menyatakan kenapa saya berkata begitu. Kawan-kawan yang lain senyap sunyi.
Itu yang telah terjadi kepada saya dan kawan-kawan.
Mengapa ye?
Sekali lagi 'syabas kepada Bawani'. Dan, 'Jangan begitu caranya' , kepada Pengerusi Suara Wanita 1 Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan