UMNO , maksud saya ahli-ahli UMNO begitu berbangga sekali mengistiharkan sikap mereka terhadap parti kesayangan dengan kepercayaan bahawa semenjak dari DULU, membawa ke kedudukan terKINI dan SELAMA-LAMANYA mereka adalah UMNO. Berdarah dagingkan UMNO.
Saya tidak pula mengetahui dengan tepat bila kata-kata yang dianggap keramat oleh ahli UMNO itu diperkenalkan ke batang tubuh UMNO. Namun saya yakin kata-kata itu bukanlah kata-kata yang dilahirkan bersama dengan kelahiran UMNO pada tahun 1946. Ini adalah kata-kata yang diungkap selepas terkuburnya UMNO yang lahir pada tahun berkenaan.
Ertinya ini adalah kata-kata UMNO yang ditubuhkan oleh Dr. Mahathir. Tetapi ianya tidak lahir bersama semasa penubuhan UMNO baru itu. Ia lahir setelah UMNO dalam keadaan agak kucar kacir selepas penyingkiran Anwar Ibrahim oleh Mahathir sebagai cara untuk membentuk sikap ahli-ahli UMNO supaya menyayangi UMNO yang dipimpin Mahathir, sekali gus menyokong kuat serta mengekalkan kedudukan Mahathir memimpin UMNO.
Kata-kata dari Dulu , Kini dan Selama-lamanya dipopularkan sehingga dicetak untuk ditampal dimana-mana termasuk di cermin belakang dan hadapan kereta untuk membawa mesej bahawa UMNO, sesungguhnya mendapat sokongan dan disayangi oleh ahli-ahlinya.
Dan ianya tidak boleh dinafikan dari segi memberi kesan yang positif dalam membentuk watak dan pemikiran ahli-ahli UMNO sehinggalah sekarang. Ada ahli yang bersikap melampau sehingga melihat UMNO itu tiada cacat celanya. Pantang ada pihak dalam atau di luar parti yang mengkritik UMNO, khususnya kepimpinan UMNO, mereka itu akan ditentang habis-habisan. Begitu hebatnya pengaruh 'Dulu, Kini dan Selama-lamanya'.
Bersama-sama dengan pembentukan watak dan pemikiran yang taksub akan kehebatan UMNO, ialah tertanamnya sifat angkuh, bongkak dan sombong. Tambahan lagi secara amnya mereka yang bergelar UMNO mendapat kedudukan yang lebih baik dari segi menfaat ekonomi dan pengangkatan taraf sosial berbanding dengan orang Melayu bukan ahli UMNO dan orang bukan Melayu. Maka rasa kehebatan dan keberuntungan sebagai ahli UMNO semakin menebal, akrab seperti isi dengan kuku.
Kedudukan seperti itu, keberuntungan mereka sebagai ahli UMNO membuatkan ahli UMNO bertambah sombong, bongkak, angkuh dan tidak sedar diri. Orang bukan UMNO termasuk orang Melayu, mudah saja disingkir dan diketepikan dalam sebahagian besar dari menfaat ekonomi dan pengangkatan martabat sosial.
Diperingkat bawah, ahli-ahli JKKK memboloti tender-tender bagi projek-projek kecil, projek-projek kontraktor kelas F; ahli jawatankuasa cawangan dan bahagian mendapat peluang yang sama termasuk diberi kuasa untuk menentukan kelayakan seseorang bagi mendapat faedah sesuatu program kerajaan, misalnya program rumah murah , berbagai program bantuan kerajaan seperti pemberian bantuan dari kebajikan masyarakat. Bahawa tanpa perakuan mereka, jangan mimpi permohonan akan mendapat kelulusan. Dan sudah tentu dikalangan ahli UMNO, mereka yang dekat pertaliannya dengan jawatankuasa itu akan didahulukan.
Dan ianya berterusan sehingga sekarang.
Mengapa? Sebab mereka sudah sombong dan bongkak. Angkuh kerana mereka telah lakukan ini begitu lama, dan mereka masih lagi kekal berkuasa.
Mengapa? Kerana mereka adalah ahli-ahli UMNO 'Selama-lamanya' , semenjak dari Dulu dan Kini. Selama-lamanya mereka akan berpayung dibawah panji-panji UMNO kerana disana ada banyak faedah dan untungnya. Tidak perlu bersusah payah kerana mereka ada dulang emas yang tersedia untuk disajikan dengan berbagai juadah yang mengiurkan.
Tetapi mereka lupa bahawa orang bukan UMNO juga perlu hidup dan mendapat hak dan bahagian yang sama. Orang-orang ini juga terutama orang Melayu bukan UMNO apatah lagi orang UMNO yang disisihkan, hari demi hari membawa bersama dalam kehidupan mereka rasa benci dan meluat akan perangai, tabiat dan tindak laku orang-orang UMNO yang beruntung itu.
Sebaliknya mereka yang beruntung itu menayangkan kehidupan yang sungguh menjijikkan.
Adakah perbuatan seperti ini jatuh dibawah kategori zalim? Tidak ada zalim bagi UMNO selagi mereka mendapat faedah dan untung.
Di peringkat lebih atas, di peringkat ketua dan kepimpinan tertinggi, ianya lebih dahsyat lagi. Cukup kita sentuh soal salah guna kuasa, rasuah dan kezaliman.
Salah guna kuasa, rasuah dan kezaliman dilakukan hanya semata-mata untuk kekal pada kedudukan.
Sudah tiada rahsia lagi campur tangan mereka dalam menentukan perjalanan dan pengurusan dalam berbagai cabang pentadbiran negara. Kuasa eksekutif sememanglah milik mereka selama 55 tahun lebih. Tapi itu tidak cukup jika kuasa hendak dikekalkan. Mereka perlu ada sumber wang yang banyak. Selain untuk hidup bermewah, wang yang ada itu boleh digunakan untuk membeli undi bagi mendapat suatu kedudukan yang berpengaruh dalam parti.
Sudah tentu perbuatan membeli undi itu satu perbuatan yang salah. Tapi ianya dipandang remeh kerana mereka juga boleh menentukan sama ada perbuatan itu rasuah atau sebaliknya. Institusi penguatkuasaan dibawah telunjuk dan pengaruh mereka. Institusi kehakimanpun boleh dengan mudah diperkotakkatikkan.
Jika ada pihak yang berpotensi memberi masalah dan menggugat kedudukan, ianya mudah saja disingkirkan dengan mengadakan berbagai tuduhan untuk disiasat, dibawa ke perbicaaraan dan ditentukan hukuman. Sebenarnya matlamatnya ialah untuk menyingkirkan . Dengan sebab itu memasukkan lawan ke dalam penjara, bukan perkara yang tidak boleh diduga dari awal pertuduhan dibuat.
Zalim? Selama-lamanya mereka tidak akan kenal apa itu zalim selagi mereka gilakan kedudukan dan kuasa.
Lihat, apa yang telah terbongkar dalam siasatan Suruhanjaya Di Raja mengenai warga asing atau RCI. Demi mengekalkan kuasa, pemberian taraf warga negara dan kad pengenalan biru kepada warga asing dikatakan sebagai mengikut undang-undang.
Sesungguhnya bodoh jahillah kita jika menerima kenyataan seperti itu.
Lihat juga isu yang didedahlan oleh peniaga karpet, si Depak. Tanah ATM bagi tujuan pembinaan kem telah salah digunakan. Tidak sama seperti yang dinyatakan semasa membuat permohonan bagi pengambilan tanah. Tanah itu sudah menjadi alat penswastaan. Bukankah ini menyalahi undang-undang pengambilan tanah? Jelas ianya salah. Tapi kenapa berlaku dan mengapa tiada tindakan undang-undang kepada mereka yang terlibat?
Bukan itu saja, tanah yang melebihi 223 ekar itu di'menfaatkan' bagi mengayakan seseorang dengan jalan yang amat kotor sekali. Orang itu pula berkedudukan ketua dalam kepimpinan wanita UMNO, di Selangor. Kemudian, bukan saja tindakan tidak diambil, tapi cuba menyelamatkan pihak yang terlibat dalam isu ini.
Banyak lagi perkara-perkara yang tidak kena yang telah dilakukan, bukan saja melibatkan pengambilan tanah di Selangor bahkan di semua negeri. Cuma belum terbongkar lagi.
Apa jadi dengan ternakan lembu fidlot?
Semua yang terjadi ini ada kena mengena dengan kata-kata yang menjadi sanjungan orang-orang UMNO iaitu dari DULU, sehingga KINI dan SELAMA-LAMANYA bahawa saya adalah UMNO. Sebagai ahli UMNO, banyak untung dari rugi.
Mereka tidak sedar perasaan sombong, bongkak dan angkuh telah menguasai diri mereka.
SELAMA-LAMANYA? Maksudnya mereka akan kekal selama-lamanya sebagai ahli UMNO?
Kalau begitulah maksudnya , mereka sudah tidak boleh berfikir. Bukan kerana tiada otak tetapi dek diselindungi oleh faedah dan keberuntungan menjadi ahli UMNO.
Pertama, tiada apa-apapun didunia atau yang bersifat baru itu kekal.
Kedua, tidak terlihatkah pada mereka ahli-ahli yang keluar dan masuk UMNO atas sebab-sebab tertentu? Tidak ingatkah mereka sebenarnya UMNO asal telah terkubur dan diganti dengan UMNO Mahathir? Dr. Mahathir sendiri telah keluar dari UMNO yang ditubuhkannya, kemudian masuk balik.
Maknanya tiada yang kekal selama-lamanya melainkan Allah SWT.
Buangkanlah kata-kata 'selama-lamanya' kerana kesan buruknya mengatasi kesan yang positif kepada pembentukan watak dan pemikiran ahli-ahli UMNO. Kita tidak perlu ada orang Melayu yang sombong, bongkak dan angkuh dan sentiasa menerima hidangan dari dulang emas membuatkan kita tamak dan haloba.
Ya, saya bukan ahli UMNO. Tapi saya sayang orang Melayu. Orang UMNO pun orang Melayu. Jangan gadaikan masa depan dan maruah orang Melayu. Kita mampu melakukan seperti bangsa lain juga. Kita mampu bersaing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan