Theflowersellingboy

Isnin, 14 Januari 2013

HKR#112: Apa Harapan Anda


Gambar Peserta HKR di Stadium Merdeka 

HKR#112 telah dua hari usianya berlalu. Tapi susah untuk hilang diotak kepala. Sebab saya ada bersama merayakannya.

Bila kita merayakan sesuatu maknanya kita suka akan sesuatu. Yang kita suka atau lebih tepat sekali yang saya suka ialah HKR#112 berjalan dengan penuh tertib, aman tanpa gangguan. Semua pihak saling menghormati dan memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing demi sebuah negara Malaysia yang tercinta.  

Maka HKR#112 ini juga telah membuka satu sejarah baru dalam cara kita mengamalkan demokrasi. Dianya juga telah membuka dengan jelas rahsia-rahsia terbuka yang selalu dan cuba ditutup dan dinafikan oleh mereka yang  berkuasa.

Dari dulu lagi sebahagian besar rakyat sudah tahu bahawa  rakyat yang berhimpun dan berjalan dalam satu perhimpunan tidak pernah membawa apa-apa senjata dan tidak juga berniat langsung untuk melakukan huru hara apatah lagi hendak menjadi pengkhianat pembelot negara. Tidak, sesekali tidak. Kerana Malaysia adalah 'Negara Tanah Tumpah Darahku'. Mana mungkin kita sanggup melakukannya.

Rakyat juga sudah dan sedia tahu bahawa hanya yang berkuasa dan yang ada senjata boleh dan ada upaya menggertak, mengugut, mengancam, merobek, menghentam, mencederakan, menangkap dan melakukan apa saja terhadap pihak yang tiada apa-apa. Jadi mana mungkin rakyat yang tiada apa-apa, yang tiada  upaya dan keberanian boleh melakukan provokasi. Mereka tidak akan mahu jadi macam rakyat Palestine yang bersenjatakan lastik melawan pihak Israel dengan senjata pemusnahnya. Mereka takut dan tidak rela mati macam katak kena lenyek dik steamroller yang maha berat itu. 

Tapi mereka ada semangat yang kental atas kepercayaan bahawa yang hak dan benar itu saja akhirnya diberi kekuatan oleh Allah untuk mencapai kemenangan. Sebab itu lah mereka bersatu dalam kepelbagaian latarbelakang demi masa depan yang lebih menjanjikan. Mereka tahu kalau hancur negara ini  kemana 'kita semua' nak pergi? Dijauhi Allah.

Jadi dengan semangat yang kental itulah mereka bangkit bangun dibawah satu payung yang dipanggil Himpunan Kebangkitan Rakyat semata-mata untuk satu kehidupan yang lebih baik.  

Hukumlah bahawa HKR itu haram, halanglah dengan berbagai rintangan, mereka sudah tekad melakukannya. 
 
Malang sekali momokan demi momokan akan kewujudan hantu buatan diulang-ulang setiap kali satu perhimpunan atau tunjuk rasa mahu dikedepankan: 'bahawa ada campur tangan kuasa asing yang menggerakkan himpunan itu bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi'. 

Itu formula pihak yang berkuasa ketika ini.

Tetapi dengan berlangsungnya HKR#112 nampaknya dan menjadi harapan setiap rakyat Malaysia bahawa satu suasana baru politik Malaysia yang lebih menjanjikan masa depan yang lebih baik akan mengambil tempat. Suasana saling memahami akan tanggungjawab dan peranan masing-masing semata-mata untuk sebuah Malaysia dan rakyat yang bermaruah. 

Kita mengharapkan suasana ini akan melupuskan formula diatas dan formula-formula inspirasi momokan hantu yang lain dan yang bersekutu dengannya. Cukuplah, setakat ini saja. Tarikh 112 atau 12 Januari 2013 dijadikan sempadan pemisahan. Ambil yang jernih, lupakan yang pekat keruh berlumpur. Biarkan ianya bersemadi tanpa kubur, tidak perlu kita ingat-ingat dan kenangkan lagi. Yang baik kita buat teladan dan kita amalkan. Yang busuk, hancing, hapak, tengit, bacin dan yang sama bau dengannya biarkan lesap menghilang.

 

 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan