Theflowersellingboy

Rabu, 2 Januari 2013

MELAYU: Jenama Pelbagai Guna (2)

Sesungguhnya Melayu itu satu jenama. Jenama pelbagai guna. Sama dengan ubat yang dijual oleh penjual ubat jalanan seperti di jalan Chow Kit. 
 
Asalnya Melayu itu bermula di Bukit Seguntang yang telah menyatakan ikrar, dengan lafaz yang dibuat oleh Demang Lebar Daun 'bahawa Melayu itu akan sentiasa taat kepada paduka raja selama raja mengasihinya. Raja adil , raja disembah, raja zalim, raja disanggah'.
 
Begitulah hebatnya asal Melayu yang mengikrarkan satu perjanjian yang mengikat antara rakyat dan pemerintah dalam mengatur hubungan dan kehidupan pada suatu masa dahulu.
 
Masa berlalu dan generasi Melayu berkembang. Ramuan asli Melayu telah ditokok tambah dengan berbagai ramuan yang lain. Ada ramuan dari suku sakat sepupu sepapat di persekitaran, ramuan Siam, Arab, Parsi, Pakistan, Turki, Bangla, India, China, Portugis, Belanda, Inggeris , Jepun dan berbagai lagi.
 
Kini bertambah lagi berbagai ramuan. Tapi Melayu tetap Melayu kerana masih lagi bercakap Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu. Maknanya jenama Melayu masih kekal. Ikrar dan janji si Demang Lebar Daun dalam perjanjian Bukit Seguntang itu masih kekal. Ada masa-masanya berlaku riak-riak kecil, namun janji masih lagi ditepati.
 
Asas Melayu masih lagi kekal yang terjelma dari bahasa, agama dan adat resam. Cita rasa sudah menjadi pelbagai. Impian pun menjadi berbagai. Maka jadilah Melayu jenama pelbagai guna. Pengguna jenama Melayu itu  adalah orang Melayu. Bukan Melayu pun menjadi pengguna sama.
  
Seperti penjual ubat jalanan , yang mahu melariskan ubat jualannya atas kehebatan kegunaan ubatnya yang boleh mengubatkan pelbagai penyakit, Melayu juga digunakan untuk pelbagai cara dan tujuan mengikut cita rasa dan perasaan penggunanya sama ada yang Melayu dan yang bukan Melayu. Itulah cara pelarisan Melayu sebagai satu jenama.
 
Antara kegunaan jenama Melayu itu ialah demi Melayu, Melayu mesti menjadi tuan. Begitulah keyakinan keatas sifat kemampuan jenama Melayu itu.  
 
Tetapi kepercayaan itu mempunyai berbagai tujuan menurut kelompok-kelompok yang menggunakan jenama Melayu itu. Ada yang dengan sepenuh hati, jiwa dan raga sanggup berkurban apa saja bahkan lautan api pun sanggup direnangi asal Melayu itu berterusan. 'Tidak Melayu hilang di dunia', itu pegangan sebahagian dari kelompok pengguna jenama Melayu itu. Ini Melayu ramuan asal.
 
Sebahagian yang lain pula, yang kacukan, mempunyai kepentingan masing-masing dalam menggunakan jenama Melayu bagi tujuan demi Melayu, Melayu adalah tuan. 
 
Mereka ini menunjukkan sikap dan air muka yang sayangkan jenama Melayu itu. Bermati-matian memperlihatkan sikap dan air muka akan betapa kritikalnya  jenama Melayu ini perlu dipertahankan. Mereka akan bersedih dan menangis dan merintih duka  mengenang akan nasib jenama Melayu yang terpinggir  dan tersisih papa kedana di 'tanah tumpah darahku'.
 
Tapi syaratnya mereka mesti duduk di barisan depan memimpin penjualan jenama Melayu itu. Dan memangpun mereka itu sentiasa di barisan hadapan. Itulah kepentingan mereka dalam melariskan jenama Melayu.

Mungkin mereka ini boleh berkata bahawa dalam hati mereka tiada siapa yang tahu. Niat mereka Allah saja yang tahu.
 
Tapi perbuatan dan tindakan mereka dapat dibaca dan difahami bahawa sayangnya mereka akan jenama Melayu itu hanya sayang yang bersyarat- untuk mempertahankan kepentingan mereka untuk duduk di barisan depan. Mereka sebenarnya telah berjaya meyakinkan kepada semua pengguna-pengguna jenama Melayu itu.
 
Duduk di barisan hadapan, mata mereka tidak terlindung. Nun sejauh mata memandang, mereka nampak berbagai kecerahan. Telinga mereka juga adalah yang pertama mendengar berbagai-bagai pemberitaan yang mendatang. Maka mereka dengan mudah mengaturkan kaki untuk melangkah, menghayunkan tangan membelah ruang mencari kecerahan.
 
Kecerahan untuk mereka yang di barisan depan. Adalah sedikit-sedikit kecerahan untuk diagih-agihkan kepada mereka dibarisan belakang, belakang dan belakang untuk berkongsi kecerahan. Untuk kekal dalam barisan.

Itulah tanda kasih dan sayang mereka terhadap jenama Melayu. Demi Melayu, Melayu mesti jadi tuan. Tuan berdarah kacukan.
 
Mereka ini sebenarnya tahu, bahawa  yang berada di belakangnya terlalu panjang. Kecerahan itu tidak mungkin menerangi keseluruhan belakang. Ada yang gelap gelita tanpa kecerahan.
 
Tapi mereka ada suara yang mendayu penuh sendu untuk didendangkan ke halwa telinga mereka yang tiada kecerahan yang sentiasa duduk di barisan belakang itu. Meresap masuk penuh sedih dan hiba.   
 
Mereka yang dibelakang pula tetap ada rasa terima kasih atas simpati dan ingatan yang disuarakan orang di barisan hadapan akan kegelapan yang masih merundung. Apatah lagi mereka mendengar suara tangisan penuh rintihan yang datang dari barisan hadapan.
 
Bersambung.        
  
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan