Theflowersellingboy

Sabtu, 19 Januari 2013

Berkongsi Kebaikan dan Kesalahan

Baca dulu sebelum tengok video.

Berkongsi maknanya bersama-sama. 

Biasanya berkongsi atau untuk bersama-sama itu adalah bagi perkara-perkara yang baik, yang berfaedah, saling bantu membantu. Misalnya berkongsi untung dalam perniagaan. Atau menceritakan pengalaman agar pengajaran dapat dikongsi sama untuk kebaikan yang mendengar. Termasuklah berkongsi idea, pengetahuan, kepakaran, kemahiran dan buah fikiran. Berkongsi dalam perbelanjaan atau kos mengadakan sesuatu perayaan atau pesta. Berkongsi kuasa politik boleh mewujudkan kerjasama diantara berbagai pihak yang mempunyai latarbelakang yang berbeza   untuk sebuah pengurusan yang mantap. Dan banyak lagi.

Berkongsi seperti diatas dalah sesuatu yang disambut baik dan dapat diterima kerana ianya memberi kesan yang baik. Tidak ada mana-mana pihak yang rugi dalam perkongsian itu. Kata orang mereka yang berkongsi itu  berada dalam keadaan 'menang menang'. 

Berkongsi cara ini semua orang suka. Maknanya pihak yang mempunyai atau memiliki sesuatu mengajak atau menjemput pihak lain sama-sama merasa atau memiliki apa yang dia ada. Dan yang diajak atau dijemput atau dipelawa itu sudi menerimanya.

Perkongsian atas sesuatu yang dimiliki atau perkongsian atas kelebihan yang ada adalah satu sikap yang mulia. Tapi ianya sesuatu yang sukar untuk dilakukan.Tapi mudah untuk diterima.
  
Tapi berbeza dengan berkongsi kesalahan, kesilapan, kelemahan, kekalahan, kecurangan, pengkhianatan, kerugian dan apa saja yang boleh menjejaskan kedudukan dan nama baik, yang boleh merugikan atau mengurangkan pendapatan atau faedah ekonomi, secara amnya semua orang tidak akan suka atau mahu diajak berkongsi.

Misalnya perkara yang menyebabkan pasukan bola sepak negara sentiasa menerima kekalahan. Apa kah salah dan silapnya? 

Jawapan yang biasa kita dengar ialah bahawa pihak-pihak yang bertanggungjawab itu meletakkan sebab kekalahan kepada pihak yang lain. Dan pihak yang lain itu biasanya akan mencari apa saja alasan untuk menepis dakwaan bahawa pihaknya yang menyebabkan kekalahan. Tiada banyak pihak yang mahu mengaku melakukan kesilapan

Jika pun ada pihak yang mahu mengaku bersalah atau melakukan kesilapan, pihak yang bersedia untuk diajak berkongsi kesilapan itu tidah mudah kita ketemu. 

Fenomina seperti itu memang sudah menjadi satu kebiasaan. Tidak menghairankan. Siapakah yang mahu berkongsi jika perkongsian itu boleh menjejaskan nama baik dan kedudukan, yang merugikan?

Apabila kita ditahan dan disaman polis kerana melakukan kesalahan lalulintas, sebahagian diantara kita akan menyeret pihak lain yang kita ketahui melakukan kesalahan yang sama tetapi tidak pula disaman, dengan pertanyaan mengapa pihak yang lain itu tidak disaman.

Pertanyaan kita itu adalah betul dan wajar. 

Cuma pertanyaan itu sebenarnya bertujuan mengajak sama orang itu merasa apa yang kita rasa atas perbuatan salah  itu. Maknanya mahu dia pun sama-sama kena saman. Sama-sama dihukum bersalah. Ianya juga satu cara untuk melepaskan diri dari disaman atau menerima hukuman. Jika ada pihak lain yang melakukan perkara yang sama tapi tidak dihukum maka kita pun sewajarnya begitu.

Dalam cerita diatas, orang yang terlepas dari kena saman itu merasakan dia tidak wajar diajak sama untuk disaman walaupun perbuatannya itu sama salahnya. Dia tidak mahu berkongsi kesalahan sedangkan yang kena hukum mahukan dia dihukum sama atas kesalahan itu. Dan jika orang itu tidak di hukum, mengapa kita saja yang kena hukum.

Ertinya tiada mana-mana pihak boleh marah-marah tentang kesalahan yang kita telah buat kerana orang lain pun buat kesalahan yang sama. 

Cuba renungi dua kisah berikut yang melibatkan personaliti yang sama.

Lebihkurang maksudnya begini:

Kisah i): Bekas PM, Tun Mahathir menyatakan bahawa mengapa dia saja dikatakan bersalah dalam hal pemberian kad pengenalan biru (warga negara) kepada warga asing, sedangkan PM yang pertama melakukan lebih banyak dari itu.  

Kisah ii): Bekas PM yang sama juga menyatakan bahawa anak-anak bekas PM yang lain juga dapat projek kerajaan, mengapa tiada pihak yang buat bising.

Dalam dua cerita diatas, bekas PM kita itu secara tidak langsung mengajak rakyat melihat apa yang telah dibuat oleh orang lain agar orang lain itu juga berkongsi sama apa saja sikap rakyat terhadap bekas PM itu. Jika perbuatan itu salah maka yang lain pun mesti bersama-sama dihukum bersalah.

Maknanya Dr. Mahathir mengajak berkongsi kesalahan. Soalnya, adakah ajakan itu diterima? Atau mahukah sama-sama berkongsi menerima hukuman atas perbuatan itu.
  
Dan alasan yang digunakan itu juga adalah satu cara untuk melepaskan diri dari dikatakan bersalah semata-mata kerana orang lain juga melakukan cara yang sama, cara yang salah. 
    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan