Theflowersellingboy

Khamis, 1 November 2012

Harapan Seorang Emak dan Doa Anak-anak.

Semalam saya balik kampong bersama isteri. Jengok emak yang tinggal bersama adik perempuan. Hari raya haji kami tidak dapat balik sebab isteri masih lagi dalam wad hospital menjalani rawatan. Jadi semalam kami ambil peluang balik kampong setelah menghantar cucu ke nursery i-play di Cyber Jaya. Balik hari saja. sebelah petang balik ke Putra Jaya.

Emak menunggu di tengah pintu sebaik kereta kami masuk dan berhenti disisi pintu masuk ke ruang rumah. Saya menuju mendekati emak dan terus memeluknya. Dia menangis sambil menyatakan dia tidak sihat, mata tak nampak dan minta maaf kalau dia tak kenal orang yang memeluknya.

Namun begitu dia menyebut juga nama saya dan bertanya datang dari mana.

Begitulah selalunya setiap kali saya balik kampong dan berjumpa emak yang telah berusia 84 tahun itu. Bagi saya emak masih sihat. Masih dapat berjalan walaupun langkahnya tidak secergas orang muda. Masih dapat bercakap dengan jelas. Dapat mengemukakan berbagai pertanyaan, misalnya bila kau datang; datang dari mana; siapa nama kau; kau anak siapa dan sebagainya. Cuma kita jangan jemu dan muak kerana soalan yang sama akan diulang walaupun kita telah menjawab pertanyaannya itu. 

Sebenarnya ingatan emak agak merosot. Kalau itu boleh dikategorikan sebagai tidak sihat, maka benarlah pengakuan emak bahawa dia tidak sihat.

Seperti biasa saya akan duduk atas sofa berdekatan dengan sofa yang diduduki emak. Mudah untuk berborak kerana pendengarannya pun agak merosot juga.  Kadang-kadang terpaksa meninggikan suara. Emak pula akan bertanya soalan yang sama, berulangkali setelah jawapan diberi.

Kadang-kadang saya menganggukkan kepala saja sambil ketawa kecil dan mengatakan 'ya' apabila menerima soalan yang sama. Emak tidak kisah jawapan yang diberi sama ada menjawab soalannya atau tidak. Itu tidak penting baginya. Yang penting dia boleh bertanya dan kita sanggup mendengarnya. Begitulah emak.

Pada perjumpaan ini, saya bertanya emak sudah solat zohor atau belum, sehabis saja saya bersolat zohor. Emak jawab, 'dah sepuluh hari emak tidak sembahyang  sebab mata mak tak nampak, kaki sakit'. Sebenarnya setiap kali saya balik berjumpa emak saya akan bertanya soalan yang sama. Dan jawapan yang saya terima adalah sama juga, 'emak tak sembahyang kerana mata tak nampak dan kaki sakit'.

Dalam perjumpaan-perjumpaan yang lepas saya memberitahu emak bahawa jika tak boleh sembahyang berdiri, emak boleh duduk diatas sofa dengan mengadap kiblat. Sembahyang mesti dilakukan selagi kita masih hidup. Emak beritahu bahawa dia tak biasa dengan sembahyang cara itu. Cara itu tak sempurna katanya. Katanya lagi sembahyang mesti berdiri, ada roko' dan sujud. Tambahnya lagi kalau umur panjang dan apabila sihat nanti dia akan sembahyang.

Dalam keadaan yang uzur (mata kurang nampak dan kaki sakit) emak mahu sembahyang seperti biasa- mesti boleh berdiri betul, mesti boleh roko' dan sujud. Kerana tidak mampu berbuat demikian emak berharap supaya dapat melakukan apabila sihat nanti. 

Agaknya emak berpandangan ada kewajaran baginya meninggalkan sembahyang jika tidak sihat. Dia tidak mahu sembahyangnya cacat. Dia hendak yang sempurna. Yang sempurna hanya boleh dilakukan jika dia sihat.

Itu hanya tekaan saya saja. Sebab emak tidak pernah kata begitu. Dia hanya kata tidak sihat. Dan akan sembahyang semula apabila sihat, jika ada umur.

Saya juga menjangkakan emak telah lupa perbuatan dan bacaan untuk solat. Pernah saya bertanya emak bilangan rakaat bagi setiap sembahyang. Minta dia baca doa iftitah, baca al-fatihah dan surah yang lain, baca tahiyyat dan yang lain-lain seperti doa qunut fardhu Subuh.

Jangkaan dan sangkaan saya itu meleset. Cemerlang. Emak sungguh cemerlang. Dia tahu atau masih ingat setiap rakaat bagi sesuatu solat. Boleh baca setiap ayat dan doa dengan lancar. Tiada masalah.

Saya mengambil kesempatan memuji emak. Dan memberitahunya  bahawa dia mempunyai ingatan yang baik dan berharap emak dapat melakukan solat. 

Kesekian kali pula emak akan jawab dia tidak boleh berdiri dengan baik. Rasa sedih saya beeterusan.

Pada hari semalam sekali lagi saya minta emak membaca alfatihah dan bacaan yang lain dalam solat. Emak lulus. Lancar bacaannya. Sekali lagi saya memuji emak. Bukan main suka emak seperti cicit-cicitnya  (cucu saya Yousef dan Naqib yang berusia 2+ dana satu tahun lebih) yang selalu saya puji jika mahu makan nasi. Hanya satu saja yang kurang seronok iaitu emak kata matanya kurang nampak dan kakinya sakit. Bila sihat emak akan sembahyang.

Wah macam mana ni.Emak masih lagi gunakan sebab yang sama. Lalu saya beritahu kesekian kalinya bahawa sihat atau tidak sihat selagi kita hidup kita wajib sembahyang. Kita boleh sembahyang cara duduk atau berbaring. Bahawa Allah maha pengasih maha penyayang. Sudah tentu Allah tidak mempersia-siakan sembahyang kita itu walaupun kita lakukan tidak sama seperti orang sihat. Saya menambah bahawa Allah maha mengetahui akan keadaan kita.

Emak mendengar saja apa yang saya cakapkan. Tapi saya masih lagi kurang yakin ianya mampu membuatkan emak memulakan solatnya.

Saya bercerita lagi. Dulu emak selalu suruh kita orang sembahyang. Emak kata kalau tak sembahyang tak dapat masuk syurga. Emak nak kita semua masuk syurga. Emak tak mahu anak emak masuk neraka. Sekarang emak tak sembahyang. Macam mana kita anak beranak nak masuk syurga bersama.

Mata emak mula kelihatan air jernih melinang. Perlahan-lahan air mata itu mengalir turun ke pipinya. Tangisannya tidak bersuara. Emak memandang saya. Emak merenung muka saya agak lama. Saya pula memegang tangan emak dan meminta agar emak memulakan solat yang telah agak lama ditinggalkannya. Emak menganggukkan kepala. Inilah kali pertama emak tidak memberi alasan sakit kaki atau mata kurang nampak. Saya berasa lega dan mendoakan supaya emak akan memulakan solatnya.

Saya tidak mahu memaksa agar pada ketika itu juga emak melakukan solat. Biarlah emak mengingati semula akan kata-katanya kepada anak-anaknya dulu. Kata-kata masuk syurga bersama. Walaupun saya faham bahawa masuk syurga adalah hak Allah yang menentukannya tapi saya merasakan kata-kata 'masuk syurga bersama' yang telah dituturkan emak dulu boleh memberi kekuatan kepadanya untuk melakukan solat. Emak sayang anak-anaknya.

Saya juga tidak hairan mengapa emak berpendirian bahawa bersolat itu mesti berdiri, ada roko' dan sujud tidak kira keadaan kesihatan kita. Kalau tak mampu berbuat demikian, tak solatpun tak mengapa kerana emak tak mahu solatnya menjadi cacat. Itu pandangannya. Emak diajar begitu. 

Sebab itu emak tidak yakin dengan kemudahan yang diberikan Allah kepada para musafir untuk bersolat jama' dan qasar. Emak tidak mahu melakukannya semasa kami melakukan perjalanan jauh misalnya dari Melaka ke Kuantan. Emak rela tidak bersolat bagi solat fardhu yang telah lepas waktunya misalnya fardhu zohor. Emak akan buat solat qada' zohor. Bukan emak saja malah orang tua yang seusia dengannya juga berfikiran sama. 

Jadi saya berpandangan bahawa sikap emak itu adalah hasil dari didikan yang telah diterima dulu. Dan saya perhatikan emak selalu berulangkali takbir apabila memulakan solat. Semasa takbir menyebut Allah hu Akbar emak mahu secara serentak dalam hatinya menyebut 'sahaja aku solat fardhu zohor empat rakaat tunai kerana Allah hu Taala'.  Sebab itulah dilakukan berulang kali dan sebutan Allah hu Akbar nya sungguh panjang.

Sesungguhnya saya memohon doa agar emak akan memulakan solatnya dan melakukan mengikut kemampuan kesihatannya. Ya Allah perkenankanlah doa hambamu ini.Amin.

Saya meninggalkan kampong dengan penuh harapan. Saya dan isteri memeluk emak sebelum memasuki kereta. Kami berlambaian tangan.
     

 

        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan