Theflowersellingboy

Isnin, 19 November 2012

Kini: Talipon tidak berbunyi lagi

Anggota badan terasa segar setelah diberi urutan oleh seorang kawan. Pandai sungguh kawan itu. Ada kemahiran mengurut. Entah di mana dia belajar, lupa pula saya nak tanya. Yang seronoknya juga, urutan yang dibuat selama hampir satu jam itu tidak dikenakan bayaran. Lagipun dia yang hendak mengurut, bukan saya yang minta. 
 
Saya kata badan ada sakit-sakit sikit setelah bermain golf 36 lubang. Biasanya kami main 9 lubang saja. Tapi pagi tadi seorang kawan mencabar untuk bermain 36 lubang. Tak ada seorangpun yang mahu mengalah termasuk saya walaupun saya tidak sebaya dengan mereka. Mereka semuanya anak-anak muda pada usia awal tiga puluhan. Saya  sudah memasuki 40.
 
Kami tak pakai caddy dan tak naik buggy. Main tarik saja golf set kami. Nak eksersais konon. Sebenarnya nak jimat belanja.  Mahal main golf ini.
 
Dulu sebelum ketagih golf saya pernah kata orang yang bermain golf ini orang bodoh. Selalu juga saya panggil mereka ini orang gila. Saya kata mereka bodoh, sebab kerjanya masuk bola ke dalam lubang.  Tak ada 'skill' langsung. Budak kecil pun boleh lakukan. 
 
Saya panggil mereka gila, sebab dalam keadaan panas terik pun mereka sanggup berada diatas padang yang terbuka. Panas. Mereka terlalu syok  kalau bola masuk lubang. Kalau sekali pukul bola masuk lubang, mereka syok gila, menjerit suka macam dunia ini dia yang punya. 
 
Pagi-pagi lagi , ada yang selepas solat Subuh terus menuju ke padang golf. Dapat tengok padang golf pun sudah cukup, dapat lepas gian. Teruk gila orang macam ni.
 
Ada seorang menteri, sekarang sudah jadi mantan, memberi gelaran orang main golf ini sebagai 'Golongan Orang Lemah Fikiran', singkatan dari ejaan G O L F.  

Saya tidak pasti sama ada mantan menteri itu ada membuat kajian atau sebaliknya keatas orang yang gian golf ini sehingga ringan mulutnya memberi gelaran seperti itu.  Atau dia sendiri tak ada minat main golf atau tak tahu main golf.
 
'Sekarang' saya sudah gian main golf. Hujung minggu, tetap diatas padang golf. Biasanya satu flight dengan kawan yang sama kecuali jika ada yang ke luar kawasan. 
 
Maksud sekarang itu ialah semasa saya berusia 40an. Waktu itu deringan talipon, saya anggap memekakkan telinga. Nak mandi pun ada kawan talipon. Waktu tengah makan bersama keluarga, ada yang sibuk-sibuk talipon. Hari Sabtu dan Ahad dan hari cuti yang lain, deringan talipon makin bertambah kerap. Kawan ajak pergi main golflah, makan tengah hari di kelablah, pergi jalan-jalan lah dan macam-macam ajakan lagi. 
    
Waktu pukul 12 malam pun ajak keluar makan-makan.
 
Selepas penat main golf ada kawan sedia mengurut badan. Seronoknya.
 
Pendek kata  nak berihat dengan keluarga pun tak ada masa.
 
'Kini' tiada gangguan lagi. Talipon pun tak berdering. Wajah kawan-kawan pun tidak kelihatan. Apatah lagi suara, langsung tak kedengaran. 
 
Kini itu bermaksud, betul-betul yang terkini.  Selepas bersara. Usia sudah masuk 60an.
 
Kini anggota badan cepat merasa sakit. Buat kerja sedikitpun dah terasa sakit. Pagi tadi potong rumput dan kemas di bahagian dalaman rumah. Seluruh anggota badan sakit
 
Tukang urut tidak menjelma lagi. Talipon pun sunyi saja, tidak berdering. 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan