Saya ada gout. Saya telah menjalani pembedahan jantung terbuka menggantikan 4 saluran darah yang tersumbat. Saya ada tekanan darah tinggi. Saya ada asthma.
Sudah lama gout yang sangat bisa itu tidak menyerang saya. Bukan kerana saya makan ubat. Tidak juga herba atau akar-akar kayu ubatan tradisional.
Tapi saya berpantang makan. Banyak yang saya tidak makan. Antaranya buah-buahan yang masam-masam seperti limau waemah limau manis sekali pun. Saya tidak makan sayur kobis bulat, bunga kobis, kacang panjang, kacang boncis dan semua jenis kekacang.
Saya juga tidak makan ketam, udang, lala, kupang, remis, kerang, ikan sardin termasuk yang telah ditinkan, ikan tongkol. Saya tidak makan daging merah, dan organ-organ dalaman seperti hati, peparu, mempedal, jantung dan perut. Segala jenis jeruk juga saya tidak makan.
Itulah ubat gout saya. Alhamdulillah tiada serangan.
Sudah 6 tahun saya menjalani pembedahan terbuka. Doktor kata 4 saluran darah tersumbat telah diganti dengan yang baru. Saluran baru itu diambil dari urat di kaki kiri, bermula dari kawasan yang hampir dengan buku lali sehingga ke hujung peha. Panjang sungguh parut yang terbina.
Selepas berjaya melakukan pembedahan, secara bergurau doktor kata satu saluran yang baru itu boleh memberi tamabahan hayat selama 5 tahun. Jadi 4 saluran akan menjadi 20 tahun. Saya tahu gurauan itu bertujuan untuk menggembirakan hati saya agar saya mempunyai kekuatan untuk cepat pulih. Bukan kah Allah yang menentukan ajal kita.
Pada tahun pertama sehingga tahun ketiga selepas pembedahan, rawatan susulan iaitu berjumpa doktor di buat dua kali setahun. Sekarang dikurangkan menjadi sekali setahun.
Selain dari berjumpa doktor saya juga diminta memakan ubat. Ubat mengawal kolesterol dan mengawal tekanan darah tinggi. Saya juga dinasihatkan kurangkan beberapa jenis makanan.
Makanan yang dinasihatkan agar dikurangkan ialah makanan yang berlemak, minyak, dan yang masin-masin.
Saya juga diminta untuk melakukan senaman. Kata doktor senaman adalah ubat yang paling murah dan mudah. Yang perlu hanya seluar , baju dan kasut serta ruang. Cuma katanya mesti ada kekuatan di hati. Kalau tidak ianya akan jadi hangat-hangat tahi ayam, tidak konsisten.
Kolesterol saya terkawal. Kata doktor mengikut bacaan dalam ujian darah, kolesterol yang baik mengatasi kolesterol yang jahat. Mendengar kata doktor itu, pada mulanya saya ingat hanya sebagai gurauan saja. Tapi apabila saya tanya, dia mengesahkan kata-katanya itu.
Tekanan darah tinggi saya pun terkawal juga.
Alhamdulillah, semenjak melakukan pembedahan ini dan dengan mengikuti nasihat yang diberikan, saya sihat wal afiat.
Sudah lama saya tidak diserang asthma atau lelah. Semenjak saya makan ubat singulair iaitu kalau tak silap sudah masuk 6 atau 7 tahun, jarang saya kena serangan asthna yang serious. Sikit-sikit adalah. Itupun disebabkan saya tidak pakai 'mask' semasa mengemas rumah terutama di tempat-tempat yang berabuk.
Saya alah dengan abuk dan hama-hama yang berterbangan. Saya akan bersin berkali-kali sampai keluar air mata dan sakit kepala. Kemudian pernafasan saya akan berbunyi kerana saluran pernafasan menjadi sempit.
Ubat singulair itu bukan bertujuan untuk menyembuh penyakit asthma. Ubat itu adalah bersifat preventive. Maknanya ia perlu dimakan setiap hari agar ruang pernafasan tidak menyempit. Tapi apabila asthma menyerang disebabkan alahan abuk tadi, ubat singulair tidak boleh membantu. Oleh itu saya dengan sedaya upaya akan berusaha untuk mengelakkan abuk.
Jadi saya mengelak dari serangan asthma dengan memakan singulair setiap hari. Ubat ini terlalu mahal. Tapi sebagai pesara kerajaan, saya perolehi atas wang kerajaan. Dengar khabar di klinik dan hospital kerajaan, hanya doktor pakar saja yang layak untuk membuat preskripsi ubat ini.
Ada satu lagi ubat yang boleh mengelakkan serangan asthma yang sesuai untuk saya. Ubat itu ialah berhijrah ke negeri yang ada musim sejuk. Cuaca sejuk tidak membuatka saya kena asthma. Ini terbukti semasa belajar di luar negeri pada suatu ketika dulu. Saya tidak makan ubat singulair dan ubat-ubat asthma yang lain. Tapi tidak pernah diserang asthma.
Mengapa ye? Saya tidak tahu. Agaknya sistem dalam badan saya ni mengada-ngada.
Ada seorang kawan bertanya adakah saya mengidap kencing manis. Saya jawab belum lagi. Maka kawan saya kata jawapan saya itu salah. Itu jawapan memberi harapan kepada kencing manis. Bila saya kata 'belum' maknanya saya menunggu kedatangan penyakit itu. Maknya lagi saya tidak berusaha mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan sakit kencing manis itu.
Saya tanya kawan itu. Apa jawapan yang betul. Kawan beri tahu: Nauzubillah, saya tidak mahu penyakit itu.
Jadi dengan jawapan seperti itu saya akan berusaha mengambil langkah-langkah untuk mengetahui apa itu sakit kencing manis dan bagaimana untuk mengelakkannya.
Betul juga ye. Kalau tidak tahu macam mana kita boleh mengelakkannya.
Jadi kalau sudah ada penyakit kita wajar ambil langkah-langkah untuk merawat. Merawat itu ialah makan ubat termasuk mematuhi nasihat yang berkepakaran.
Kita juga wajar mengetahui dan mengenali seberapa banyak penyakit seperti penyakit kencing manis, jantung , tekanan darah tinggi, asthma, kanser dan buah pinggang.
Walaupun kita bukan doktor tapi kesihatan kita adalah tangungjawab kita kecuali kita tidak mahu sihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan