Theflowersellingboy

Sabtu, 24 November 2012

Beri Laluan: Di persilakan .....

Semalam bilangan jemaah bersolat Jumaat di masjid ( surau yang dinaikkan taraf masjid) di Precint 11, Putra Jaya begitu ramai sekali menyamai kehadiran solat hari raya fitri. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin musim cuti sekolah, sebahagian besar ibubapa bercuti untuk bersama dengan anak-anak di rumah.

Kereta-kereta berderetan di sepanjang jalan yang berdekatan dengan masjid, di kawasan berhampiran dengan stesyen minyak Petronas dan kawasan perumahan yang berdekatan. Pendek kata semuanya penuh dan tiada ruang untuk meletak kereta.

Seperti biasa saya memasuki kawasan letak kereta (sebuah padang) yang berhampiran dengan masjid. Penuh juga.

Ianya menjadi penuh kerana cara meletakkan kereta adalah mengikut suka hati tuan punya kereta. Lintang pukang tidak tersusun. Bukan disebabkan kawasan itu kecil.

Bagaimana pun saya dapat mencelah satu ruang kecil laluan, diantara barisan beberapa buah kereta di kiri kanan yang telah tersedia ada, hampir-hampir bahagian kanan kereta saya tergesel dengan sebuah  kenderaan pacuan 4 roda. Nasib baik, kalau tidak saya terpaksa menyediakan jawapan apabila diketahui oleh tuan punya kereta, iaitu anak saya. Syukur, saya dapat juga ruang tapi menghalang beberapa kereta di kiri kanan.

Dengan itu sebaik saja selepas mengaminkan doa saya bergegas keluar menuju ke kereta yang menghalang laluan beberapa kereta di kiri dan kanan. 

Saya yang paling awal tiba di kereta. Alhamdulillah, saya tidak menyusahkan pemandu yang lain.

Waktu keluar dari tempat letak kereta, semuanya bergerak perlahan dan bertolak ansur , tidak berebut. Apabila memasuki jalan raya dan sewaktu hendak memasuki sebuah persimpangan, sebuah kereta diantara banyak kereta yang berbaris yang datang dari persimpangan itu untuk membelok ke kanan memberi isyarat nyalaan lampu keretanya.

Isyarat itu saya faham, bahawa pemandu kereta itu meminta laluan suapaya dia dibenarkan untuk bergerak dahulu dan saya diminta berhenti. Maka saya bersetuju dengan permintaannya itu. Saya percaya ada hal penting yang membuatkannya mahu segera.

Di Malaysia ada tiga keadaan dimana pemandu kenderaan berkomunikasi diantara satu dengan lain melalui penggunaan nyalaan (flashing) lampu untuk sesuatu isyarat.

Isyarat pertama ialah meminta laluan seperti yang diperkatakan diatas. Isyarat kedua juga bertujuan meminta laluan tetapi mungkin ada sedikit berbeza. Isyarat meminta laluan yang kedua ini biasanya berlaku di lebuh raya. Pemandu di lorong laju (lorong pertama disebelah kanan) yang memandu laju, biasanya melebihi dari had laju yang dibenarkan, akan memberi nyalaan lampu agar kereta yang berada dihadapannya , yang dianggap menghalang kelajuannya , masuk ke lorong kedua.

Apa bezanya dengan isyarat yang pertama tadi?

Pertama, bezanya ,satu di persimpangan kawasan perumahan dan yang lagi satu di lebuhraya. Kedua, yang laju di lebuh raya itu meminta laluan mungkin dia perlu cepat atas sesuatu keperluan. Mungkin juga memang perangainya yang suka bawa kereta laju sehingga melepasi had laju yang dibenarkan. Saya lebih cenderung kepada yang kedua.

Mereka yang perangainya suka membawa kereta laju, tidak ambil kira keselamatan pengguna jalan raya yang lain.Saya bersetuju kereta yang berada dihadapan yang dikatakan menghalang laluannya, perlu beri laluan dan bergerak memasuki lorong tengah (kedua). Tetapi berilah peluang kereta itu memasuki ke lorong kedua dengan selamat kerana dilorong itu juga ada kereta.  

Jangan diberi nyalaan banyak kali, memberi tekanan kepada yang dihadapan untuk cepat-cepat masuk lorong kedua. Sebab ada dikalangan pemandu yang tidak tahan kena tekanan. Dengan itu cepat panik dan masuk lorong kedua tanpa memikirkan disebelah kirinya ada kereta. 

Ada yang selamba saja. Lagi diberi nyalaan, lagi dia buat tak tahu. Maka apa yang terjadi?

Macam-macam yang tidak baik boleh terjadi. Antaranya berlaku lumba berlumba diantara dua kereta itu sehingga boleh menimbulkan huru hara di lebuh raya. Celah sana sini, belok sana sini , masing-masing mahu menentukan sentiasa duduk didepan mendahului antara satu sama lain. Yang lebih dahsyat lagi berlaku pergaduhan.          

Keadaan ketiga komunikasi berbentuk isyarat nyalaan lampu ini ialah apabila pemandu telah dapat mengesan ada operasi polis yang mengesan had laju pemandu. Maka di hebuhkannya kepada pemandu yang bertentangan arah dengan memberikan isyarat nyalaan lampu.

Begitulah yang berlaku di Malaysia.

Saya pernah memandu di UK. Disana makna isyarat nyalaan lampu berbeza dengan di Malaysia. Tapi tetap sama sebagai alat isyarat komunikasi.

Apabila pemandu disana memberi nyalaan lampu, kita mesti baca sebagai isyarat pemandu itu memberi laluan kepada kita. Maka bersegeralah ambil peluang itu. Jangan kita pula berhenti untuk memberi laluan kepadanya. 

Baiklah, apa moral cerita tentang isyarat lampu ini? Ada banyak. Fikir-fikirkanlah.

Saya hanya beri satu saja. Saya ambil pemanduan di UK. Bahawa pemandu di UK atau Orang Putih yang menjadi kebiasaan sebutan kita, rasa budi dan sikapnya amat terpuji sekali. Mereka mengamalkan apa yang selalu kita warwar atau bangga atau masyhurkan dengan kata-kata 'bahawa tangan yang memberi lebih baik tangan yang menerima'. Tapi tidak banyak dari kita mengamalkannya dalam kehidupan harian. Belum lagi menjadi budaya kita. 

Orang putih atau pemandu di UK memberi laluan. Bukan meminta laluan. Mereka bersifat memberi dan bukan meminta atau menerima saja. Sebab itu mereka memberi nyalaan lampu mengizinkan pemandu bertentangan dengannya lancar bergerak terlebih dahulu. Sesungguhnya dia berbesar hati melakukannya kerana lihat saja wajahnya tersenyum jika anda prihatin menoleh ke arahnya.

"Yours, please!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan