Theflowersellingboy

Selasa, 27 November 2012

Doa Untuk Perhimpunan Agung UMNO Yang Ke 66

PAS telah mendoakan kehancuran UMNO. Saya tidak pasti kesesuaian doa itu dari segi moral dan hukum. 

Namun saya suka mendoakan Perhimpunan UMNO yang ke 66 ini berjalan dengan selamat dan semoga Allah memberi petunjuk dan bimbingan agar UMNO dan kepimpinan yang menerajui kerajaan sedar dan insaf diatas perbuatan-perbuatan mereka yang dimurkai Allah, dan meninggalkan perbuatan-perbuatan tersebut. 

Segala puji bagi ALLAH tuhan sekalian alam. Selamat dan sejahtera keatas junjungan nabi besar Muhammad saw, keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda sekalian.

Pada hari ini dan beberapa hari yang akan datang sekumpulan hamba Mu dibawah naungan parti UMNO mengadakan perhimpunan agong mereka kali yang ke 66. Oleh itu ya Allah Kau berikan petunjuk serta hidayah kepada mereka ya Allah agar mentaati Mu dengan rendah diri bermuhasabah dan melihat semula dengan penuh keinsafan diatas apa yang telah mereka lakukan sepanjang mereka di berikan amanah untuk menguruskan negara Malaysia yang tercinta ini. 

Ya Allah sesungguhnya tiada siapa pun yang dapat memberikan kasih sayang dan ikhsan semulia Kau ya Allah. Oleh itu kami bermohon pada Mu agar tanamkanlah rasa kasih sayang dihati orang-orang UMNO khususnya kepada kepimpinan mereka agar mereka dapat bertindak dengan penuh kasih sayang sesama insan. Lupuskan perasaan hasad dan dengki mereka, tabiat yang suka merekacipta fitnah, suka membuat tohmah, berbohong dan segala sifat keji yang semata-mata  boleh merosakkan hubungan sesama insan.

Ya Allah kami sedar bahawa tiada siapa yang lebih berkuasa selain dari Kau ya Allah. Oleh itu Kau hapuskanlah akan perangai keji yang ada dikalangan kepimpinan UMNO yang berkuasa itu ya Allah khususnya sifat suka berlaku zalim iaitu  zalim sesama insan dengan menyalahgunakan kuasa yang diamanah kepada mereka untuk memenjara dan menyeksa sesiapa saja yang bertindak yang tidak sealiran dengan mereka. Dan Kau suluh dan terangkan hati mereka agar sentiasa nampak dengan jelas akan perbuatan zalim mereka terhadap negeri-negeri yang bukan dibawah urustadbir mereka dengan menafikan hak negeri-negeri tersebut seperti hak mendapat hasil minyak yang sepatutnya.

Ya Allah Kau saja tempat kami berharap dan bermohon agar negara yang Kau telah limpah dengan rahmat yang tidak terhingganya ini dapat diurustadbir dengan baik penuh amanah. Oleh itu Kau kikiskanlah nafsu tamak haloba dan salah guna kuasa yang ada pada mana-mana kepimpinan UMNO yang berkuasa agar berhenti melakukan rasuah dan jenayah kewangan yang lain. Selamatkanlah negara ini dan Kau berikan pertimbangan yang sesuai keatas mereka yang terlanjur melakukannya.

Ya Allah Kau jadikan kami semua rakyat Malaysia rakyat yang hidup yang berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bantu membantu. Jadikan negara kami sebuah negara yang aman damai dan lindungi kami dari musuh yang durjana.

Ya Allah kami juga bermohon bahawa sesiapa saja yang diberi amanah untuk mengurus tadbir negara tercinta ini, Kau peringatkan kepada mereka ya Allah bahawa kuasa yang ada pada mereka itu adalah terlalu kecil dan hanya sebagai pinjaman saja. Oleh itu Kau timbulkan rasa keinsafan dihati mereka untuk melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara. Sesungguhnya itulah yang lebih baik sebagai pemegang amanah rakyat.

Akhir sekali, ya Allah Kau berikan lah masa kepada parti UMNO dan sekutunya untuk bermuhasabah dengan merihatkan mereka dari mengurustadbir negara Malaysia selepas pilihanraya yang ke 13 nanti ya Allah. Berikan peluang kepada mereka merenung dan menilai perlakuan-perlakuan keji yang telah mereka lakukan semasa berkuasa kerana mereka yang jatuh dari kuasa sajalah yang mudah insaf untuk melakukan yang terbaik.     

Ya Allah Kau perkenankan doa kami ini, ya Allah.

Dengan doa ini kita mengharapkan UMNO akan berubah. Selamat Berhimpun dan Bersidang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan