Theflowersellingboy

Selasa, 6 November 2012

Oktober, November dan Disember Yang Hujan.

Bulan Oktober , November dan Disember adalah bulan hujan. 
 
Nampaknya setiap hari terutama disebelah petang hujan turun. Lebat pula. Kadang-kadang disertai dengan petir yang kuat. Ada tempat-tempat tertentu berlaku banjir. Sebahagian besarnya banjir kilat. Alat-alat letrik juga mungkin mengalami kerosakan.
 
Beberpa minggu yang lepas, saya dan beberapa pemandu kereta yang lain telah terperangkap dalam sebuah terowong di Precint 11 Putra Jaya yang telah dinaikki air. Untuk berundur ke belakang, ada beberapa buah kereta. Hendak ke hadapan, air sudah naik melebihi ketinggian tayar. Jika masih bertahan dalam terowong, ianya lebih bahaya. Jadi saya buat keputusan terus mengharungi air , bergerak ke depan dengan sentiasa menekan pedal minyak.  Selamat sampai ke rumah.
 
Keesokan harinya di pasar raya Maidin, isteri memberitahu plet nombor di hadapan telah tiada. Ahh ini semuanya gara-gara mengharung air semalam. Plet diganti yang baru. Kena RM43.00.
 
Tiga hari yang lepas pula, kabel yang memancarkan siaran astro telah tidak berfungsi. Kata pihak pengurusan kondo ini adalah disebabkan tembakan petir.  
 
Semalam saya dan keluarga dalam perjalanan ke kenduri kahwin rumah seorang kawan di Melaka. Kami bertolak dari Putra Jaya pada pukul 2 petang dengan membuat jangkaan kami akan sampai di majlis yang diadakan di sebuah dewan pada jam 4 petang iaitu satu jam sebelum jemputan berakhir pada pukul lima.
 
Saya tidak mengambil kira kemungkinan berlakunya kesesakan di lebuhraya ke selatan. Tidak juga mengambil kira faktor hujan walaupun hari-hari sebelumnya setiap petang hujan telah turun.
 
Apa yang terjadi? Sepanjang perjalanan hujuan turun. Kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan. Saya melihat jam di tangan dan merasakan kami tidak mungkin akan dapat sampai pada pukul 4 petang. Mungkin lewat satu jam iaitu pada pukul lima. Ketika itu mungkin  majlis  telah 'tutup kedai'. 
 
Tapi saya tekad untuk teruskan juga perjalanan ke majlis itu kerana ini adalah penghormatan dari seorang kawan. Kawan itu masih lagi sudi menjemput saya walaupun nama saya telah tidak ada lagi dalam senarai nama-nama yang terdapat di jabatan-jabatan kerajaan kerana telah lama bersara.
 
Hujan masih turun dengan lebat sebaik saja memasuki tol Air Keruh. Langit gelap seolah-olah sudah masuk waktu senja. Ketika itu baru 4.30 petang. Kami teruskan perjalanan.
 
Lebih kurang 6 kilometer untuk sampai ke majlis, hujan turun terlalu lebat disertai dengan petir. Jalan telah banjir. Kereta terpaksa bergerak perlahan kerana penglihatan kurang jelas ditambah pula mengharungi air diatas jalan.
 
Nampak gaya saya terpaksa membatalkan hajat untuk meneruskan perjalanan ke majlis kahwin itu. Pertama tidak mungkin boleh sampai pada pukul lima. Kedua, besar kemungkinan tempat itu juga akan dinaikki air.

Jadi saya buat keputusan untuk balik ke rumah yang telah lama kosong semenjak saya 'berhijrah'  di Putra Jaya.
 
Dan pada hari ini saya mendapat berita mengatakan bahawa tempat majlis kahwin itu telah dinaikki air. Saya harap majlis itu telah dapat diselesaikan sebelum kawasan di situ dinaikki air. Harap-harap kawan saya itu tidak jadi mangsa banjir.
 
Minggu depan kami bercadang untuk ke Kuantan. Balik ke kampong isteri. Kami sentiasa memantau keadaan cuaca disana. Jika jabatan metrologi kata hujan akan turun dan kemungkinan banjir, habislah rancangan kami.
 
Nampak gayanya bulan Oktober, November dan Disember adalah bulan hujan. Jadi semolek-moleknya elakkan mengadakan majlis kahwin pada bulan-bulan itu. Tapi pada bulan -bulan itu banyak pula hari cuti terutama cuti persekolahan yang panjang. Maka peluang ini boleh dimanfaatkan bagi tujuan majlis kahwin. Hanya kita mohon doa agar majlis kita tidak akan terjejas dik cuaca hujan itu.
 
Oleh itu kita wajar sentiasa mengikuti ramalan cuaca dari jabatan metrologi. Tapi kalau ramalannya tidak tepat jangan pula kita saman jabatan itu seperti yang berlaku di Itali dimana para saintisnya dihukum penjara kerana gagal meramalkan bencana alam. 
 
Mereka itu lupa bahawa manusia bukan peramal yang tepat. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui apa yang akan berlaku.
  
   
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan