Theflowersellingboy

Selasa, 6 November 2012

Bangkit Menentang Penghina Islam! Siapa Sebenarnya Yang Menghina

Cerita fasal menghina Islam ini nampaknya berterusan sambung menyambung. Boleh dikatakan hari-hari ada saja tentang cerita menghina Islam itu dan reaksi dari berbagai pihak terutamanya orang Melayu Islam. Tidak kisahlah sama ada mereka itu benar-benar memahami isu penghinaan itu, samar-samar kefahamannya  mahupun ikut-ikutan saja. Sebahagian besarnya marah dan ada yang teramat marah.
 
Juga ada yang memberi reaksi berdasarkan maklumat yang diperolehi dan didengar  secara langsung dari pihak yang menghina. Tidak kurang juga  mereka yang terlalu bergantung kepada maklumat yang didengar atau dibaca melalui laporan/berita  dari berbagai media yang masing-masingnya mempunyai kepentingan selain dari kepentingan menjaga kesucian Agama Islam itu sendiri. Maklumat yang lebih memberatkan  kepentingan masing-masing walaupun digambarkan seolah-olah sebagai pihak yang memperjuang atau mempertahankan kesucian Islam.
 
Maka menyemaraklah marah orang Melayu dibuatnya. Maka umat Islam Malaysia khususnya orang Melayu dengan segera bangkit menyata dan menunjukkan kemarahan terhadap pihak yang menghina Islam itu.
 
Tapi betulkah begitu? Betulkah mereka bangkit marah kerana Islam dihina?
 
Saya memberikan jawapan 'ya' terlebih dahulu. Dan saya akan mengatakan 'tidak' setelah melihat secara jelas bahawa ada kepentingan lain yang mendasari penentangan keatas penghinaan Islam itu.
 
Ya, sebagai orang Islam mana mungkin kita sanggup membiarkan penghinaan terhadap kepercayaan  yang mencorakkan cara hidup kita. Walaupun sekelumit saja mereka menghina Islam misalnya dalam hal yang berkaitan dengan halal haram makanan, kita wajar menentang mereka itu kerana itu adalah kehidupan kita. Kita hidup ada halal dan haram seperti yang ditentukan Allah SWT. Sama juga tentang had-had aurat yang boleh didedahkan seperti yang telah ditentukan. Jika ada pihak yang mempersoalkan, kita wajar terasa ianya sebagai satu penghinaan.
 
Maknanya penghinaan terhadap Islam itu tidak hanya terhad kepada misalnya membakar al-quran atau lakaran kartun dan kata-kata yang mencerca dan menghina nabi besar Muhammad SAW. Segala kehidupan kita yang bersandarkan kepada ajaran Islam jika dipersendakan adalah juga penghinaan terhadap Islam.
 
Oleh itu tiba masanya saya mengatakan bahawa penentangan sebahagian umat Islam Malaysia khususnya orang Melayu terhadap mereka yang menghina Islam, sama ada orang Melayu Islam sendiri atau pun bukan Islam adalah tidak sebenarnya kerana rasa terhina Islam dibuat sebegitu rupa. Mereka marah secara memilih mengikut keadaan dan masa. Dan sudah tentu dipengaruhi oleh kepentingan selain dari kesucian Islam.
 
Cuba kita lihat kembali apa yang telah berlaku di negara kita, pada masa yang lepas dan pada waktu semasa
 
Pertama jika yang menghina Islam itu terdiri warga luar yang bukan Islam atau negara luar misalnya dari warga Denmark, Belanda, Amerika atau Israel maka umat seluruh di seluruh dunia akan bangkit menentang dengan berbagai cara menyatakan kemarahan termasuklah tindakan yang tidak rasional membunuh orang yang tidak ada kena mengena atau orang yang tidak berdosa. Malaysia tidak pernah terkecuali dalam menyatakan kemarahan kita. Cuma kita belum lagi melakukan tindakan yang melampau seperti membunuh.
 
Kedua, jika yang menghina itu warga Malaysia yang bukan Islam reaksi sebahagian umat Islam khususnya orang Melayu kelihatan bersyarat dan memilih. Misalnya jika yang menghina itu mempunyai ikatan persefahaman politik untuk kekal berkuasa maka orang Melayu Islam itu walaupun setengahnya ada menyimpan marah dalam hati tapi demi kesepakatan untuk kekal berkuasa tidak akan menganggap kata cerca tehadap agama Islam sebagai satu penghinaan yang perlu ditentang.
 
Maksud saya apabila hukum Islam, misalnya hukum hudud itu dikatakan sebagai satu hukum yang boleh merendahkan orang Islam, yang boleh membuatkan orang Islam atau negara Islam menjadi pengamal rasuah yang paling nyata, reaksi marah hilang menyepi. Walaupun dipertuturkan dengan terang dan jelas dihadapan beberapa pemimpin Islam yang berkuasa dan didengar oleh ramai orang Islam dan bukan Islam, mereka orang Islam ini memilih untuk berdiam diri kerana ada syarat yang perlu dipenuhi iaitu kesepakatan demi mengekalkan kuasa.
 
Sekali lagi saya tanya adakah reaksi marah atas penghinaan itu? Jawabnya hanya membisu tanpa kata dan bahasa.  
 
Sebalikinya ada pula kata dan bahasa untuk menidakkan kata-kata yang telah dihamburkan menghina hukum hudud itu. Ada pula kata-kata dan bahasa untuk membela . Malang sekali yang membela itu datangnya dari mereka yang ilmu agama Islamnya sudah dapat membezakan yang mana batil dan yang mana hak.
 
Ketiga , bagaimana pula yang menghina Islam itu orang Islam itu sendiri? 
 
Reaksinya juga bersyarat menurut keadaan dan kedudukan penutur yang durjana itu.
 
Saya merujuk hal yang sama iaitu menghina hukum hudud juga. Jika penuturnya atau pelakunya orang  yang berkuasa, jangan harap puak sekumpulannya yang beragama Islam akan berani menegurnya. Apatah lagi menentangnya.
 
Sebaliknya jika yang menuturkan atau yang melakukan  itu orang Islam yang tidak ada kuasa dan tiada kedudukan maka dengan sekilat pantas pihak berkuasa agama dan orang Melayu Islam yang lain bangkit marah-marah dan membuat berbagai gesaan untuk menghukum si penutur atau sipelaku itu. 
 
Dalam hal ini jika sebenarnya orang itu menuturkan atau melakukan sesuatu yang menghina Islam, saya amat bersetuju tindakan yang sewajarnya diambil misalnya dibawa kemuka pengadilan. 
 
Namun berlaku juga putarbelit berita. Lain yang ditutur lain pula yang diberitakan dengan tujuan mengelirukan sehingga boleh menimbulkan fitnah bahawa ada kata-kata atau perbuatan yang menghina Islam. Maka sebahagian umat Islam  tanpa usul periksa dan tanpa juga menilai kewibawaan pihak yang membawa berita akan mudah percaya berita yang songsang itu.  Maka mereka bangkit dan marah.

Perkara diatas itu memang berlaku di negara kita. Sebab itulah ada berlaku kes saman menyaman    
 
Saya pernah menyentuh hal penghinaan terhadap agama Islam ini dalam paparan yang lepas. Secara rengkasnya saya amat bersetuju agar kita  umat Islam mesti mempertahankan kesucian agama kita. Kita wajar marah dan membenci mereka sama ada mereka yang menghina itu terdiri dari bukan Islam apatah lagi jika mereka itu orang Islam yang begitu rendah budi dan pekerti sehingga sanggup secara terang tanpa perasaan hormat dalam hubungan sesama manusia menghina kepercayaan orang lain.
 
Namun dalam meluahkan perasaan marah itu saya lebih suka memilih pendekatan dengan melihat kepada diri kita sendiri sebagai seorang Islam yang sayangkan agama  suci kita itu. Dan saya juga tidak menyokong perbuatan yang ganas dengan menyerang dan membunuh pihak lain yang tidak berdosa.
 
Secara amnya saya lihat bahawa isu penghinaan terhadap Islam itu telah disempitkan ruanglingkupnya. Kita terlalu terhina dan seterusnya marah jika keperibadian nabi besar kita Muhammad SAW dipermain-mainkan sama ada dalam coretan kata-kata atau lakaran kartun; kita marah dan rasa dihina apabila kitab suci kita al-quran  diperbuat sebegitu rupa seperti dibakar dan perbuatan-perbuatan lain yang biadab; dan kita juga amat marah akan penghinaan dalam bicara-bicara yang merendah-rendahkan isi kandungan al-quran.
 
Akhir nya saya ingin bertanya  dua soalan saja:
 
i) membenarkan industri judi termasuk menjadikan sumber pembiayaan kerajaan tidak merupakan penghinaan terhadap Islam.
 
ii)  orang Islam menjalankan perniagaan arak tidak juga dianggap menghina Islam.
 
Saya percaya ada orang Melayu Islam Malaysia yang mengatakan kedua-dua jenis perniagaan itu tidak menghina Islam.  Maka mereka terus menerus mempertahan dan melibatkan diri dalam kedua-dua perniagaan haram itu.
 
Yang malangnya mereka inilah yang mempunyai kedudukan dan kuasa mempengaruhi orang Melayu Islam terutama yang di luar bandar yang hanya bergantung kepada media sebaran dibawah kawalannya. 
 
Jadi apa yang hendak dihairankan jika yang bukan Islam menghina Islam. Cara hidup orang Melayu Islampun sama ada yang ada kuasa atau yang tiada kuasa, sama ada yang miskin papa kedana atau pun yang kaya raya , sebahagiannya tergelincir dari syariah Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan