Theflowersellingboy

Jumaat, 23 November 2012

AES.. Apa yang tidak kena

1. Kalau tak silap saya ini adalah kali ke empat saya cakap fasal AES. Paling awal pada bulan Mei atau Jun 2012 semasa perjanjian di tanda tangani antara kerajaan (yang diwakili TPM) dan pihak-pihak swasta yang diberikan projek ini.

2. Ketika itu saya kata saya tidak bersetuju. Hari inipun saya kata tidak bersetuju. Saya masih lagi berpendapat bahawa soal keselamatan jalanraya adalah tanggongjawab mutlak Kerajaan termasuk dalam soal penguatkuasaan.

3. Malangnya dua hari lepas parlimen bersetuju meluluskan AES atas dasar sokongan majoriti ahli parlimen. Ahli parlimen PR tidak bersetuju. Nampaknya ahli parlimen  kita belum matang seperti di negara-negara maju. Ahli parlimen kita mendahului kepentingan parti walaupun tindakan mereka itu menjejaskan kepentingan rakyat dan negara.

4. Saya menentang bukan sengaja suka-suka menentang. Bukan menentang kerana melibatkan kerajaan BN. Banyak dasar-dasar dan program-program BN yang saya setuju.

5. Saya tidak bersetuju AES kerana saya lihat banyak yang tidak kena. Antara lain:

i) Skop keselamatan jalan raya tidaklah terhad kepada tugas penguatkuasaan saja. Jadi penguatkuasaan bukanlah hanya satu cara saja untuk mengurangkan kemalangan jalan raya. Oleh itu skop keselamatan jalan raya yang antaranya terdiri dari penguatkuasaan undang-undang, penyediaan infrastruktur jalan raya yang baik dan sempurna termasuk penyelenggaraan jalan raya dan pendidikan penggunaan jalan raya yang selamat tidak boleh dipisahkan tanggongjawab diantara kerajaan dan swasta. Ianya adalah satu pakej. Ianya  adalah tanggungjawab mutlak kerajaan yang memerintah. Ia nya tidak wajar diswastakan.

ii) Pihak swasta hanya berminat dalam penguatkuasaan kesalahan jalan raya kerana disitu ada hasil. Dan bukan bertujuan untuk keselamatan pengguna jalan raya saja. Mengapa kita perlu beri hasil kepada swasta sedangkan hasil itu boleh digunakan untuk  faedah dan menfaat rakyat.

iii) Penguatkuasaan keselamatan jalan raya sama ada dari segi undang-undang , penguatkuasan dan agensi yang menguatkuasakan, dan peralatan serta kelengkapan yang digunakan dan tenaga kerja yang mengurus serta mengendalikan bukan sesuatu yang baru. Penguatkuasa agensi Kerajaan mempunyai pengalaman yang cukup luas dan mendalam berbanding pihak swasta.

Memang ada kelemahan di sana sini. Tapi kelemahan itu boleh di perbaikki.       

iv) Penguatkuasaan keselamatan jalan raya bukan satu bentuk perniagaan. Oleh itu tidak sesuai diuruskan oleh swasta yang bermotifkan keuntungan.

Bermakna kutipan hasil saman adalah bersifat menghukum pesalah untuk memberi kesedaran, amaran dan ingatan kepada pengguna jalan raya supaya berkhemah dan berdisiplin menggunakan jalan raya atau semasa berada di jalan raya.

Hasil saman akan dikembalikan faedahnya kepada rakyat kerana hasil itu akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Di Satukan (Persekutuan). Pada setiap tahun melalui pembentangan Bajet Kerajaan akan meminta parlimen meluluskan pengeluaran dan penggunaan hasil dari dalam Kumpulan Wang ini bagi faeadah rakyat.

v) Kerajaan  bertanggungjawab bagi menentukan pengguna jalan raya  berada dalam keadaan selamat melalui pembinaan dan penyediaan infrastruktur (jalan raya termasuk jejambat, kawasan  rekreasi dan rehat dan lain-lain) yang sempurna dan selamat, penguatkuasan undang-undang (saman) dan pendidikan kepada pengguna jalan raya.

vi) Kerajaan juga telah mempunyai berbagai agensi bagi tujuan-tujuan diatas seperti JKR, JPJ, Polis dan MIROS.

6. Cuba lihat  penguatkuasaan  yang diswastakan (AES):

i) Peralatan penguatkuasaan iaitu kamera akan disediakan oleh pihak swasta atas biayaan swasta berkenaan. Bilangan jumlah kamera yang dimaklumkan adalah sebanyak 831 buah dengan kos 800 juta (mungkin termasuk kos pemasangan).

Ertinya satu kamera berharga lebih 962 ribu ringgit. Saya tidak pasti sama ada harga ini telah di semak (verify) oleh kerajaan sama ada benar dan berpatutan atau sebaliknya. Sepatutnya disemak kerana terlalu mahal.

ii) Menurut yang di persetujui, setiap satu saman yang dikeluarkan syarikat akan dibayar 16 ringgit. Maknanya kamera AES itu bukan diberi percuma. Kita, rakyat yang bayar. 

Siapa bayar? Rakyat yang bayar.

iii) Matlamat penguatkuasaan dibawah AES masih lagi sama iaitu untuk keselamatan pengguna jalan raya melalui pengenaan denda saman sebagai cara hukuman untuk memberi kesedaran, amaran dan ingatan kepada pengguna jalan raya.

Pihak swasta tidak bertanggungjawab untuk  menentukan keadaan jalan raya yang selamat misalnya memperbaikki jalan-jalan yang berlubang , berlopak-lopak dan membuang atau membersihkan halangan yang terdapat diatas jalan.

Hal-hal itu pun boleh menjamin keselamatan pengguna jalan raya bukan saja penguatkuasaan.
Dan pihak swasta juga tidak bertanggongjawab menyediakan program pendidikan keselamatan jalan raya.

7. Kaedah penguatkuasaan swasta adalah sama dengan apa yang telah dilakukan oleh Polis iaitu menggunakan kamera. Bezanya, kamera AES tidak perlu di urus oleh anggota, hanya dicacak saja di tepi-tepi jalan yang dipilih dan berfungsi siang dan malam. Ianya kamera otomatik. Keluar saman secara otomatik.

Mungkin juga kamera ini boleh berfungsi dalam apa saja keadaan misalnya panas terik , hujan ribut dan petir. Ini menambah lagi bilangan rakaman pesalah jalan raya. Menambah hasil saman. Menambah kutipan hasil swasta.

 8. Swasta adalah ahli perniagaan yang matlamat utamanya untuk membuat untung. Dari segi teori  dan praktik orang berniaga, mereka mengamalkan falsafah 'to maximise profit' atau buat untung seuntung-untungnya.

 Maknanya matlamat projek AES ini bukanlah sebenarnya untuk menyelamatkan pengguna jalan raya atau mengurangkan kemalangan jalan raya, tapi untuk buat untung. Itu kira-kira mereka. Itu 'bottom line' swasta. NPV mereka tidak pernah negatif. Dari bayaran hasil yang di terima, dalam masa singkat mereka akan pulang  modal dan terus buat untung besar.

Kalau projek AES ini tidak untung, saya jamin pihak swasta tidak akan masuk.


9. Jelas AES adalah untuk kepentingan swasta buat untung berselindung di sebalik matlamat keselamatan pengguna jalan raya. Pihak swasta memancing ikan dalam kolam yang sudah dimasukkan ikan. Mudah saja kerja. Beli pancing dapatlah ikan. Tambah-tambah lagi hanya 2 orang saja yang dibenarkan memancing dalam kolam yang telah dimasukkan ikan didalamnya. Ketawa besarlah dua orang itu sambil dalam hati berbisik 'bodohnya' rakyat Malaysia ni.

10. Rakyat Malaysia tidak bodoh. Yang bodoh ialah mereka yang ada kuasa memberi hak jagaan keselamatan yang ada hasil itu kepada swasta.

Siapa mereka?
Ahli-ahli Parlimen BN yang menguasai kerajaan ketika ini.
Sebenarkah mereka itu bodoh?

Saya tidak percaya. Mereka semua adalah orang-orang bijak pandai yang telah dipilih oleh rakyat. Mereka bijak dan pandai. Tapi untuk diri dan kelompok sendiri. Bukan untuk rakyat terbanyak.

Maknanya mereka mengkhianati rakyat?

Maknanya mereka tidak ada belas ikhsan keatas rakyat yang ketika ini telah terlalu banyak dibebankan dengan kos sara hidup yang meningkat?

Maknanya mereka mungkir akan janji-janji untuk membela Rakyat?

Maknanya mereka tidak memikirkan risiko bahawa rakyat akan menolak BN dalam pilihanraya akan datang?

Maknanya mereka sudah menjadi sombong dan bongkak kerana telah terlalu lama berkuasa?

Ya, jawapan kesemuanya ialah 'YA', memang benar bahawa mereka adalah seperti itu.

Mereka lupa daratan.

11. Kita rakyat Malaysia tidak bodoh. Hanya jadi BODOH jika kita pilih lagi mereka dalam pilihanraya ke 13 nanti. Jadi hambalah kita. Bila jadi hamba jangan pula marah-marah. Itu sudah  melanggar etika seorang hamba. Hamba mana boleh marah tuan.

Soalan terakhir: Adakah ahli BN dan Kerajaan tidak berhati perut?

Jawapan: Mereka ada hati (belas ikhsan dan kasih sayang) dan ada perut (untuk mengenyangkan diri). Cuma mereka terlalu mementingkan perut melebihi dari hati.

12. Kesimpulannya bahawa rakyat tidak pernah menentang penguatkuasaan undang-undang jalan raya yang dilaksanakan kerajaan. Rakyat tetap bayar saman. Tapi dengan AES ini rakyat tidak suka. Ertinya ada yang tidak kena. Rakyat Malaysia tidak bodoh. Cuma yang bodoh jika mereka berjiwa hamba.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan