Theflowersellingboy

Jumaat, 16 November 2012

Salam Jumaat :Hijrah, Tahap Mana, y a?

Tiap-tiap tahun kita menyambut tahun Hijriah- tahun Islam. Macam-macam program dianjurkan oleh berbagai pihak. Semua program adalah bermatlamatkan ke arah kebaikan, menganjurkan umat untuk memperbaikki tahap yang ada ke tahap yang lebih baik. 

Dan secara simboliknya mereka yang telah atau dipercayai telah melakukan perubahan ke arah yang lebih baik diberikan penghargaan dan pengiktirafan oleh negeri dan negara dengan dikalungkan sebagai 'Tokoh Maal Hijrah'.

Cuba kita lihat di agensi-agensi kerajaan. Secara amnya pekerja-pekerja agensi kerajaan telah dapat melakukan perubahan dari sebuah agensi yang lembab menguruskan perkhidmatan kepada agensi yang cekap dan memberi perkhidmatan yang berkualiti. Perkhidmatan dapat diberi dan disampaikan dengan mesra, mudah diperolehi dan menjimatkan masa. Lihat saja perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan Imigresyen khususnya dalam pengeluaran paspot. Cepat sekali. Tahniah.

Namun ada juga pekerja-pekerja dari berbagai agensi masih lagi tidak berubah. Bukan saja tidak berubah malah lebih teruk lagi.
Jam 10 pagi tadi, setelah mendapat perkhidmatan di sebuah klinik kerajaan- yang saya berikan taraf 'bolehlah' dari segi perkhidmatan yang diberikan, saya singgah di sebuah gerai makan untuk bersarapan pagi. Gerai itu adalah dalam kawasan kompleks pejabat-pejabat kerajaan. 

Suasana di gerai-gerai itu kelihatan sama saja malah lebih meriah dari tahun-tahun 19 puluhan. Pekerja-pekerja dari berbagai jabatan kelihatan sebahagiannya beratur menunggu pesanan, ada yang duduk di kerusi; ada yang sedang enak makan-makan; ada yang meneruskan bercerita dan bergelak ketawa sedang makanan dan minuman telah habis dikunyah dan ditelan; dan ada yang datang bertali arus menambahkan bilangan kesesakan digerai.
Saya digerai sehingga 10.30 pagi. 

Saya meninggalkan gerai untuk balik ke rumah. Pekerja-pekerja yang telah ada lebih awal dari saya masih lagi berseronok bercerita. Barisan pekerja yang menunggu pesanan makanan masih lagi ada. Yang masih enak-enak makan-makan pun sama.

Berapa lama mereka ini memberi tumpuan kepada kerja?

Mereka masuk pejabat jam 8 pagi. Ada juga yang awal. Dan ada juga yang lambat. Katakan mereka terus beri perhatian kepada kerja mulai pukul 8. Pukul 10 pagi atau pun menghampiri pukul 10, katakan pukul 9.50 pagi sebahagian dari mereka akan ke gerai. Buat pesanan makanan untuk dibawa makan di pejabat: Masa menunggu katakan 10 minit (apa yang saya lihat melebihi 10 minit). Makan di pejabat, katakan 10 minit. Dari pejabat ke gerai pergi balik katakan 5 minit.  

Kemudian sambung kerja  sehingga 12.15 tengah hari kerana hari ini hari Jumaat, masa kerja dipendekkan.

Jadi jumlah masa memberi tumpuan kepada kerja sehingga pukul 12.15 adalah selama 3 jam 50 minit. Sepatutnya 4 jam 15 minit. Masa terbazir 25 minit bagi satu pekerja.

Perkiraan ini tidak termasuk perkiraan 'mengambil mood' untuk memulakan kerja. Selepas 'clock-in' tidak semuanya akan terus fokous pada kerja. Ada yang ke bilik air untuk menunaikan hajat. Ada hajat atas keperluan semula jadi. Ada hajat untuk bergincu dan sebagainya. Dan sama juga selepas makan, tidak semestinya terus buat kerja. Ada yang mencuci pinggan, sudu dan cawan bekas makanan/minuman serta meja. Kemudian menghampiri waktu 12.15, ada yang sudah ada 'mood untuk balik' lantas fokus kepada kerja sudah menurun/tiada.

Disebelah petang pula waktu pejabat bermula 2.45 petang. Ada yang datang awal. Ada yang datang pukul 3 petang. Yang perempuan pula, waktu rihat tidak digunakan untuk solat Zohor tapi pergi 'bershopping'. Solat Zohor dilakukan setelah balik pejabat pada 2-45 petang. Yang teruknya apabila ada yang balik pada pukul 3 petang. Solat Zohor wajib dilakukan, fardhu ain. Jadi bersolat Zohorlah mereka ini.

Kemudian tiba giliran untuk 'ambil mood' untuk memulakan kerja sebelah petang. Ada yang berhenti kerja untuk minum petang pada pulul 3.30 petang. Ambil 'mood kerja' selepas minum petang. Kemudian teruskan kerja sehuingga pukul 5 petang.

Jadi berapa lama mereka ini menumpukan kerja pada sesuatu hari kerja? Kiralah sendiri. Banyak membazir masa. Akibatnya perkhidmatan kepada orang ramai atau perkhidmatan bagi menggerakkan pembangunan negara akan terjejas.

Macam saya katakan diatas bahawa tidak semua pekerja-pekerja awam berkelakuan dan bersikap begitu. Ada yang telah melakukan kerja yang amat baik serta bermutu seperti contoh Jabatan Imigresyen tadi. Pekerja-pekerjanya sudah berhijrah, dan mengamalkan semangat hijriah.

Tapi yang saya lihat pada hari ini, tidak ada beza seperti keadaan pada tahun 19 puluhan atau tahun-tahun sebelumnya. Banyak borak dari kerja. Tidak ada semangat hijrah walaupun semuanya meraikan bahkan terlibat dalam sambutan 'Maal Hijriah'. Sungguh kecewa sekali.
  
   
  

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan