Theflowersellingboy

Rabu, 28 November 2012

Dihari Pertama Melapor Diri: Cerita Benar

Mereka tinggal di sebuah flet empat tingkat, di sebuah kawasan yang pesat membangun di Bandaraya Kuala Lumpur. Mereka berempat menyewa bilik , seorang setiap satu. Masing-masing  bekerja di tempat dan majikan yang berlainan. Tiga orang di jabatan-jabatan kerajaan dan seorang di badan berkanun. Mereka semuanya masih bujang berusia tidak lebih 25 tahun.
 
Mereka tidak selalu berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan tugas dan minat sendiri-sendiri kecuali pada hari cuti hujung minggu. 
 
Pada hari Ahad selepas masing-masing balik  dari sarapan di luar, lebih kurang pada pukul 10 pagi, mereka berkumpul di ruang tamu membaca surat khabar dan menonton tv. Suasana menjadi riuh dan ada masanya hangat apabila mereka bercakap dan berbincang dalam sesuatu isu. Tidak semuanya mempunyai pandangan dan pendapat yang sama. 
 
Isu yang boleh menghangatkan suasana adalah isu politik. 
 
Dari empat orang hanya seorang saja sudah menjadi ahli parti sebuah parti politik. Tiga yang lain tidak berminat menjadi ahli mana-mana parti politik. 
 
Ada yang kata politik itu banyak yang bohong dari yang benar. Mesti pandai putar belit. Mesti ada sifat pura-pura. Mesti pandai kelentong. Mesti pandai senyum dan buat-buat senyum apabila bertegur sapa. Jangan berat untuk angkat tangan bersalaman. Selepas bersalam mesti tepuk bahu kawan itu tanda kemesraan. Tidak boleh lurus bendul kalau tak mahu disondol. Rebah nanti.

Orang politik juga mesti tebal muka, jangan mudah naik darah dan marah-marah. Dengan mengukir senyum kambing, simpan marah dalam hati. Jangan mudah merajuk kerana tidak ada yang ikhlas memujuk. Mesti banyak kawan untuk bena pengaruh dan kekuatan. Dan jangan kedekut keluar belanja. Jangan pula percaya kawan itu sentiasa setia selamanya. Kawan itu sebenarnya lawan. Kawan itu sebenarnya musuh yang perlu diawasi seterperinci mungkin. Hari ini kawan, esok lusa dia boleh jadi lawan.
 
Untuk jadi orang politik mesti ada seni. Tidak boleh keras menegak. Mesti boleh bengkok ke kiri, bengkok ke kanan, bengkok ke depan dan bengkok ke belakang. Ikut yang mana lebih selesa. Jika bengkok ke belakang lebih selesa walaupun perbuatan itu luar dari biasa dan ada yang kata perbuatan orang gila, itu tidak jadi hal. Tak jadi kudis. 
 
Seni politik serba boleh. Yang penting ramai pengikut dan penyokong. Soal moral, dosa pahala dan penampilan penting juga. Cuma mesti pandai pilih masa, dan sudah tentu tidak sepenuh masa.
      
Begitulah tanggapan  tiga orang bujang yang tidak berminat jadi ahli mana-mana parti politik terhadap politik. Politik terlalu menjijikkan.
 
Tanggapan ini mendapat tentangan yang hebat dari yang seorang lagi, yang menjadi ahli politik sebuah parti. Yang paling dia tidak bersetuju apabila politik itu dikatakan sangat kotor dan menjijikkan. Dia kata dia akan membuktikan bahawa tanggapan tiga orang kawan itu salah. 
 
Walaupun bertengkar dan berbeza pendapat mereka tetap mesra juga.
 
Maka sebermula berpisahlah mereka apabila masing-masing berumah tangga.
 
Lama juga mereka tidak berjumpa. Sekonyong-konyong seorang kawan dari yang tiga orang yang anti politik itu mendapat perintah tukar tempat kerja. Balik ke negeri sendiri.
 
Dia sungguh seronok dan gembira. Pertama, berkhidmat di negeri sendiri. Bolehlah buat jasa pada orang kampong. Kedua, dia juga dapat tahu bos di tempat kerja barunya ialah kawan lamanya yang berparti politik itu. Kawannya itu sudah jadi ketua negeri. 
 
Dia membayangkan betapa terperanjat sukanya kawan itu pada hari dia melaporkan diri nanti. Mana kan tidak, sama-sama berlenggeng tak pakai baju duduk diatas kerusi menonton tv dan membaca surat khabar. Berhujah dan bertengkar kerana berbeza pendapat. Ketawa besar pada hari cuti hujung minggu. Kawan tetap kawan.
 
Dia ketuk pintu sebagai isyarat minta izin masuk. Dia membuka pintu perlahan-lahan seolah-olah tidak mahu bos nya itu dapat mengesan pintu di buka. Dia tidak mahu bosnya menegur dia dulu. Dia mahu beri salam terlebih dulu. Dia mahu buat 'surprise' dihari pertama melapor diri kerana dah lama tak bersua muka.
 
Dengan penuh kegembiraan dan besar hati dia beri salam dan bergerak pantas ke meja bosnya itu. Dia mahu bersalam dan peluk kawan lamanya. 
 
Tiba-tiba langkah kakinya tidak secepat seperti yang diharapkan. Kawannya sedang asyik membaca sesuatu. Tidak sedikitpun menoleh ke arahnya. Tidak menjawab salam.
 
Dia telah dapat baca suasana dengan cepat seperti kilat. Ini bukan suasana di bilik tamu semasa menonton tv dulu. Ini adalah suasana seorang orang bawah berhadapan dengan bos. Suasana melapor diri untuk bekerja.
  
Dia berdiri tegak. Dia tidak mahu duduk walaupun ada dua kerusi disampingnya.
 
'Duduk', arahan ringkas dari bos. Bos angkat muka dan bertanya, 'What's your name? What's your background?'
 
Dia tidak menjawab. Dia tunjukkan arahan pertukaran. Disitu ada nama dan dari jabatan mana dia di datangkan.
 
Perjumpaan tidak sampai lima minit. Dia bangun dan bingkas keluar tanpa minta izin.
 
Dia berjalan menuju ke pejabatnya. Sudah termetrai dalam hatinya, otaknya dan jiwa raganya bahawa orang politik sememangnya begitu seperti yang dia kata dulu. 
 
Hari ini kawannya itu membuat bengkokan badan ke belakang sehingga matanya tidak dapat melihat wajah yang berdiri di hadapannya. 
 
'Apa ada hal. Tidak jadi kudis'.
 
Sebermula masa berjalan. Perangai politik keji bosnya semakin hebat tanpa segan silu. Moral, dosa, pahala dilanggarnya. Bukan pilih-pilih masa saja, bahkan sepenuh masa.      
 
Sekonyong-konyong masa pun tiba. Masuk gaung juga kawan politiknya itu. Tamatlah riwayatnya walaupun pun cuba-cuba bangkit semula.
 
Dia sudah bersara. Hidup aman bahagia. Tidak pening kepala.  
        

Tiada ulasan:

Catat Ulasan