Disebelah pagi hari ini saya bercadang untuk membuat paparan tentang sedikit kisah di hari pertama melaporkan diri bekerja disebuah jabatan. Namun setelah mendengar khutbah Jumaat pada hari ini, tergerak dihati untuk menulis sedikit tentang hal yang disentuh dalam khutbah Jumaat itu.
Isu yang disentuh ialah tentang liberalisma dan pluralisma walaupun tajuk khutbah itu 'Kemanisan Beriman'.
Saya mengharapkan tok khatib itu faham akan maksud atau makna kedua-dua perkataan itu. Saya juga mengharapkan ahli jemaah yang mendengar (tidak termasuk yang hadir tetapi tidak mendengar, tidur) khutbah itu akan juga faham isi kandungan khutbah yang disampaikan itu.
Alhamdulillah saya termasuk dikalangan yang hadir dan mendengar khutbah yang disampaikan oleh tok khatib yang juga mengimamkan solat Jumaat pada hari ini.
Khutbah menyatakan kebimbangan akan gejala liberalisma agama yang dikatakan telah dan sedang meresap dikalangan orang Islam. Maksud liberalisma agama ini menurut khutbah, ialah anggapan bahawa semua agama adalah sama. Ertinya agama Islam sama dengan agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu misalnya. Dengan itu ianya sesuatu yang tidak betul kerana agama yang benar ialah agama Islam. Dan agama yang lain adalah tidak benar.
Benar. Bagi penganut Islam seperti saya, agama Islam yang saya pilih dan anuti sebagai cara hidup saya adalah agama yang benar. Agama yang lain adalah tidak benar. Sebab itu saya masih sesorang Islam meneruskan kepercayaan yang dianuti oleh kedua ibubapa saya. Dan saya meneruskan kepercayaan Islam saya bukan atas peruntukan yang disediakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mentafsirkan bahawa semua orang Melayu itu beragama Islam.
Ertinya saya beragama Islam adalah atas kepercayaan bahawa Islam adalah agama yang benar yang diredhai Allah SWT. Sekiranya ada mana-mana orang Melayu memilih Islam atas dasar telah ditentukan dalam Perlembagaan Persekutuan maka pemahaman orang itu mesti dibetulkan.
Kita pilih Islam dan beramal akan segala ajarannya disebabkan kita percaya bahawa Islam adalah agama yang benar sama ada ada diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.
Kita mesti jelas akan asas mengapa kita memilih atau beragama Islam. Kekuatan iman dan kepercayaan kita kepada agama Allah ini adalah berteraskan kepada ajaran yang dibawa oleh nabi besar kita Muhammad SAW melalui al-quran, hadith dan sunnah Rasullullah. Islam kita bukan dik kerana di definasikan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jika kita jelas mengapa kita beragama Islam maka keyakinan kita terhadap Islam sebagai pegangan hidup sentiasa mantap dan kukuh dimana saja kita berada dan apa saja kewarganegaraan kita.
Saya ambil contoh bagi menyokong kenyataan saya diatas. Contoh orang Melayu yang berhijrah ke negara lain dan mendapat kewarganegaraan negara berkenaan misalnya Britain dan Singapura. Mereka ini tidak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi oleh kerana mereka ini jelas mengapa Islam menjadi agama yang mereka imani, yang mengatur kehidupannya maka sama ada mereka di London atau di Singapura mereka tetap menjadikan Islam sebagai pegangan hidup. Mereka masih lagi orang Melayu.
Sebaliknya jika mereka tidak jelas dengan asas atau teras mengapa mereka beragama Islam atau memahami bahawa mereka beragama Islam di sebabkan didefinasikan sebagai Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana mereka orang Melayu maka walaupun mereka di Malaysia, apatah lagi di negara Britain misalnya, kualiti Islamnya dari segi ilmu dan amalan dan kehidupan harian tidak sebaik mereka yang jelas akan asas mengapa mereka beragama Islam.
Jadi Islam adalah agama yang benar. Maka orang Melayu yang jelas akan asas pemilihan seperti yang dinyatakan diatas tidak akan berkata Islam dan agama yang lain adalah sama. Kalau tarafnya sama mereka akan pilih semua atau mana-mana agama lain yang mereka mahu.
Tetapi jika orang Melayu tidak faham mengapa mereka beragama Islam atau memilih Islam sebagai agama, dan hanya semata-mata mereka berpegang kepada definasikan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai beragama Islam maka orang semacam ini akan berkelakuan dan bercara hidup sama seperti orang dari agama lain dan melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang dalam Islam seperti pecah amanah dan perasuah, pembunuhan, pemfitnah dan putarbelit walaupun mereka tidak mengatakan bahawa Islam dan agama lain itu sama. Sebab mereka tiada ilmu Islam dan tidak juga mengamalkan ajaran Islam. Mereka hanya berlindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan. Itulah kaedah dan cara mereka membina keimanan Islamnya. Saya namakan mereka ini Islam Perlembagaan.
Namun ada juga golongan diatas ini akan bermati-matian seolah-olah mempertahankan Islam apabila saja ada pihak lain yang jahat dan nakal menghina Islam misalnya mengatakan Islam dan agama lain adalah sama, sedangkan cara hidup mereka (orang Islam itu) misalnya dari segi ilmu dan amalan, pakaian dan makanan, perniagaan dan kerjaya banyak yang tergelincir dari syariah Islam. Dan jika ada orang yang jahat dan nakal mempersoalkan peruntukan Perlembagaan itu maka dengan cepat dan pantas orang jahat dan nakal itu di keronyoknya. Padan muka kedua-dua belah pihak!
Maka nampaklah mereka sebagai hero memperjuangkan Islam orang Melayu!
Dan mereka tanpa silu dan malu mengatakan merekalah pejuang Islam, mempertahankan aqidah Islam. Muka tebal sungguh!
Dan sama juga reaksi mereka kalau ada orang Melayu Islam yang berkata dengan merujuk kepada ayat al-quran yang membawa maksud 'tiada paksaan dalam agama'. Mereka akan bertindak gila-gila seperti orang tidak waras mencerca dan mencela orang Islam yang berkata itu dengan dakwaan dan tuduhan bahawa orang itu menggalakkan orang Melayu menjadi murtad. Sebab dakwa mereka bahawa orang Melayu dari segi Perlembagaan Persekutuan di definasikan sebagai Islam. Maka orang Melayu macam mana pun mesti Islam.
Maka orang Melayu macam mana pun mesti Islam. Sengaja saya ulang ayat ini.
Mari kita bersama termasuk diri saya memeriksa apa yang kita telah lakukan terhadap Islam. Saya akan menjawab untuk diri saya dulu. Bahawa saya masih lagi banyak kekurangan dalam ilmu dan amalan Islam. Dan saya bertekad untuk meningkatnya , InsyaAllah.
Kita wajar mengakui bahawa sebahagian besar dari kita masih lagi belum mantap dan kemas amalan Islam kita. Keadaan seperti ini bukan saja terdiri dari orang-orang seperti saya yang tidak bertaraf pemimpin agama Islam atau ustaz. Malah dikalangan yang bergelar ustaz dan pemimpin Islam dari peringkat paling bawah sehingga yang paling tertinggi, amalan Islam tidaklah seperti yang sewajarnya. Rasanya jika hendak disenaraikan perlakuan-perlakuan yang telah di pamerkan, banyak yang memalukan dan menghina agama Islam itu sendiri.
Kenapa jadi begini. Kenapa pula pihak berkuasa agama Islam tidak melihat perkara seperti ini satu perkara yang penting dan utama untuk diperbetulkan. Ada dalima ke? Serba salah, kalau dibuat mati mak dan kalau tak buat mati bapa? Atau yang teratas itu..........
Bagi saya selagi kita berteraskan definasi Melayu itu sebagai Islam, dan dengan itu kita adalah orang Islam maka sampai bila-bila masa pun ianya tidak akan membantu kita untuk menjadikan iman itu sesuatu yang manis. Dan definasi itu juga akan disalah gunakan bagi mempertahankan kepentingan pihak-pihak tertentu. Tiada apa salahnya definasi itu. Cuma ada pihak yang menyalahgunakan.
Sekali lagi saya katakan bahawa kita mesti jelas dan tahu mengapa kita beragama Islam. Kita beragama Islam adalah kerana agama itulah yang benar, agama Allah. Dan bukan kerana kita didefinasikan sebagai Islam kerana keMelayuan kita.
Bolehkah iman kita bertahan jika kita sendiri tidak faham dan jelas mengapa kita beragama Islam. Mana ada manis dalam iman.
Jadi apakah motif mereka yang sebenarnya sehingga macam naik gila menuduh seseorang itu menggalakkan orang Melayu murtad? Nak kata perjuangkan Islam, cara hidup mereka tidaklah menurut yang ditentukan oleh Islam.
Hanya sanya saya mahu meneka saja bahawa mereka mempertahankan sesuatu kepentingan . Sudah tentu bukan agama Islam yang hendak dipertahankan kerana mereka sendiri mengutuk Islam. Mereka sendiri tidak yakin dengan hukum Allah. Mereka sendiri mendiamkan diri apabila dengan jelas lagi terang orang jahat memperlecehkan Islam secara berhadapan. Mereka sendiri mempromosikan dan menggalakkan fitnah yang disebarluas, ditayang berulangkali dalam media tv.
Apa kepentingan yang hendak di pertahankan? Dalam dunia ini dua kepentingan yang menjadi kegilaan manusia iaitu kuasa dan kedudukan, sama ada kedudukan politik atau kedudukan keturunan. Kedua-dua ini kalau dipegang lama dan berkekalan akan melayakkan mereka melakukan apa saja yang mereka suka termasuk menzalimi siapa saja terutama yang menjadi pesaing mereka atau mereka yang mengharapkan perlindungan dan kasih sayang.
Yang amat malang sekali ialah bahawa dengan kedudukan dan kuasa yang ada mereka dapat menguasai orang lain untuk berkelakuan seperti mereka.
Jadi saya memang menentang jika ada pihak terutama orang Islam , tak kiralah Melayu ke , Cina ke atau apa bangsa sekalipun yang mengatakan Islam itu sama dengan agama lain. Tetapi saya tidak akan menentang malah bersetuju jika kita menghormati pegangan agama orang lain. 'Kamu dengan agama kamu dan Aku dengan agama aku'.
Dengan itu pada pandangan saya khutbah Jumaat pada hari ini tidak membantu untuk memperkemas dan meningkatkan iman orang-orang Melayu Islam walaupun tajuk yang di pilih 'Kemanisan Beriman'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan