Theflowersellingboy

Rabu, 2 November 2011

Belanja Berbelanja (shopping): Apa Yang Dihebuhkan Sangat

1. Orang yang mempunyai kemampuan kewangan soal belanja berbelanja (shopping ) ini tidak menjadi masalah bahkan ada setengahnya menjadi darah daging dan sebagai satu hobi. Kita pun tidak dapat membuat ukuran setakat mana jumlah wang yang dikeluarkan termasuk dalam lingkungan berbelanja besar atau kecil. Mereka tidak sangat memikirkan perkara itu kerana berbelanja itu sudah menjadi darah daging dan hobi , mereka mampu.

2. Biasanya orang yang berkira sangat tentang besar atau kecil belanja ini ialah orang yang tidak ada kemampuan kewangan. Orang seperti ini apabila hendak membeli kereta misalnya akan sedia dengan soalan seperti : berapakah penggunaan minyak dalam satu kilometer bagi kereta yang bakal dibeli itu. Orang ini akan memilih kereta yang tidak banyak menggunakan minyak. Tiada kemampuan kewangan. 

3. Namun ada juga yang tidak mampu yang suka berlagak mampu. Akhirnya hutang bertimbun dan tidak mampu untuk membuat bayaran. Maka kalau pinjam dengan Along, biasanya menimbulkan banyak masalah termasuk ancaman keatas nyawa bukan saja diri sendiri bahkan kepada ahli keluarga yang lain. Orang macam ini selalunya diistiharkan bangkerap.

4. Tetapi orang yang mempunyai kekuatan kewangan , orang kaya dan berharta, orang berkedudukan tinggi, misalnya tidak menjadi masalah jika berbelanja besar. Mereka mampu melakukannya tanpa berhutang.  Tidak menyusahkan orang lain.

5. Dengan demikian berbelanjalah mengikut kemampuan kewangan kita. Maka jika ini merupakan prinsip yang boleh diterima mengapa begitu heboh orang membicarakan belanja berbelanja yang telah dilakukan oleh isteri dan anak Perdana Menteri kita di Australia baru-baru ini. Jumlah wang bagi tujuan belanja berbelanja itu adalah sebanyak RM60 ribu bagi isteri dan RM200 ribu bagi anak Perdana Menteri. Apakah mereka tidak mampu mengeluarkan jumlah-jumlah yang disebutkan itu? Apakah mereka itu terlalu miskin? Malulah kita sebagai rakyat Malaysia jika itu anggapan kita terhadap keluarga Perdana Menteri.

6. Jangan hendak disamakan dengan cara berbelanja orang-orang berpendapatan pada garis kemiskinan RM750 sebulan yang mempunyai 5 ahli keluarga. Sudah tentu orang seperti ini tidak layak berbelanja sebanyak jumlah yang dinyatakan diatas.


7. Kalau tidak percaya cuba kita buat kira-kira sedikit. Pendapatan RM750 sebulan untuk mencapai ke angka 60 ribu ianya terpaksa bekerja lebih dari enam tahun atau 80 bulan; dan lebih 22 tahun atau lebih 266 bulan untuk mencapai 200 ribu. Itupun dengan syarat orang seperti ini hanya menyimpan saja pendapatan yang diterima itu. Satu sen tidak boleh digunakan bagi tujuan yang lain untuk mencapai ke dua angka perbelanjaan itu. Jadi berbelanjalah mengikiut kemampuan.


8. Orang yang bersara yang  juga telah menerima wang ganjaran jangan juga cuba-cuba berlagak mampu. Seorang sahabat yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun telah dibayar wang ganjaran sebanyak kurang lebih RM230 ribu. Maknanya purata wang ganjaran itu ialah RM6,969.69 setahun atau RM580.80 sebulan. Maka sahabat ini juga jangan pula disebabkan sudah bekerja 33 tahun dalam perkhidmatan awam cuba berlagak mampu untuk belanja berbelanja sebanyak jumlah yang dinyatakan itu. Terang dan jelas sahabat oii anda tidak mampu. Anda pun sudah bersara, jangan cari pasal bengkrap nanti.

9. Sekali lagi saya ulang bahawa belanja berbelanjalah mengikut kemampuan. Kalau mampu dan itupun hobi kita tidak ada salahnya kita berbuat demikian. Kalau tidak mampu jangan buat begitu . Cukup sekadar menumpang gembira orang yang belanja berbelanja diluar kemampuan kita itu.

10. Jadi saya hairan mengapa berita keluarga Perdana Menteri berbelanja di Australia itu menjadi satu berita yang sensasi dan mendapat ulasan yang tidak bersifat menggembirakan sedangkan mereka mampu belanja berbelanja seperti itu. Lagipun ramai juga mereka yang belanja berbelanja lebih besar dari itu.


11. Bukankah lebih baik kita berusaha untuk meningkatkan kemampuan kewangan kita supaya kita juga boleh masuk sama dalam kumpulan yang mampu belanja berbelanja ikut suka hati sendiri. Cuma cara meningkatkan kemampuan itu perlu dijaga dari segi adab dan tatasusilanya. Maksud saya cara yang sah dan diredhai Allah SWT.
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan