Theflowersellingboy

Khamis, 24 November 2011

Selamat Jalan dan Jumpa Lagi

Selamat Jalan dan Jumpa Lagi
Sudah menjadi kebiasaan kepada kita semua untuk mengucapkan selamat jalan kepada mereka yang hendak berkepergian terutama dikalangan sanak saudara dan rakan kenalan. Ucapan itu juga disertai dengan satu harapan untuk bertemu lagi walaupun kadang-kadang yang berkepergian itu ada yang mungkin tidak akan kembali lagi misalnya kenalan dari warga negara asing atau mereka yang telah bercadang untuk bermastautin di negara lain. 

Itu adalah ucapan perpisahan sesama kita yang hidup. 

Tetapi bagaimana pula ucapan kepada mereka yang pergi selama-lamanya, mereka yang meninggal dunia. Sudah tentu bukan 'selamat jalan dan jumpa lagi'. Sebaliknya kita menghadiahkan surah-surah tertentu dari kitab al-quran  dan mendoakan semoga mereka diampunkan dosa dan dimasukkan dikalangan orang-orang yang diredhai. 

Saya percaya bacaan surah-surah dan doa yang kita panjangkan itu juga mengandungi maksud selamat jalan kepada orang yang meninggal itu. Selamat dan sejahtera dalam alam kubur. Cuma kita tidak pula berkata 'jumpa lagi' .

Sama ada perpisahan hidup atau perpisahan mati, pada akhirnya kita akan berjumpa juga apabila tiba hari pengadilan di akhirat nanti. Semua kita akan berjumpa tapi bagaimana bentuknya diluar pengetahuan kita manusia. Ertinya bagi perpisahan mati ini boleh juga kita mengucapkan 'kita jumpa lagi'. Tapi perkara ini tidak biasa disebutkan maka terlalu kekok untuk keluar dari mulut kita. Atau mungkinkah kita terlalu takut untuk menyebutkannya kerana kematian adalah sesuatu yang tidak ramai orang mengharapkan.


Soal hidup dan mati atau selalu disebut sebagai 'ajal maut dan jodoh pertemuan' adalah di tangan Tuhan. Ertinya kita semua telah ditakdirkan sesuatu yang akan berlaku keatas kita. Yang maha mengetahui hanya Allah sahaja. Tetapi tidak bermakna kita tidak perlu bekerja dan berusaha untuk menjalani satu penghidupan yang baik ke arah pengabdian kita kepada Allah SWT. Yang pasti kita tidak tahu apa yang akan berlaku terhadap diri kita. Sebab itu kita sentiasa berusaha dan berdoa yang terbaik dan kemudian bertwakkal berserah kepada Allah.


Berbalik kepada mengucap 'selamat jalan dan jumpa lagi' pada saat perpisahan kita sesama yang hidup ianya menunjukkan betapa tingginya nilai sebuah persaudaraan/persahabatan/kenalan. Satu ucapan yang  penuh dengan kasih sayang, mendoakan supaya yang berkepergian itu selamat dalam perjalanan dan mengharapkan akan jumpa kembali pada suatu hari nanti. Apatah lagi mereka yang berkepergian  itu adalah anak/ibubapa/adik/kakak/abang sendiri.  

Saya mahu bercerita tentang berkepergian yang bersifat kekal iaitu mati. Yang memang semua orang akan melaluinya tetapi tidak diketahui saat dan tarikhnya. Ia sesuatu yang ditakdirkan kepada setiap manusia.


Dan saya mahu bercerita tentang perkara yang saya sendiri tahu dan alami untuk berkongsi sesama kita. Semoga ada perkara yang dapat sekurang-kurang menjadi renungan.


Seperti yang dikatakan bahawa kita tidak boleh lari dari takdir. Jika itulah yang ditentukan Allah maka itulah yang berlaku dan itulah yang perlu kita terima secara redha.


Saya kehilangan dua orang anak lelaki berturut-turut. Maksud saya selepas abang, adiknya pula tetapi bukanlah dalam tempoh yang berdekatan. Kedua-kedua kehilangan adalah bersebabkan dari kemalangan kenderaan. Satu, kemalangan kenderaan yang saya sendiri pandu yang mengakibatkan anak pertama saya meninggal. Satu lagi kemalangan menjadi pemboncing motorsikal kawan dalam kampus sebuah institusi pengajian tinggi, melibatkan anak kedua saya.


Nampaknya cerita saya ini seperti biasa saja. Ramai orang mengalami perkara seperti itu. Ya, saya bersetuju. Ramai telah menghadapi lebih sedih dari itu. 


Cuma saya bukan hendak bercakap tentang sedih saja. Ada yang lain untuk dikongsi bersama agar jika ada yang bersamaan hendaklah kita berbalik kepada Rukun Iman tentang takdir.


Anak pertama saya adalah seorang bayi jantung berlubang. Kami diberitahu semasa beliau berumur dua bulan. Mengurus anak jantung berlubang memerlukan banyak kesabaran sebab dia kerap menangis berpanjangan terutama diwaktu malam. Kami dapat hadapi dengan penuh kesabaran kerana kasih sayang. Tetapi kami berasa bersalah terhadap jiran sebelah yang sudah tentu tergangggu tidurnya kerana setiap malam anak saya itu akan menangis panjang dan kuat juga.


Kami telah bersetuju untuk dibuat pembedahan sebagai usaha untuk mengubatinya walaupun tidak mendapat sokongan dari keluarga yang lebih tua. Kerana kepada mereka saya telah ditakdirkan untuk seorang anak yang jantung berlubang. Lagipun mereka berpendapat , pembedahan lebih bahaya dan boleh menyebabkan maut. Namun kami (saya dan isteri) berkorban perasaan, sanggup menerima risiko dengan penuh doa semuanya selamat. Akhirnya pada umur dua tahun pembedahan dijalankan. Syukur , pembedahan itu berjaya.


Anak saya itu dari setahun ke setahun telah menunjukkan kemajuan yang baik, boleh berlari dan bermain seperti budak biasa .Alhamdulillah.


Rupanya masanya telah tiba untuk dikembalikan kepada Allah pada 3 hari raya idilfitri apabila kereta yang saya pandu terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori. Waktu itu umurnya sudah masuk tujuh tahun. Beliau meninggal diatas riba saya dalam perjalanan ke hospital. Yang paling terkesan ialah apabila anak saya itu menyatakan kesakitannya dan minta supaya kereta yang membawa kami ke hospital itu bergerak laju kerana dia tidak tahan dengan kesakitan.


Apa yang terkesan ialah kesakitan yang terbayang pada wajahnya. Maka saya tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya kalau perkara itu berlaku kepada saya. Saya percaya sakitnya sudah tentu melebihi jauh dari itu kerana sedangkan anak yang baru tujuh tahun pun menunjukkan rasa kesakitan apatah lagi orang yang telah berumur seperti saya yang sudah tentu banyak dosa.

Itulah takdir. Walaupun kami telah melakukan usaha mengubatinya melalui pembedahan tetapi jika telah ditakdirkan bahawa pada sekian masa anak itu akan kembali kepada yang hak maka terjadilah perkara itu. Ini tidak bermakna saya menyesal dengan usaha saya itu malah berasa bersyukur kerana selama 5 tahun anak saya itu dapat menjalani satu penghidupan seperti anak-anak yang sihat.


Adiknya pula meninggal pada usia 22 tahun akibat jatuh dari memboncing motorsikal kawan dalam perjalanan dari hostelnya ke dewan kuliah untuk menghantar 'assingment'. Peristiwa itu berlaku pada hari ke 13  umat Islam berpuasa.

Satu lagi takdir yang saya terima.

Ada sesuatu yang 'istimewa' tentang dua peristiwa ini. Ianya semacam ada kaitan. Anak pertama saya dilahirkan pada 12 Januari. Adiknya pula meninggal pada 12 Januari juga. Yang ;istimewanya lagi ialah kawasan tanah perkuburan anak saya yang pertama itu pula telah dirasmikan pada 27 Oktober. Tarikh itu bersamaan dengan tarikh kelahiran adiknya iaitu anak saya yang kedua. Mungkin ini adalah kebetulan, kata setengah orang. Tapi saya lebih cenderung untuk mengatakan ini adalah yang telah ditakdirkan. Ini adalah perancangan Allah, bukan perancangan saya. Sudah tentu saya merancang untuk kedua-dua anak saya itu hidup lebih lama sekurang-kurangnya mereka tidak mendahului saya.

Namun semuanya telah ditakdirkan. Telah dirancang oleh Allah untuk memberi ingatan terutamanya kepada saya dengan melihat sendiri akan kesakitan yang dialami oleh seorang anak yang tidak berdosa pada saat dipanggil menemui Allah. Bagaimana saya yang tua bangka ini? Sudah tentu saya ada jawapan sendiri tersimpan di dalam hati.

Saya juga percaya bahawa persamaan tarikh yang disebutkan itu adalah satu perancangan Allah yang saya tidak tahu rahsianya. Ianya bukan kebetulan. Cuma ianya menguatkan kepercayaan saya bahawa kita boleh merancang tetapi perancangan Allah lah yan pasti terjadi. Dengan sebab itu apa yang telah berlaku sama ada yang sedih mahu pun yang suka hendaklah kita terima sebagai ketentuan dari Allah. Kita hanya berusaha melakukan sebaiknya selaras dengan kehendak Allah bagi menjalani kehidupan harian dengan sentiasa berdoa dan mengharapkan bahawa usaha kita itu akan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Akhirnya bahawa ucapan 'selamat jalan dan berjumpa lagi' boleh juga kita ucapkan kepada mereka yang berkepergian selama-lamanya. Semoga roh kedua-dua anak saya itu berada dalam kalangan mereka yang diredhai Allah SWT.










 



 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan