Theflowersellingboy

Ahad, 13 November 2011

Didikan Cara Manja

Semua orang mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Sudah tentu yang terbaik itu bermula dari anak itu dilahirkan. 

Saat ketika terdengar tangisan atau teriakan pertama anak semasa  mula menjenguk dunia. Yang terbaik diberikan ialah rasa kasih sayang semula jadi yang tulus ikhlas yang tidak mampu dibeli walaupun telah menangong berbagai uijian dan cabaran semasa mengandung anak itu, ditambah rasa kesakitan waktu melahirkan anak itu. Tiada marah tiada benci hanya kasih sayang yang sejati.  Maka dia akan berbangga untuk dipanggil ibu/emak/mama/ummi/mammy dan...mengikut pilihan masing-masing menyimpulkan kasih sayang seerat-eratnya diantara mereka, ibu dan anak. 

Dan gembiralah hati seorang lelaki suami kepada isteri yang melahirkan anak itu yang telah bersedia untuk mula dipanggil ayah/abah/bapa/papa/daddy dan....mengikut pilihan masing-masing, tapi hasratnya tetap hanya satu iaitu ikatan kasih sayang yang sejati.

Maka bermulalah satu tanggongjawab sebagai penerima amanah Allah, kepada kedua ibubapa untuk memberikan yang terbaik kepada anak/anak-anaknya itu (jika kembar yang dihadiahkan). Dan yang terbaik itu pula berbeza cara dan bentuknya diantara ibubapa, yang dipengaruhi antara lain kedudukan ekonomi, latarbelakang didikan dan cara dibesarkan, dan persekitaran dalaman (mereka yang ada bersama ibu bapa misalnya datuk dan nenek) dan persekitaran luaran iaitu masyarakat.

Dengan demikian berbagai kaedah dan pendekatan digunakan dalam memberi yang terbaik itu kepada anak-anak. Satu daripada kaedah atau pendekatan itu dilihat oleh setengah pihak sebagai memanjakan anak. Biasanya perkataan 'memanjakan anak' ini membawa bersama maksud  yang negatif  yang kadang-kadang disamakan dengan 'memuakan' anak sehingga anak yang dibawah jagaan itu dikatakan akan menjadi 'rosak' masa depannya.

Saya tidak berpandangan sama bahawa memanjakan anak itu akan menghasilkan atau memberi kesan yang negatif kepada keperibadian anak itu sehingga boleh merosakkan masa depan anak itu. Memanjakan anak itu perlulah bertunjangkan kepada yang terbaik yang mampu diberikan oleh pasangan ibubapa kepada anak itu. Ertinya dalam memberikan kemanjaan itu unsur-unsur yang boleh menjejaskan hasrat untuk yang terbaik itu sudah tentu tidak akan menjadi pilihan oleh mana-mana ibubapa. Secara mudah saya katakan bahawa 'tiada ibubapa yang rela masa depan anaknya rosak berpunca dari jagaan secara manja'.
   
Kita mungkin telah biasa mendengar kata-kata anak manja yang setengah pihak secara amnya menyifatkan anak yang diberi segala kasih sayang dengan diberi layanan menurut apa yang di sukainya. Atau diberi kasih sayang seperti menatang minyak yang penuh, yang tumpuan tatangannya  tidak kurang dari 100% agar minyak yang penuh itu tidak tumpah dari bekasnya. Begitulah jika minyak yang penuh itu dapat disamakan dengan seorang anak. Dijaga dan dibelai dengan sepenuh perhatian.

Sekali lagi saya tidak bersetuju bahawa anak manja itu bermaksud anak yang diberikan segala kasih sayang dengan diberikan layanan menurut apa yang disukainya. Cara itu bukan cara manja atau memanjakan anak. Cara itu ialah cara merosakkan anak. Kerana anak manja adalah anak yang diasuh untuk masa depan yang terbaik. Memanjakan anak adalah membina keperibadian anak yang terbaik secara penuh kasih sayang.

Begitulah sebahagian besar yang telah dilakukan oleh ibubapa keatas anaknya atau oleh nenek dan datuk terhadap cucu mereka. Diantara ibubapa dan datuk nenek pula , banyak yang berpandangan bahawa datuk nenek lah yang paling memanjakan cucunya sehingga ada yang menyatakan cara itu boleh memberi kesan yang tidak elok kepada anak-anak itu. Anak manja itu akan 'rosak' dibawah jagaan datuk nenek itu.

Maka tidak hairanlah akan kata-kata ingatan yang selalu di keluarkan iaitu 'jangan manjakan sangat budak itu, susah/rosak nanti'.

Atas hujahan yang sama saya tidak sepandangan dengan kenyataan diatas.

Antara bentuk perbuatan dan jagaan yang dikatakan memanjakan anak yang didakwa boleh merosakkan anak itu ialah kerap mendukung anak terutama yang bayi. 

Perbuatan kerap mengkelek atau mendukung anak itu, hujah setengah pihak, boleh membuatkan anak itu tidak mahu diletakkan diatas katil atau tilam. Ini boleh menyusahkan ibubapa untuk melakukan kerja-kerja yang lain. Perbuatan seperti ini iaitu suka mendukung ,dakwa mereka lagi, adalah menjadi kegemaran datuk nenek yang suka sangat memanjakan cucunya.

Pertama saya tidak menafikan ada kebenaran akan hujahan itu. Tetapi mungkin ada yang terlupa bahawa tiada siapa yang suka penat terutama datuk nenek yang telah lanjut usia. Mereka lebih seronok berehat sambil melihat keletah cucunya berbaring diatas katil atau tidur didalam buaian. Tetapi ibubapa atau nenek dan datuk tidak akan sanggup membiarkan anak/cucunya menangis mengeluarkan juraian air mata. Jadi apa yang perlu dibuat? Sudah tentu anak itu perlukan dakapan dari ibu/bapanya atau nenek/datuknya. Maka dengan penuh kasih sayang walaupun tenaga tidak sekuat mana datuk/nenek akan mendakap/mendukung cucunya. Itulah didikan cara manja. Tak salahkan?

Anak-anak adalah amanah Allah yang sifat, kelakuan, pembawaan  dan rupa paras yang berbeza diantara satu dengan yang lain. Ada setengahnya mudah menangis apabila dia melihat seseorang yang tidak biasa pada penglihatan matanya. Ada anak-anak yang boleh terima siapa saja yang mengambilnya. Begitu juga tentang reaksi anak terhadap suara atau bunyi. Ada yang tidak suka suara bising atau kuat. Maka jika terdengar suara seseorang itu yang kuat, bukan suara marah, anak itu akan merasa takut dan menangis. Dan adakah ini berpunca dari jagaan manja ibubapa/datuk nenek budak itu?  Dan adakah mahu dibiarkan saja anak itu menangis. Sudah tentu jawapannya 'tidak'.


Didikan secara manja atau memanjakan anak adalah satu bentuk asuhan/jagaan pilihan saya kerana saya percaya hanya dengan kasih sayang kita mampu menyediakan anak-anak itu dengan asas yang baik dan kuat untuk menghadapi kehidupan seterusnya dengan penuh yakin dan bersifat kasih sayang. Dalam kemanjaan kita tanamkan harapan dan kasih sayang.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan