Theflowersellingboy

Ahad, 13 November 2011

Mission Accomplished

Dalam kesepian malam aku berjalan terhendap-hendap melepasi barisan beberapa rumah teres satu tingkat di sebuah taman perumahan kos rendah. Waktu itu semua rumah telah dipadamkan lampu melainkan dibahagian hadapan ditempat letak kereta. Sudah masuk pukul 1.30 pagi.

Aku akhirnya sampai di rumah paling hujung yang selalunya di kenal sebagai 'corner house'. Aku memberhentikan langkah. Ada sesuatu yang menarik  yang mematikan langkah ku itu. Aku menghampiri pintu pagar rumah itu dan memegang daun pintu disebelah kiri. Rumah ini telah dibuat ubahsuaian dan tambahan sehingga seluruh kawasan tanah telah digunakan. Garaj kereta boleh memuatkan lebih dari tiga buah kereta. 

Mata ku merenung ke satu objek berwarna putih sebuah kereta mewah. Dikiri kanannya diapit oleh sebuah kereta kecil buatan Malaysia.

Tangan kiriku mengeluarkan buku catatan kecil dari poket baju di sebelah kiri dan sebuah pen mata bola telah tersedia ada ditangan kanan. Dibawah sinaran lampu garaj mata ku dapat membaca dengan jelas plet pendaftaran kereta itu  WK1318 . Plet pendaftaran tahun-tahun 1980an. Tetapi kereta itu sebuah kereta baru BMW 5 siri. Mungkin plet itu adalah dari kereta lama. Angka 1318 mungkin angka yang bermakna bagi tuan punya kereta.

Aku juga mencatatkan plet pendaftaran dua buah kereta lagi yang mengapit dikiri dan kanan BMW itu.

Aku tersenyum sendirian sambil berjalan perlahan meninggalkan rumah itu menuju ke kereta yang di letakkan 100 meter dari barisan rumah teres itu. 'Mission accomplished', aku berbisik seorang diri sambil menghidupkan enjin kereta menuju ke rumah.

Siang tadi aku telah dipanggil oleh bos besar masuk ke dalam biliknya. "You baca surat ini", bos menghulurkan dua helai kertas sebelum aku sempat duduk diatas kerusi di hadapannya. Aku tidak jadi duduk tapi terus mengambil surat itu dari huluran tangan bos. Sambil berdiri aku membaca surat bertulisan tangan itu.

Belum pun aku habis membaca surat itu bos telah mengeluarkan arahan. " Malam nanti saya hendak awak pergi buat tinjauan. Betul ke apa yang ada dalam surat itu. Saya hendak awak pergi pada larut malam. Orang semua sudah tidur. Esok saya hendak pengesahan". Aku mengangguk tanda akur akan perintah bos itu. Dan aku tidak meneruskan bacaan kerana setakat yang telah dibaca aku faham apa yang perlu aku buat. Aku mohon diri untuk keluar dari bilik bos.

Bos mempunyai seorang anak lelaki yang telah berumur menghampiri 35 tahun tetapi masih lagi bersendirian walaupun telah berbuih isteri bos mencadangkan anaknya itu mencari jodoh. Malah dia sendiri boleh mencarikan jodoh anaknya itu jika itu yang anaknya mahu. Bukannya anaknya itu tidak mampu dari segi kewangan kerana semuanya akan ditanggong oleh keluarga. Lagi pun anak bos itu seorang jurutera professional yang mempunyai pendapatan lima angka. 

"Mengapa liat sangat nak kahwin?", Aku menyibuk buat pertanyaan yang tidak dapat didengar oleh anak bos itu. Kalau aku anak bos semuanya beres tidak perlu diacah-acah oleh sesiapa. Aku sendiri akan membawa calun isteri untuk mendapat persetujuan. "Bodoh". 

'Kreeeeeeet...'. Bunyi tayar kereta bergeser dengan jalan akibat dari tekanan dari kaki aku keatas pedal brek. Mujur tiada kereta di hadapan mahu pun dari belakang. Aku dapat mengawal kereta itu sambil mengurut dada beristighfar.

Aku meneruskan perjalanan ke rumah. 

Pagi-pagi lagi jam 8.30 aku mengadap bos menyampaikan laporan. Bos nampaknya gelisah. "Kenapa ke situ kau pergi. Perempuan tak guna. Anak dan bapak sapu", terdengar keluhan marah bos sebelum aku sempat menutup pintu biliknya. Langkah aku tersekat dipintu, mulut ternganga, mata terbeliak besar dan lidah menjadi kelu. Tapi hati sempat berbisik , "Oh macam tu, patutlah".
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan