Theflowersellingboy

Sabtu, 5 November 2011

Cerita Aku, Dak Ai

 Yousef Imran (Ummi dan Ayah Telah Bersedia Dengan Nama Semasa Yousef Dalam Kandungan)

Aku diberi nama Dak Ai. Itulah nama aku yang telah diberikan oleh kedua orang tua ku semasa aku tiada daya untuk memberi cadangan nama lain yang lebih manis disebut dan enak didengar. Nama yang membawa makna yang baik-baik. 


Ini jelas dalam sijil beranak. Ini dokumen rasmi yang sah yang perlu dipakai dan mesti diterima sebagai pengenalan diri dalam semua urusan. Aku tidak dapat mengelak lagi, aku  kena terima seadanya.


Tapi macam mana nama Dak Ai ini boleh menyelinap dalam kepala orang tua aku sehingga diistiharkan dalam sijil beranak. Ada kah nama itu nama ciptaan sepontan. Maksud aku ianya hanya terkeluar dari mulut bapaku (aku pasti emak aku tidak ada bersama kerana dalam pantang) apabila ditanya oleh polis yang bertugas di Rumah Pasung semasa bapaku datang untuk mendaftarkan kelahiran ku.


Ahmad Naqib dan Mamanya (Nama Telah Lama Di Sediakan)

"Ini kici apa nama?" Aku terbayangkan polis yang bertugas itu seorang Sikh yang  telah tersilap diberikan identiti Benggali menanyakan bapaku. Bapa ku memang seorang yang cepat gemuruh, terlalu takut untuk berurus dengan orang-orang kerja ofis, apatah lagi anggota polis yang selalu disamakan sebagai orang yang kerjanya ialah untuk menangkap dan memenjara orang.


"Ya tuan, minta maaf tuan". Aku membayangkan tubuh badan bapaku sedikit menggigil dan muka yang bertukar menjadi pucat. Dia seorang yang cepat melatah. Kalau orang sebut 'makan' dia akan menyebut 'makan' juga. Satu penyakit yang belum lagi jumpa ubatnya sehingga kini.

Dia tidak bersedia dengan nama yang perlu didaftarkan tidak seperti aku dan orang-orang yang sezaman denganku yang telah bersedia lebih awal lagi semenjak berita kehamilan isteri diketahui.


"Kalau anak kita ni lelaki kita berikan nama Azrin. Kalau perempuan Azrina", begitulah kesepakatan kami suami isteri sebaik saja berita baik disahkan oleh doktor bahawa kami akan menjadi papa dan mama. 

Anak aku pula telah mempunyai senarai nama untuk anaknya iaitu cucuku yang pertama yang masih lagi dalam kandungan. Mereka suami isteri telah memilih nama lelaki sebaik saja doktor mengesahkan jantina anak mereka yang amsih dalam kandungan.
   
"Ini kici apa nama. Saya mahu tulis". Polis Sikh itu meninggikan suara sambil matanya merenung kearah muka bapaku yang semakin pucat dan mulut terketar-ketar untuk mengeluarkan suara.


"Daaaa " belum sempat bapaku menghabiskan sebutan nama bagi anaknya itu iaitu aku, polis itu menengking "Ai yo,  itu nama ada susah ka?"


"Daa......ai" terketar-ketar keluar perkataan-perkataan dari bapaku akibat sergahan polis Benggali itu.


"Dak Ai ka. Itu tada susah", Polis itu menulis nama aku sebagai 'Dak Ai' dalam sijil beranak itu setelah melihat bapaku mengangguk-angguk sambil tersenyum takut seolah-olah meminta dimaafkan diatas kesalahannya lambat memberi tahu nama yang perlu dituliskan dalam sijil beranak itu.

"Apa kerja?" Polis itu sekali lagi bertanya bapaku yang sedikit telah reda darah gemuruhnya. "Potong getah" jawab bapaku segera, sudah ada keyakinan.

Maka nama itu aku bawa sehinggalah kehari ini. Hanya aku rasa beruntung sedikit kerana apabila aku bercakap atau berbicara dengan seseorang aku akan menggunakan ganti diri sabagai Al (I). Ada sedikit gaya orang putih. Maklumlah semasa dulu dan mungkin juga sekarang ini kalau kita bercakap dengan ganti diri 'I' ini , secara otomatik orang menganggap kita berpelajaran Inggeris, 'educated' . Tidak kisahlah selepas itu cakap Melayu. Atau lebih naik lagi status kalau campurkan beberapa perkataan Inggeris yang saya tahu. Nampak steady je.

Sekarang aku telah ada dua orang cucu lelaki. Seorang darinya sudah pandai bercakap dan yelah boleh memangil nama ummi dan ayah. Jadi cucu aku yang sentiasa senyum tu memanggil aku sebagai 'Tok Ai'. Kadang-kadang aku terdengar macam 'tokai'. Nasib baik 'tokai', kalau dia tersebut 'pokai', naya aku. Sebab aku takkan nak marah cucu yang disayangi itu, tambah-tambah dia sentiasa senyum.
Tak tahu apa pula cucu yang kedua panggil. Tok Ai? Pokai? Atau Dak Ai?

Apa-apa sajalah. Yang pasti aku akan terus bercakap dengan orang dengan ganti nama diri 'I', ada ummmmph.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan