Theflowersellingboy

Sabtu, 26 November 2011

KUNJUNGAN DI MUSIM GUGUR

"......kau menapak berbatu-batu........semata-mata untuk bertemu kami yang tinggal di hulu...."

Aku tahu akan maksud kunjungan mu tempoh hari
kau begitu mesra sekali,
masih terasa panas pelukan dan dakapan mu ketika itu
rekahan bibir mu yang mengukir senyum, manis sekali
ukirannya tiada saat untuk berhenti, 
kau senyum sentiasa bila berbicara
kau sentiasa senyum bila bercerita
apa saja gerak dan kata mu, senyum sentiasa mengiring sama

Dan aku faham akan maksud kunjungan mu itu
kau tiada kekok untuk duduk bersila, seperti sudah biasa
berbicara menanya khabar , apa yang kurang, apa yang tiada
selesakah kami selama ini
Wajah mu murung sekali apabila kau mula mendongak
begitu sedih nampak gayanya
walaupun langit jelas membiru dimata mu

Sesungguhnya aku sedar akan maksud kunjungan mu
kau begitu manja sekali dengan anak anak kecil kami
kau menimang anak yang paling kecil 
terlalu manja timangan mu itu
kau sungguh peduli sekali nampak gayanya
kau ketawa suka bila tapak tangan mu terasa basah
hasil tirisan dari lampin sikecil kami
'ah ini hadiah untuk saya'
kau ketawa suka
kami pucat pula

Bahawa memang aku sedia maklum maksud kunjungan mu itu
menapak dari jauh berbatu-batu
semata-mata untuk bertemu kami yang tinggal di hulu
kerana musim dulu pun begitu
sebelum dulu pun kau telah datang juga
ada berbagai keriangan yang kau bawa
ada yang boleh dilihat dan dirasa, seronok juga seketika
ada yang cerita-cerita indah, yang hanya kami boleh mimpi saja
Aku sudah biasa
Kami sudah tegal kerana tiada apa yang bisa

Aku tahu bahawa senyuman mu sentiasa terukir manis
Aku faham bahawa kau amat prihatin sekali akan hal kami
Aku sedar bahawa kau amat menyayangi anak-anak kecil kami yang nakal itu
Aku sedia maklum bahawa kunjungan kau menyeronokkan kami walau sejenak
dan kami boleh bermimpi akan bulan dan bintang
cukuplah untuk kami yang di hulu bermain di waktu malam
  
Sesungguhnya musim gugur telah tiba 
kunjungan mu menepati masa buat kami untuk seketika


Ya, musim gugur telah tiba
maka masanya telah tiba
untuk kau gugur bersama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan