Theflowersellingboy

Jumaat, 18 November 2011

ALHAMDULILLAH MASIH ADA YANG INGAT

Seperti biasa pada musim cuti sekolah banyak pihak mengambil kesempatan mengadakan majlis perkahwinan walaupu pada luar musim cuti sekolah majlis-majlis yang serupa diadakan juga. Cuma diperhatikan bilangan majlis pada musim cuti sekolah dirasakan melebihi dari yang di luar musim.

Bermula pada hari Sabtu dan Ahad minggu pertama cuti sekolah telah kelihatan majlis-majlis ini diadakan sama ada dirumah, di hotel, restoran atau pun di dewan-dewan. Pada tahun ini pula terdapat sedikit kelainan apabila ada pihak-pihak yang menganjurkan majlis pernikahan pada hari Jumaat mengambil sempena tarikh yang menggunakan angka 1 iaitu 11.11.11. 

Dan seperti orang lain saya juga menerima beberapa jemputan dari kawan-kawan yang masih lagi ingat dan sudi untuk menjemput ke majlis mereka. Sesungguhnya saya amat berbesar hati akan ingatan mereka itu dan mengucapkan ribuan terima kasih. Pagi tadi terima lagi satu jemputan dari kawan yang datang ke rumah untuk menjemput ke majlis anaknya.


Datang ke rumah menjemput adalah satu cara yang dilakukan oleh sebahagian besar masyarakat kampong yang lebih mesra dengan cara bersemuka. Setengahnya menganggap cara begini lebih sopan dan beradab terutama kepada mereka yang berkedudukan atau lebih tua. Maknanya satu penghormatan kepada yang dijemput. Dan yang dijemput pula secara timbalbalik akan menentukan bahawa ia tidak akan mengecewakan penghormatan yang diberikan itu. 


Begitulah adat beradat orang kampong terutama masyarakat yang masih lagi tidak banyak menerima pengaruh dari penggunaan alat-alat perhubungan moden. Masih lagi dengan jemput secara bersemuka dari rumah ke rumah walaupun yang di jemput itu duduk di tempat yang berjauhan. Kalau tidak ada daya mereka akan menjemput secara menghantar kad jemputan. Dan jika terdapat saudara/orang sekampong di sesuatu tempat itu, kadang-kadang pertolongan mereka diminta untuk mewakili pihaknya untuk membuat jemputan kenalan/kawan di tempat itu bagi pihaknya.

Tetapi dari masa ke semasa masyarakat berubah selaras dengan keperluan semasa. Maka pada hari ini terutama dengan perkembangan teknologi  perhubungan jemputan cara lama tidak lagi menjadi satu saja cara bagi menjemput kawan-kawan ke majlis perkahwinan. Selain ada yang masih lagi membuat jemputan rumah ke rumah, jemputan juga dibuat secara khidmat pesanan  ringkas, melalui emel, facebook dan twitter. Mereka yang ada blog sendiri akan juga menggunakan blog menjemput tetamu ke rumah.


Nampaknya nilai masyarakat telah berubah. Cara-cara jemputan moden itu tidaklah dianggap sebagai kurang beradab malah ianya kelihatan sebagai satu keperluan disebabkan mungkin kesibukan masa dan juga tempat yang berjauhan.


Apa pun pada pandangan saya jemputan secara kad adalah satu cara yang say suka pilih selain jemputan rumah ke rumah. Namun tidak ada masalah untuk menerima jemputan secara sms, emel, facebook atau twitter. Boleh saja kerana ianya satu tanda ingatan.


Saya juga teringat akan pengalaman yang kurang enak semasa membuat jemputan secara bersemuka ini. Apabila kad dihulur maka seorang kawan itu berkata "Kahwin lagi", dengan nada yang boleh mengusik hati. Jemputan itu adalah bagi majlis kedua bagi anak yang kedua. Majlis anak yang pertama saya juga menjemput kawan itu.


Seorang lagi kawan semasa menghadiri majlis yang kedua itu menyatakan bahawa dia tidak mengharapkan menerima jemputan kerana sangkanya saya tidak mengetahui alamat kediamannya. Sambungnya lagi kalau tidak terima jemputan dia mengatakan 'alhamdulillah' kerana tidak perlu hadir. Sedih juga mendengar kata-katanya itu.

Oleh itu menerima jemputan majlis perkahwinan ini hendaklah dianggap sebagi satu tanda penghormatan dan ingatan kawan terhadap kita. Janganlah jemputan itu dianggap sebagai bebanan. Saya faham bahawa setiap jemputan yang kita hadir sedikit pemberian akan dihulurkan. Tetapi kalau ada sedikit berilah sedikit. Jika tidak juga mampu saya percaya kehadiran kita akan di junjung tinggi oleh tuan rumah yang berbesar hati kesudian kita menerima jemputan. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan