Theflowersellingboy

Rabu, 30 November 2011

Orang Melayu Dalam Bahaya?

Benarkah orang Melayu dalam bahaya? Akan hilang segala-galanya termasuk kehilangan raja/institusi raja?

Kerisauan atau kekhuatiran atau kebimbangan atau 'perasaan cemas yang penuh kesedaran dan keinsafan' itu telah menjadi satu barisan pertahanan/benteng terakhir bagi menyelamatkan kedudukan dan talian hayat sebuah parti yang telah dari sejak semula Tanah Melayu merdeka diberikan amanah untuk memertabatkan maruah orang Melayu. Katakan tempoh yang telah diberikan itu ialah 54 tahun.

Kata orang parti itu bahawa orang Melayu sekarang ini akan hilang segala-galanya. Termasuk raja.

Bahasa sudah tentu akan lenyap.
Agama, ramai orang Melayu menjadi murtad. Sebahagian besarnya masuk kristian.
Hak istimewa misalnya peruntukan tertentu (quota) dan biasiswa akan lenyap.
Akibatnya orang Melayu akan menjadi bertambah miskin, merempat dinegara sendiri. Papa kedana.

Sesungguhnya orang Melayu akan hilang segala-galanya. Maka akan terbatallah kata-kata Hang Tuah  bahawa "Takkan Melayu hilang di dunia".

Memang benar dari segi jasad manusia Melayu itu masih ada di dunia. Cuma hidup segan dan mati apabila sampai ajal saja.

Maknanya orang Melayu yang akan datang ini, saya andaikan kerisauan orang parti itu adalah selepas pilihanraya umum ke 13 nanti , adalah bangsa yang hidup tiada apa-apa, melata saja ke sana ke sini. 

Yang menyebabkan orang Melayu jadi begitu adalah berpunca dari orang selain dari ahli parti itu dan parti-parti yang bergabung dengannya. Maknanya orang Melayu dari parti yang lain juga adalah 'petualang dan pengkhianat' terhadap bangsa sendiri, terhadap agama Islam yang menjadi pegangan orang Melayu selama ini. Maknanya juga bahawa ada dikalangan orang bukan Melayu merasa sedih dan simpati diatas nasib yang bakal menimpa orang Melayu selepas pilihanraya ini, 'kalau tidak kena gayanya' (kalau tidak mengundi mereka).

Begitulah yang telah didendang dan dinyanyikan dengan deraian airmata oleh ahli parti itu, meminta supaya semua orang Melayu termasuk katanya 'yang duduk diatas pagar' supaya beramai-ramai memanjangkan lagi amanah yang telah diberikan dulu. 

Sebab kata mereka 54 tahun terlalu pendek untuk memertabatkan maruah orang Melayu.

Dalam tempoh sependek ini mereka telah mampu melakukan antara lain,
1.Mengumpul sedikit harta benda agar ada juga contoh Melayu yang kaya.

2.Mengambil sedikit saja harta negara sebagai habuan khidmat mereka. Cuma sedikit saja misalnya melalui tender menender, rundingharga, bayaran perundingan. Apa salahnya menfaatkan  sedikit kuasa. Lagipun mereka memang benci akan habuan ini, dan sesiapa yang tidak satu selera akan disumbat dalam penjara kerana buat malu saja.

3. Membantu sahabat-sahabat gabungan untuk berharta dan kaya kerana sebagai rakyat  itu adalah hak mereka. Tak kisahlah mereka itu Cina, India dan siapa saja. Caranya, semuanya boleh saja.

4. Melaksanakan hukum dan undang-undang yang mengikut selera mereka. Orang selain dari mereka mesti disiasat segera dan tempatnya hanya sesuai dalam penjara.

5. Memertabatkan bahasa Melayu. Tapi ikut cara bila suka. Masa tak suka boleh saja diganti dengan bahasa lain. Bila suka mertabatkan semula. Tak suka boleh dibuang ke dalam longkang semula.

6. Menghalang hukum Hudud kerana terlalu zalim dan tiada keadilan. Banyak yang akan kena potong tangan. Lebih baik istiharkan negara sebagai negara Islam. Seluruh dunia tahu dan dapat pujian dari negara Islam yang lain. Yang juga penting sesiapa yang mendapat bantuan orang keristian kita boleh kata mereka murtad. Mengapa tidak minta tolong jabatan agama Islam?

7. Mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang menghina raja/institusi raja. Orang seperti ini adalah penderhaka. Cuma melucutkan/mengurangkan kuasa raja dan memaklumkan kepada khalayak ramai akan tingkah laku raja yang buruk seperti yang telah mereka lakukan dulu adalah bertujuan kearah memertabatkan kedudukan raja, bukan menderhaka.

8. Mereka berjuang demi bangsa, agama dan negara. Itu sudah jelas menunjukkan kesungguhan mereka menjaga kepentingan orang Melayu. Jadi tempoh sambungan yang diminta itu adalah satu kewajaran.

Saya menganggap kerisauan atau kekhuatiran atau kebimbingan ahli parti itu sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian yang utama. Apatah lagi jika perasaan cemas akan kedudukan orang Melayu itu dibuat dengan penuh sedar dan insaf. 

Tapi adakah sebenarnya mereka itu sedar dan insaf?

Bagi saya mereka itu terlalu sedar tapi tidak insaf. Mereka sedar akan perasaan benci dan meluatnya orang Melayu terhadap parti itu setelah diberi amanah selama lebih 54 tahun. Yang meluat dan benci itu termasuk orang Melayu dalam parti itu juga. Orang Melayu di luar parti sudah tentu tidak dapat diharap untuk bersama dengan mereka.

Mereka juga sedar bahawa keputusan pilihanraya kali ini akan menghapuskan peluang mereka untuk mengumpul harta dan jadi orang kaya dengan menggunakan apa saja cara sementara berkuasa. Malah mereka tidak berpeluang untuk memfitnah dan menyumbat orang dalam penjara.

Saya mengatakan mereka tidak insaf kerana cara dan gaya mereka risau dan bimbang akan kedudukan orang Melayu itu adalah bertentangan dengan  apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang insaf. Orang yang insaf akan pertama sekali memeriksa diri sendiri, mencari kelemahan atau kesalahan atau kesilapan sendiri. Misalnya setelah diberi amanah memimpin negara dalam tempoh lebih 54 tahun mereka patut bertanya: mengapa masih timbul lagi kerisauan akan kedudukan orang Melayu dari segi politik, sosial dan ekonomi serta agama Islam, termasuk kedudukan raja dan institusi raja.

Tapi mereka sepantas kilat menuding jari kepada orang dari parti lain sama ada parti yang ahlinya terdiri dari berbagai bangsa atau majoriti dari satu bangsa. Orang-orang dalam parti inilah yang punya angkara mengapa orang Melayu akan hilang segala-galanya. Itu kata mereka.

Saya hendak juga bertanya: 
1.Benarkah orang Melayu hanya boleh mengharapkan mereka saja sebagai pihak yang boleh menjaga kepentingan Melayu? Rekod 54 tahun mengesahkan begitu?
 
2. Sebenarnyakah mereka bimbang nasib orang Melayu dan bukan nasib mereka kerana yang akan terjejas peluang bermewah dengan cara yang diragukan?

Maka saya berpendapat sekiranya kaedah menuding jari ini masih menjadi amalan mereka maka jika mereka diberikan tambahan tempoh untuk meneruskan terajuan negara kebimbingan mereka bahawa kedudukan orang Melayu dalam bahaya akan menjadi sebenar-benarnya satu kenyataan yang kita akan saksikan. 

Dengan demikian semua kita bertanggongjawab jika keadaan itu berlaku. Saya tetap tidak membenarkan perkara itu berlaku menurut kemampuan yang ada.  Jadi renungkanlah secara penuh keinsafan akan masa depan kita.

Adakah orang yang suka menuding jari boleh kita percaya?

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan