Lain ulu lain parang , lain dulu lain sekarang. Begitulah pantun dua kerat Melayu yang membawa maksud perbezaan diantara dahulu dan sekarang. Sememangnya terlalu banyak perbezaan diantara dua tempoh ini.
Disebelah pagi jam 11 saya bersama isteri ke sebuah klinik kerajaan membawa cucu untuk pemeriksaan susulan seperti yang telah dijadualkan. Sebahagian besar yang membawa anak-anak adalah dari pasangan suami isteri yang masih muda dianggarkan tidak melebihi 35 tahun. Hanya kami saja membawa cucu kerana kedua-dua ibubapa cucu kami bekerja.
Perkara yang menarik yang saya lihat ialah peranan yang dimainkan oleh suami (orang muda) ketika ini dalam urusan membawa anak-anak ke klinik. Nampaknya suami dan isteri berkongsi sama tanggongjawab membawa anak-anak ke klinik.
Tidak seperti dahulu (maksud saya generasi ibubapa saya dan sebahagian kecil mungkin generasi saya) sebahagian besar kerja menguruskan anak-anak yang baru lahir termasuklah pergi mendapat rawatan di klinik adalah terbeban kepada isteri saja. Secara amnya suami-suami dulu (terutama yang kurang berpelajaran) tidak ambil kisah untuk membawa bayi ke klinik. Semuanya dilakukan oleh isteri dan kaum perempuan saja. Si suami hanya cukup sekadar mendaftarkan nama bayi itu saja.
Ini adalah satu perkembangan yang baik dari segi perkongsian rumah tangga.
Tapi saya lihat satu keadaan yang kurang sihat juga dari segi peranan suami dan isteri dalam hal yang sama. Seorang suami kelihatan melakukan tanggongjawab bersendirian menguruskan anak sedangkan isteri yang turut hadir sama begitu asyik dengan melayari ipadnya.
Suamilah yang masuk kedalam bilik membawa anaknya untuk diambil berat badan dan dia juga yang membawa anaknya itu untuk pemeriksaan-pemeriksaan yang lain. Isterinya tidak langsung mengambil berat tapi asyik dengan ipadnya. Siapa yang mendukung anak? Suami juga. Si isteri berlenggang sambil memegang erat ipadnya.
Bahawa dulu isteri memainkan peranan menjaga anak tapi sekarang suami pula yang lebih mengambil berat. Lain dulu lain sekarang.
Tapi yang seorang yang saya lihat ini, adalah satu yang luar biasa kerana yang biasanya saya nampak ketika ini pasangan suami isteri adalah berrsama-sama mengambil berat, berkongsi tanggungjawab. Cuma yang ada ipad ini saja. Tapi orang lain pun ada ipad , tugas sebagai isteri masih dilakukan. Saya bukan kesiankan suaminya tetapi kepada anaknya nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan