Persidangan Umno sedang berlangsung. Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri telah menyatakan bahawa pilihanraya ke 13 akan diadakan tidak lama lagi. Cuma beliau tidak memberi tahu tarikh sebenarnya. Jadi dari dulu sehingga sekarang tarikh pilihanraya adalah hak mutlak Perdana Menteri walaupun pilihanraya melibatkan ramai orang dan lebih dari satu parti yang akan turut bertanding. Tarikh pilihanraya merupakan satu teka teki. Itulah yang membezakan Malaysia dari negara demokrasi yang lain di dunia ini kerana kita ada acuan sendiri.
Oleh kerana ianya teka teki maka semua orang boleh memilih tarikh tertentu berdasarkan keyakinan masing-masing. Betul atau pun salah hanya Perdana Menteri yang mempunyai hak mutlak untuk menentukannya. Dengan itu tidak perlu risau untuk membuat teka-tekian. Lagi pun rasanya tidak perlu buat teka-tekian. Buang masa dan tidak berbaloi kita memerah otak bagi maksud itu.
Jadi tarikh pilihanraya tidak wajar kita pening kepala kerana biarlah Perdana Menteri yang pening kepala kerana tarikh itu hak mutlaknya.
Tapi ada perkara-perkara lain yang juga kita belum tahu yang perlu kita beri perhatian kerana perkara-perkara itu berbaloi untuk kita memerah otak memikirkannya. Kita boleh buat teka teki juga mengikut apa yang kita yakin yang mungkin terjadi.
Teka teki pertama, Parti atau gabungan parti mana yang akan menang? Sudah tentu teka teki itu mengambil ketetapan bahawa parti yang bertanding adalah persaingan diantara BN dan PR.
Ada beberapa jawapan yang telah diketengahkan.
i) BN tetap menang. Tidak kisah menang tipis atau menang besar kerana Dr. Mahathir pernah berkata menang 1 undi pun boleh diistiharkan sebagai pemenang.
Kalau itu kepercayaan dalam tekatekian itu maka pemimpin dan ahli UMNO yang sedang bersidang ketika ini tidak perlu cemas sehingga membuat kenyataan-kenyatan seolah-seolah Melayu dan Islam dalam bahaya.
Bukankah UMNO berjuang demi bangsa, negara dan agama dari dulu, kini dan selama-lamanya. Bukankah juga UMNO telah diberi kepercayaan untuk meneraju negara sejak merdeka sehingga kini. Begitu lama memimpin negara takkan UMNO gagal membentuk kekuatan peribadi Melayu yang mempunyai jati diri, yang bermaruah, yang teguh ekonominya, yang tinggi penerapan dan amalan Islamnya dan tinggi semangat patriotiknya untuk kesepaduan rakyat negara berbilang bangsa.
Jadi kenyataan Melayu dan Islam dalam bahaya itu adalah satu
kenyataan pihak yang cemas yang telah hilang sebahagian besar keyakinan untuk meneraju negara. Kenyataan itu juga mengesahkan bahawa UMNO yang telah diberi peluang begitu lama meneraju negara telah gagal melaksanakan tanggongjawab untuk menjaga Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia. Kerana mengapa perlu mengeluarkan kenyataan seperti itu jika sebahagian besar kepentingan Melayu dan Islam telah dapat diuruskan dengan baik.
Maknanya kenyataan cemas itu adalah kenyataan pihak yang kurang yakin untuk memenangi pilihanraya ke 13 yang belum diketahui tarikhnya lagi. Sebab itulah tarikh pilihanraya pun tidak berani diberitahu.
ii) PR akan menang.
Boleh ke PR menang? PR bukan parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Apa kekuatan yang ada pada PR. Wang? Projek? Kuasa? Jentera pilihanraya? Jawapannya 'elek', tiada. Harap air liur saja.
Bagaimana pula dengan pengurusan pilihanraya dari segi sistem undian dan penyenaraian pemilih? Ok ke?
Maka yang menang tetap BN juga.
Teka teki kedua ialah siapa yang akan jadi Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti.
Sudah tentu ada yang dengan cepat menjawab bahawa Presiden UMNO lah. Tidak mungkin Timbalannya atau Presiden dari parti gabungan BN yang lain. Sebab perkara itu adalah satu hakikat yang perlu diterima bagi negara Malaysia bahawa yang jadi Perdana Menteri ialah orang Melayu.
Kalau itu sudah jadi satu hakikat maka kenapa pula ada pihak yang mengatakan bahawa orang selain dari Melayu akan menjadi Perdana Menteri jika PR yang menang? Pelik juga, ye. Sebab dalam PR pun ada orang Melayu.
Nampaknya ada 'double standard' dalam kepercayaan terhadap hakikat ini. Adakah orang Melayu UMNO lebih Melayu dari Melayu dalam PR?
Cuba kita buat sedikit ujian untuk membuktikan keMelayuan dua pihak ini. Sebahagian besar orang Melayu dalam PR terdapat dalam PAS singkatan dari Parti Islam Se Malaysia dan PKR Parti Keadilan Rakyat. Dalam BN pula ialah dalam parti UMNO atau singkatan dari United Malay National Organisation.
Cuba teka dan teki Melayu dari parti mana yang bukan Melayu sejati.
Perkara ketiga yang hendak dijadikan teka teki ialah berapa lama orang yang dilantik Perdana Menteri itu kekal sehingga ke pilihanraya ke 14.
Saya jawab tidak akan kekal lama. Sebabnya anda tekalah sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan