Rasa tidak puas hati dan marah diantara orang Melayu dengan bukan Melayu khususnya diantara Cina dan Melayu semakin ditonjolkan melalui penulisan yang boleh kita baca dalam media arus perdana dan media baru.
Malah apa saja kata-kata dan tindakan yang dikeluarkan/dilakukan yang bersifat memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum akan menjadi bahan utama pemberitaan, diperbesar-besarkan.
Memperjuangkan kepentingan kaum ini bermaksud mengatakan bahawa kaumnya telah disisih dan di diskriminasikan berbanding kaum yang lain. Banyak unsur mengapi-apikan dari memperbaikki keadaan.
Saban hari nada-nada kebencian itu sama ada secara terang dan sindiran sentiasa mengganggu fikiran kita sebaik saja kita menatap dan membuka helaian akhbar dan melayari laman-laman siber.
Terlalu banyak bahan dan cerita yang dipertonjolkan sama ada besasaskan fakta yang benar mahupun sangkaan-sangkaan buruk yang boleh menyemaikan perasaan kebencian dan permusuhan sesama kita rakyat Malaysia. Sehingga ada juga pihak-pihak yang tergamak mengkatogerikan kaum ini kelas istimewa dan kaum yang lain pula kelas yang lebih bawah.
Banyak yang tidak puas hati seolah-olah tidak ada satu pun yang baik yang telah dan sedang dinikmati masing-masing pihak. Bahawa hidup di negara yang bernama Malaysia ini satu kehidupan yang sungguh sengsara sekali, lantas ada yang mahu bingkas pergi mencari negara lain yang katanya lebih baik.
Sesungguhnya perkembangan seperti ini adalah tidak sihat malah amat bahaya kepada kesejahteraan hidup kita rakyat Malaysia.
Sayang sekali pendekatan yang digunakan dalam menyatakan kekecewaan itu adalah semata-mata bersifat kepentingan kaum.
Memang tidak dapat dinafikan terdapat berbagai kepincangan yang ujud yang menjurangkan diantara kita, sesama kaum dan diantara kaum dari segi peluang dan ruang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
Kita perlu perbetulkan keadan ini. Kita perlu melihat penyelesaian dibuat bukan semata-mata berdasarkan batasan kaum bahkan juga mesti dilakukan berdasarkan keperluan, tanggongjawab dan hak sebagai warga negara.
Banyak yang 'menyakitkan hati'. Pihak yang melihat kepentingan Melayu menyatakan bahawa kedudukan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagan Persekutuan sudah mula terancam dan sedang diancam dari berbagai sudut. Bahasanya dan agama anutannya, Islam, sedang berhadapan dengan usaha-usaha untuk mengurangkan kepentingannya dari pihak/ kaum dan agama lain. Pengaruh politik juga semakin lemah. Apatah lagi kedudukan ekonomi, terlalu ramai yang susah dan miskin.
Pihak yang melihat kepentingan kaum bukan Melayu misalnya kaum Cina mempersoalkan berbagai dasar dan perlaksanaan kerajaan yang berat sebelah yang katanya banyak memihak kepada orang Melayu. Sebagai contoh, pengambilan penjawat awam juga memihak kepada orang Melayu.
Seperti yang dinyatakan bahawa memang terdapat kepincangan yang mengakibatkan jurang, bukan saja antara kaum bahkan sesama kaum. Tetapi menyatakan satu kaum mendapat faedah yang lebih berbanding kaum yang satu lagi atau mengatakan orang Melayu saja mendapat yang lebih berbanding dengan orang Cina sebenarnya kita menutup mata kita. Bukan sebelah mata tapi kedua-dua belah mata, jadi orang buta.
Cuba kita semak pengambilan penjawat awam. Benar satu kaum saja iaitu orang Melayu adalah paling ramai diambil dalam perkhidmatan awam. Dan finomina seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Ianya tidak sihat. Ia lebih merugikan dari menguntungkan sama ada kepada orang Melayu atau orang Cina.
Ianya merugikan kepada orang Melayu kerana mereka hanya berpeluang untuk menguruskan hal-hal bersangkutan pentadbiran kerajaan saja. Mereka tidak terdedah kepada pengurusan sektor luar kerajaan yang lebih mencabar seperti sektor perdagangan dan perniagaan kerana sebahagian besar sumber manusia Melayu itu telah tersalur dalam sektor awam.
Begitu juga kepada orang Cina , sebahagian besar orang Cina telah terlepas peluang untuk bersama-sama memberi khidmat bakti dalam sektor awam kerana mereka lebih ramai disektor swasta, yang dikatakan lebih dinamik , progressif, mencabar dan upah yang lumayan.
Dan yang paling ketara ialah sumber manusia Melayu itu yang paling dominan adalah diperingkat rendah , peringkat bukan pengurusan, walaupun diperingkat pengurusan bilangan Melayu masih melebihi bukan Melayu. Maksudnya bilangan bukan Melayu boleh kedapatan diperingkat pengurusan tetapi diperingkat rendah susah untuk dicari.
Cuba kita lihat anggota pasukan beruniform seperti tentera dan polis. Keadaannya sungguh menyedihkan. Susah untuk kita mencari anggota bukan Melayu di kedua-dua perkhidmatan itu terutama diperingkat rendah.
Dengan demikian dasar dan pelaksanaan pengambilan pekerja sektor awam hendaklah mempertimbangkan penyertaan yang seimbang dan adil kepada semua kaum. Dalam masa yang sama semua rakyat Malaysia tanpa batasan kaum hendaklah mempunyai minat untuk memberi khidmat bakti kepada negara melalui sektor awam.
Sama juga kaedahnya dengan sektor swasta supaya kedudukan yang ada ketika ini diperbetulkan.
Siapakah yang bertanggongjawab untuk memperbaikki keadaan ini? Jawabnya kita semua rakyat Malaysia. Caranya ialah pendekatan yang kita ambil mestilah mengambilkira kepentingan kaum kita dan kaum yang lain berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Dengan pendekatan seperti yang dinyatakan itu maka orang Melayu tidak wajar berasa cemburu jika bilangan orang yang senang lenang dan kaya sebahagian besarnya tediri dari bukan dikalangan mereka kerana mereka boleh menaruh harapan keatas kaum yang lain itu untuk membantu mereka. Begitu juga yang bukan Melayu jangan merasa kaum mereka tidak diberi layanan yang sama dan adil jika ada usaha-usaha kerajaan menyediakan program dan projek yang dikhaskan untuk orang Melayu dengan tujuan memperbaikki kedudukan mereka.
Adakah ini bermakna orang Melayu tidak perlu bekerja kuat kerana sentiasa menunggu bantuan dari pihak lain? Pendapat ini sungguh merendahkan maruah orang Melayu. Dan kalau ada orang Melayu yang bersikap demikian, saya rasa baik mati dari hidup bernyawa. Jangan jadi patung bernyawa.
Pendapat seperti diatas selalu digunakan oleh orang politik Melayu yang tidak bertanggongjawab semata-mata untuk mengekalkan kedudukan.
Sama juga dengan orang politik bukan Melayu yang kononnya memperjuangkan kepentingan kaumnya. Sebenarnya mereka juga berbuat demikian untuk mengekalkan kedudukannya.
Kalau sebenar-banarnya mereka orang-orang politik itu memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing maka tidaklah timbul jurang dalam kaum itu sendiri. Mereka menggunakan kaum untuk kepentingan politik dan bukan keseluruhan kaumnya.
Dan inilah yang ujud di Malaysia.
Yang malang sekali kedudukan seperti ini telah diberita dan diwarwarkan dengan cara yang boleh menimbulkan rasa kebencian dan permusuhan diantara kaum.
Sebenarnya kita telah terperangkap dengan mainan politik. Politik kotor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan