Theflowersellingboy

Sabtu, 13 Ogos 2011

Kerajaan Persekutuan dan Negeri: Parti Mana yang wajar diberi tanggungjawab untuk mentadbir?

Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan iaitu terdapat pentadbiran diperingkat Persekutuan dan Negeri. Walaupun terdapat juga pentadbiran diperingkat kerajaan tempatan ianya tidak banyak  membezakan dari segi penguasaan pengurusan kerana masih lagi dibawah pentadbiran Kerjaan Negeri. Pembentukan Kerajaan Tempatan tidak dibuat melalui pilihanraya tidak seperti Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Oleh kerana itu penguasa-penguasa tempatan dalam sesebuah negeri adalah dibawah Kerajaan Negeri tersebut.

Kerajaan Persekutuan dan Negeri adalah dibentuk oleh parti-parti politik yang memenangi secara majoriti dalam sesuatu pilihanraya. Ini bermakna kerajaan Persekutuan dan Negeri boleh dibentuk oleh parti yang sama jika ianya memenangi pilihanraya diperingkat Parlimen (Persekutuan ) dan diperingkat Dewan Undangan Negeri (Negeri). Dua peringkat Kerajaan ini juga boleh dibentuk oleh parti yang berbeza yang memenangi secara majoriti setiap peringkat.

Parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa yang terlalu banyak dan besar berbanding dengan pengusaan keatas Kerajaan Negeri seperti yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bidangkuasa Persekutuan dan Negeri terdapat dalam Senarai 1 dan Senarai 2. Senarai 1 ialah Bidangkuasa Persekutuan dan Senarai2 Bidangkuasa Negeri. Satu lagi Senarai iaitu Senarai 3 ialah Senarai Bidangkuasa Bersama.

Satu bidangkuasa yang terlalu amat penting ialah dari segi kewangan. Kerajaan Persekutuan menguasai banyak bidangkuasa yang melibatkan sumber ekonomi dan kewangan kerana Kerjaan Negeri hanya menguasai bidang kuasa tanah dan Agama Islam dan adat istiadat orang Melayu saja. 

Maka menguasai Kerajaan Persekutuan adalah lebih penting dari menguasai Kerajaan Negeri . Dan yang lebih baik menguasai kedua-dua peringkat sekali. Sebab itulah parti yang menguasai negeri hanya bergantung kepada sumber kewangan berasaskan tanah (termasuk hutan) seperti cukai dan premium tanah. Sumber zakat juga dibawah penguasan Kerjaan Negeri. Selain dari itu seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan , Kerajaan negeri juga layak menerima bayaran per kapita berdasarkan bilangan penduduk dan peruntukkan kewangan yang ditentukan oleh undang-undang seperti bayaran balik (reimbursement) bagi projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan bayaran pertumbuhan ekonomi serta bayaran penyeleggaraan jalan raya.

Dengan hal yang demikian tiada banyak yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri terutama negeri-negeri yang tidak  mendapat kesan pembangunan yang besar dari projek-projek persekutuan. Negeri Selangor amat beruntung sekali kerana menerima kesan yang besar dalam projek-projek dan program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan. Diantara kesannya ialah menaikkan nilai harta dan tanah yang boleh menaikkan hasil kerajaan negeri apabila berlakunya sesuatu urusniaga yang berkaitan dengannya. Tapi ini berbeza dengan negeri Kelantan dan Kedah.

Dengan demikian di Malaysia menguasai Kerjaan Negeri tanpa menguasai Kerajaan Persekutuan tidak memberi kekuatan kepada Kerajaan Negeri itu melakukan sesuatu untuk faedah rakyat negeri itu. Malah dengan dua buah Kerajaan yang berbeza , persekutuan dan negeri ianya tidak menguntungkan rakyat. Akan berlaku banyak politiking, masing-masing mahu sabotaj diantara satu sama lain. Misalnya kerajaan Negeri yang menguasai tanah akan cuba sebaik mungkin untuk menggagalkan usaha kerajaan persekutuan. sebaliknya juga Kerjaan Persekutuan yang mempunyai banyak kuasa akan bertindak cara yang sama. 

Yang menjadi mangsa ialah kita Rakyat. Oleh itu dalam pilihanraya umum akan datang Rakyat hendaklah berfikir sebaik-baiknya dengan memilih parti yang sama bagi membentuk kerajaan diperingkat persekutuan dan negeri. Tidak kiralah parti apa yang hendak dipilih. Namun kita masih perlukan pembangkang yang kuat kalau tidak parti yang menang itu akan terlalu berkhayal dengan menganggapkan amanah yang diberikan sebagai satu peluang untuk membuat kekayaan. Maka mereka tidak malu melakukan rasuah dan menyalahguna kuasa.

Tunggulah pilihanraya dan buat keputusan yang terbaik untuk Rakyat.     


Tiada ulasan:

Catat Ulasan