Theflowersellingboy

Sabtu, 20 Ogos 2011

Hari Raya : Dulu dan Sekarang

Semasa kecil dahulu pada tahun 1960an cara menyambut hari raya amat terkesan sekali, sekurang-kurangnya bagi diri sayalah.

Pada pagi-pagi lagi selepas Subuh mereka yang muda akan berjumpa yang tua bersalaman dan bermaaf-maafan sambil berpelukan dan   diiringi dengan tangisan menyesal akan apa yang telah berlaku atau yang dilakukan. Lepas seorang seorang datang untuk bermaaf-maafan. Tangisan teresak-esak tetap jadi iringan.

Begitulah cara mereka beraya. Sesungguhnya permohonan dan penerimaan maaf dihari raya tulus sekali. Sebab itu mereka menangis seperti orang yang bertaubat diatas kesalahan yang dilakukan.


Sekarang kita bersalaman juga, mohon maaf dan ada yang juga berpelukan tapi biasanya tidak ada kata-kata penyesalan yang diikuti dengan tangisan. Dan ada yang bersalaman itu secara selamba saja, tangan bersalaman tapi muka memandang kearah lain, dan tak kurang juga yang menunjukkan kegembiraan yang tidak membayangkan permohonan  dan penerimaan maaf.

Yang sama yang masih berterusan ialah menziarahi kubur untuk menghadiahkan bacaan ayat-ayat al-Quran kepada datuk nenek, ibu bapa dan sanak saudara yang telah meninggal pergi untuk selama-lamanya. 

Cuma cara yang dilakukan sekarang lebih teratur dan kemas dengan perkakasan yang dibawa termasuk air jirusan dan bunga-bungaan. Sebahagiannya membawa kerusi dan membaca dengan lebih tertib yang diketuai masing-masing keluarga. Tidak seperti dulu yang terpaksa mengguna khidmat imam atau bilal atau mereka yang pandai membaca doa.

Memeriahkan sambutan nampaknya jauh berbeza walaupun ada sedikit yang sama. Yang sama ialah menerangkan malam 27 likur dengan cahaya. Dulu pakai buluh atau bahan-bahan lain seperti tin susu untuk dibuat pelita. Tapi sekarang pakai arus letrik walaupun bentuk pelita masih dikekalkan.

Meriam buluh pada masa ini ada juga dimainkan, tapi jarang kedengaran. Begitu pun mereka yang bermain meriam buluh sekarang ini selalu sahaja mengalami kecederaan berbanding semasa dulu. Sebab itulah agaknya meriam buluh jarang digunakan bagi menghidupkan suasana menyambut raya. Atau mungkin pokok buluh telah tidak ditanam lagi, hampir pupus. 

Sekarang kunjung mengunjung rumah nampaknya amat terbatas sekali. Secara umumnya hanya saudara terdekat saja yang mengunjung dan dibalas kunjung. Mengunjung jiran sekampong atau setaman tidak menjadi satu perkara biasa. Maksudnya mereka tidaklah boleh datang tanpa memberi tahu kita terlebih dahulu. 

Tidak ada konsep bahawa pada hari raya rumah kita terbuka untuk semua dan bila-bila masa jika kita ada.

Dulu rumah kita sentiasa terbuka untuk dikunjungi. Malah orang Cina dan India sentiasa menunggu kedatangan hari raya untuk datang beraya makan ketupat, rendang, lemang dan hidangan yang lain. Mereka datang dengan buah tangan pula iaitu membawa buah limau. Seronok bukan. 


Sekarang ada juga tapi dalam bentuk yang lain, iaitu Rumah Terbuka. Tapi rumah Terbuka ini hanya mampu diadakan oleh orang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat seperti Perdana Menteri, Ketua Menteri dan yang lain-lainnya atas peruntukkan Kerajaan. Maka semua bangsa akan dapat meraikan hari raya. 

Bagi orang biasa, orang kampong sudah tentu tidak mampu mengadakan Rumah Terbuka. Dan oleh kerana itu, sekarang ini tidak ada lagi orang Cina atau orang India yang berani/sudi datang kerumah orang Melayu untuk berhari raya melainkan orang itu mengadakan Rumah Terbuka.  Itupun terhad kepada yang diberitahu saja, yang dijemput. Maklumlah belanja sekarang tinggi.

Yang malangnya ialah orang Melayu yang sekampong , yang berjiran, yang setaman tidak akan datang kerumah kalau kita tidak buat Rumah Terbuka. Sekarang soalan yang selalu ditanya sebelum menyambut raya ialah : Anda/saudara buat Rumah Terbuka ke tahun ini? Macam biasa jawab saya ialah tiada. Tapi jemputlah kerumah.

Dibandar-bandar seperti Kuala Lumpur, mereka yang menduduki rumah pangsa biasanya bersepakat mengadakan Rumah Terbuka secara berkelompok. Cara ini bagus juga bagi menjimatkan belanja dan  dalam masa yang sama dapat mengeratkan persahabatan sesama mereka.

Maknanya sekarang orang tidak datang beraya melainkan di jemput atau didakan persepakatan untuk mengeluarkan belanja untuk beraya sama. Beraya lebih merupakan 'reunion' keluarga . Banyak masa dihabiskan dengan menuntun rancangan tv bersama keluarga.

Bagaimana kanak-kanak beraya? Dulu anak-anak akan kunjung rumah ke rumah untuk menikmati hidangan yang disediakan. Dan ada juga menaruh harapan untuk dihulur wang 20 sen atau 50 sen. Sekarang pun nampaknya sama saja. Yang rasanya berbeza ialah harapan wang pemberian. Sekarang tak main sen. Kalau bagi seringgit duapun  maka diumpatnya tuan rumah itu dikatakan kedekut, dan mereka mengatakan berhadapan tidak main sorok-sorok, tidak seperti dulu terlalu suka dapat wang yang diberikan . 

Tapi kita tidaklah boleh salahkan mereka kerana belanja sekarang lebih mahal dari dulu.

Dan jangan terperanjat anak-anak yang sama akan datang lagi berkunjung. Jangan marah. Mereka anak-anak, anak-anak moden yang banyak keperluan. Cuma jika mereka itu anak kita, pujuk-pujuklah mereka supaya menerima saja ampau tanpa banyak cerita, terima kasih saja. Orang memberi, kita berbudi, berbudi bahasa.

Saya terkesan beraya pada masa dulu ialah kerana cara mereka bermaaf-maafan dengan deraian air mata. 

Sekarang saya terkesan juga malah merasa amat sedih dan berduka kerana sebahagian dari kita beraya, pada setiap tahun, tidak pernah gagal dengan lenangan air mata juga. Ya, kita menangis kerana kemalangan di jalan raya yang melibatkan keluarga kita dan orang Islam yang lain semasa mereka berlumba-lumba untuk tiba ke destinasi, ke kampong. Air mata menyambut mereka. Dan mereka pun berlenang air mata, kesal tidak berguna.


Itulah dua kesan yang berbeza dulu dan sekarang dalam merayakan aidilfitri. Air mata dulu adalah tanda kesal akan kesalahan yang dilakukan dan ketulusan bermaafan manakala  air mata sekarang adalah kekesalan yang terlambat atas perbuatan sendiri. Tidak guna kesal kemudian.

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN. 

Saya tidaklah dapat menyertakan air mata ketulusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan