Theflowersellingboy

Isnin, 22 Ogos 2011

Pengurusan Perbezaan: Raikan Perbezaan dan Rapatkan Jurangnya.

Perkembangan diseluruh dunia ketika ini amat menyedihkan sekali dari segi perhubungan sesama insan. Banyak yang bermusuhan berbanding yang menghulurkan salam persahabatan.  Perang sana, perang sini, bom sana , bom sini. Kerjanya membunuh. Dilakukan manusia tanpa ada batas-batas bangsa dan agama walaupun ada kecenderungan jari-jari nakal menuding satu-satu kumpulan dan agama tertentu.

Di Malaysia keadaannya juga tidak sebaik yang kita harapkan. Hanya kita berharap keadaan itu tidak akan menjadi bertambah teruk. Janganlah hendaknya garis-garis pemisahan yang ada, perbezaan diantara kita  boleh membawa keretakan perhubungan sesama kita. Kita perlu hindar retak menjadi belah, kerana apabila menjadi belah dia akan hancur. Elakkan nasi menjadi bubur, jika kita hendak makan nasi.

Apakah sebenarnya yang membuatkan berlakunya permusuhan, pergeseran, pertelagahan, pertembungan, pergaduahn , peperangan dan pembunuhan sesama manusia? 

Sesungguhnya soalan ini mudah saya buat tapi tidak mudah untuk dikupas atau diberi jawapan kerana ianya melibatkan pandangan atau pendapat masing-masing individu.

Tidak ada satu pandangan pun yang akan  dapat memberi jawapan yang memuaskan kepada semua pihak. Mesti ada perbezaan dan yang tidak bersetuju.

Dan ada juga pandangan berbentuk menuding jari yang semakin menambahkan kecelaruan dan memburukkan keadaan.

Tetapi kalau perbezaan pandangan itu dapat dikumpul dan dijadikan sebagai khazanah pemikiran manusia maka ianya mungkin boleh mencantikkan suasana manusia menjalani kehidupan. 

Ya , seumpama bunga-bunga yang berbagai warna, reka bentuk, dan aroma  kalau pandai digubah,  ianya akan menjadi sungguh menarik untuk kita memilikinya.
 
Sayang sekali perbezaan pandangan diantara insan itu adalah penyebab utama finoma permusuhan itu. Apatah lagi jika pandangan itu datangnya dari latarbelakang yang berbeza dari segi bangsa dan agama. Ada saja yang tidak kena , yang tidak disukai yang perlu diketepi, disisih atau disingkirkan. Bukan saja pandangan malah si pemberi buah fikiran itu sendiri akan menjadi mangsa.

Mengapa jadi begini?

Kerana kita tidak meraikan perbezaan.

Meraikan perbezaan bermaksud kita menerima kewujudan setiap dari kita dengan rasa saling hormat menghormati, saling memerlukan dan lengkap melengkapi untuk mengwujudkan satu suasana kehidupan yang cantik dan indah, yang harmoni . Duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Seumpama bunga-bunga  tadi gubahan menjadi cantik, indah dan menarik disebabkan perbezaan dan kepelbagaian. 

Jadi mengapa tidak kita  jadikan perbezaan itu sebagai asas mengakui kehebatan Penciptanya. Memang benar kita selalu ucapkan   bahawa Pencipta itu maha hebat, maha Berkuasa , dan segalanya tidak kira apa pegangan agama kita. Tapi setakat itu saja. Nampaknya kita menang cakap , kalah dari segi amalan.

Sebaliknya dengan penuh emosi , sombong dan bongkak kita jadikan perbezaan itu sebagai asas untuk mengurangkan atau menidakkan kepentingan pihak yang lain yang bukan dari golongan atau kumpulan yang sama dengan kita.


Yang demikian asas kepada perselisihan, pergaduhan , permusuhan , peperangan adalah kegagalan manusia meraikan perbezaan. Manusia tidak pandai menggubah perbezaan itu menjadi seperti bunga-bunga yang pelbagai jenis warna, bentuk dan bau yang dapat digubah cantik oleh manusia itu sendiri sehingga semua manusia tertarik untuk memilikinya.


Kegagalan meraikan perbezaan itu adalah disebabkan pemikiran , sikap dan tindakan kita diterajui oleh sifat dan nafsu tamak haloba.

Sifat tamak haloba ini   yang menjiwai mana-mana manusia tidak kira apa jenis bangsa, warna kulit dan kepercayaan agama akan tidak pernah mahu melihat orang lain juga dapat berkongsi sama khazanah kurniaan Allah yang maha pemurah. 
 
Sesaat atau sedetik perjalanan masa akan digunakan segala kesempatan, cara dan kaedah untuk megaut apa yang ada, menguasai dan mengawal apa saja, apa lagi yang tersedia dihadapan mata. Tambah-tambah lagi ada kedudukan dan kuasa. 

Maka perbuatannya itu adalah bertuankan tamak haloba. Kalau yang berkuasa terlalu tamak akan kuasa sehingga tidak rasa malu untuk terus kekal berkuasa dengan apa cara sekali pun. Tidak segan silu untuk menyalahgunakan kuasa. 

Yang sudah kaya dan banyak harta terlalu cemburu jika ada usaha untuk membantu yang miskin yang masih lagi terkial-kial memperbaikki kedudukan ekonomi diri, seolah-olah harta dan kekayaan dunia ini hak kepunyaannya saja, tidak mahu berkongsi barang sedikit sekali pun. Harta dan kekayaan bertimbun tapi masih lagi tidak berpuas hati. Alasannya berasaskan meritokrasi. Bukan kah itu sifat orang yang tamak haloba?



Maka dengan itu perbezaan yang sepatutnya mengujudkan semangat penerimaan sesama insan untuk bersama-sama menjalani kehidupan, hormat menghormati dan tolong menolong telah menghasilkan   jurang sesama insan. Dan jurang ini semakin hari semakin membesar. Maka tersisihlah satu pihak atas dasar perbezaan itu. 

Oleh kerana yang tersingkir itu perlu bernafas untuk hidup, perlu makan dan lain-lain keperluan apakah kita merasa hairan jika berlaku permusuhan?pergaduhan? peperangan? dan pembunuhan?

Sesungguhnya pandangan ini terlalu simplistik tidak sepadan dengan masaalah yang menyerabuti dalam hubungan sesama insan. Cuma seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri bahawa  'penerimaan' adalah penting sesama kita masyarakat berbilang bangsa dan keturunan dan agama untuk sebuah Malaysia yang bersatu. Tapi sebelum berkata begitu kita sentiasa mesti ingat supaya kita tidak menang cakap tapi kalah dari segi amalan.


Uruskanlah perbezaan dengan baik, raikannya dan rapatkanlah jurang perbezaan sesama kita rakyat Malaysia.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan