Theflowersellingboy

Isnin, 1 Ogos 2011

Jaga Kehormatan Mata dan Telinga.

Mata perlu sentiasa dijaga agar tidak melihat sesuatu yang dilarang oleh agama kita, Islam. Telinga juga perlu dijauhkan dari mendengar perkara yang dilarang. Itulah caranya kita menjaga kehormatan mata dan telinga kita. Ianya perlu dijaga setiap masa , apatah lagi dalam bulan puasa yang penuh cabaran , cabaran yang datang dari nafsu kita kerana kita berlapar dan dahaga diwaktu siang dan kenyang diwaktu malam.

Jangan cemar dan rosakkan kehormatan kedua-duanya kerana kedua-duanya adalah deria yang terlalu penting yang memandu dan mempengaruhi setiap tindakan kita, termasuk lidah dan mulut kita. 

Baik yang kita lihat baiklah respon kita. Baik perkara yang kita dengar baiklah juga respon kita.  

Ya, kita lapar diwaktu siang dan kenyang diwaktu malam pada bulan puasa ini. Maknanya waktu siang perut kita 'kosong' (lapar). Setiap yang kosong itu perlu pengisian. Dan pengisian itu mestilah dari benda/perkara yang baik-baik. 

Benda/perkara yang baik-baik itu adalah menurut yang diatur dan diperintah Allah. Terlalu banyak berbanding perkara yang tidak baik. Maka mata kita hendaklah kita gunakan misalnya membaca Al-Quran dan bukan sebaliknya melihat perlakuan-perlakuan yang tidak senonoh sama ada dengan menonton tv mahu pun kita sendiri mencari.

Sekiranya secara tidak sengaja kita terpandang perkara yang dilarang itu maka cepat dan segera kita berpaling kearah lain dan jangan lihat lagi. Misalnya semasa kita menonton tv, tiba-tiba kita dipaprkan sesuatu yang tidak baik sama ada yang berbentuk lucah ataupun bohong serta fitnah maka tutup saja rancangan itu. Kalau kita tonton juga maka kita sebenarnya tidak menghormati mata kita.

Sebenarnya iman kita goyah. Masih lagi menonton dan meraikan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama kita. Kita khuatir perbuatan kita itu menempatkan kita sama taraf dengan orang munafik. Dijauhi Allah.

Bukankah lebih baik kita gantikan dengan membaca Al-Quran. Kalau malas sangat , lelapkan mata, tidur adalah lebih baik. Kehormatan mata kita terjaga.


Sama juga dengan telinga kita. Biarlah telinga mendengar ayat-ayat Allah dari mendengar laungan dan rayuan suara-suara yang lunak lagi mengasyikkan sehingga banyak perkara yang baik tidak dapat atau tertangguh untuk kita lakukan. Pelihara telinga dari mendengar rancangan-rancangan tv yang merosakkan seperti hiburan yang gila-gila dan perbicaraan yang banyak mengisi perkara-perkara tidak benar, bohong dan fitnah semata-mata untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.


Adalah lebih baik kita menghadiri majlis-majlis ilmu/agama yang boleh menambahkan dan memperbaikki diri kita yang masih lagi banyak kekurangan. 


Banyak lagi yang kita boleh buat, maksudnya yang mata kita perlu lihat dan telinga kita perlu dengar  untuk mengisi kekosongan kita waktu berlapar diwaktu siang hari. Paling malas kita tidur saja, kita tidak melihat dan tidak mendengar melainkan mungkin bermimpi. Harap-harap mimpi yang baik-baik belaka. 


Perut kenyangpun setelah berbuka puasa, diwaktu malam juga menjadi cabaran kepada mata dan telinga kita. Kalau fahaman kita bahawa perut yang lapar dan tekak yang dahaga (perut kosong)  itu hanya perlu dipenuhkan dengan makanan dan minuman sebagai cara mengisi kekosongan maka nafsu selera makan kita menjadi menggila lantas kita akan makan terlalu kenyang. Sebab itulah pada sebelah petang tadi kita telah menyediakan berbagai makanan, juadah serta minuman berbagai jenis dan warna untuk kita pulon semasa berbuka.


Mengapa jadi begitu? Sebab mata kita begitu tertarik dengan berbagai kueh muih dan air minuman yang terdapat ditempat-tempat jualan. Banyak yang kita beli maklumlah membeli waktu lapar semua mata berkenan. Akhirnya kita terlalu kenyang. Bukan itu saja tidak semua makanan dan minuman habis dimakan, ada yang terpaksa dibungkus buang, membazir. Mata punya pasal.

Terlalu kenyang membuatkan kita mengantuk dan malas. Akibatnya banyak perkara-perkara yang baik-baik kita tidak dapat lakukan. Atau dapat lakukan tetapi tidak dengan khusyuk kerana tersenggut-senggut. Telinga pun sama tidak dapat memusatkan kepada apa yang disampaikan olaeh para tok guru atau ustaz-ustaz yang berceramah.


Sesungguhnya perbuatan kita itu tidak menghormati mata dan telinga kita sendiri. Lebih merosakkan jika yang tidak baik yang kita tengok dan yang tidak baik kita dengar kita war-warkan kepada orang lain termasuk keluarga kita. Bertambahlah mata dan telinga menjadi tercamar.


Yang demikian marilah kita bersama-sama menjaga kehormatan mata dan telinga kita. Ianya mudah saja: lihat dan dengar yang baik-baik. Banyak benda yang baik-baik, carilah sendiri. Kalau malas mencari, tidur saja. Dapat pahala juga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan