Theflowersellingboy

Jumaat, 19 Ogos 2011

Salam Jumaat ....23 Jangan Cepat Berang, Lihat Diri Sendiri

Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat untuk semua. Semoga anda semua sihat-sihat belaka.

Pagi tadi berkesempatan bertegur sapa dengan seorang pekerja yang membersihkan jalan dihadapan rumah. Sambil menyapu sampah pekerja itu menjinjing satu bungkusan plastik berisi sesuatu yang kelihatan berwarna ungu. Maka saya bertanya : Apa benda yang dijinjing itu. Maka saya diberitahu yang dijinjing itu ialah buah anggor yang telah diberikan oleh orang Cina yang rumahnya dihujung sekali, untuk berbuka puasa.

Serentak dengan jawapan itu saya merasa terlalu amat malu dan kecewa sekali kerana saya tidak pula pernah terniat untuk memberi sesuatu kepada pekerja buruh itu untuk tujuan berbuka puasa. Sebaliknya jiran saya dihujung itu, si Michael begitu mengambil berat tentang buruh yang berpuasa itu dengan menghadiahkan buah anggor untuk berbuka puasa. 

Ah, ianya satu pukulan didada yang hebat. Malu dan kecewa diatas sikap sendiri yang tidak mengambil berat sesama Islam. Apatah lagi pekerja itu sudah tentu amat memerlukan sesuatu untuk berbuka puasa. Merengankan beban belanja dalam keadaan harga yang mahal ini.


Saya memang mampu sekali sekala untuk menghadiahkan sedikit makanan atau buah-buahan. Mungkin setiap hari pun tidak membuatkan saya jatuh miskin. Saya amat kecewa , menyesal dan teramat malu.

Agaknya begitulah caranya orang bukan Islam berdakwah. Menunjukkan sifat dan kelakuan yang baik dan terpuji. Saya sebagai seorang Islam yang memang sedia mengetahui akan pahala yang berganda atas sesuatu kebaikan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan seperti membantu orang yang memerlukan, memberi makanan seperti yang dilakukan oleh si Michael tadi, tidak langsong mengambil peluang pahala berganda itu. Sudah tentu si Michael tadi tidak tahu akan pahala yang berganda itu. 


Si Michael telah berjaya menawan hati seorang Islam. Saya telah gagal memenangi hati seorang Islam, sesama Islam. Saya percaya pekerja tadi akan lebih memberikan telinganya kepada si Michael berbanding kepada saya. Maka banyaklah perkara yang boleh disampaikan oleh si Michael itu kepada buruh yang berpendapatan kecil itu. Saya mempunyai keyakinan, pekerja ini orang susah.


Sifat dan perangai saya ini sama agaknya dengan sifat dan perangai sebahagian besar orang Islam yang lain. Bermakna setelah begitu lama berpuasa saya masih lagi tidak dapat memahami makna keseronokan dan nikmat berpuasa itu. Apa yang seronok? Apa yang nikmat?


Yang seronoknya ialah semasa kita hendak berbuka. Kita melihat makanan yang terhidang dihadapan kita. Sungguh mengiurkan. Apabila azan berkumandang diudara maka dengan segera saya mencapai makanan itu seperti lagak orang tidak pernah dapat makanan. Terlalu lapar. Saya sungguh seronok melayan selera. 


Itulah seronoknya berbuka kerana dapat makanan setelah berlapar beberapa jam. Tapi saya tidak panjangkan seronok itu kepada orang yang susah, yang tidak ada makanan. Cuba bayangkan kita berlapar beberapa jam saja.Mereka yang susah berlapar sekian lama. Kalau mereka dapat makan seperti saya makan, saya percaya mereka terlalu seronok sekali, dan sudah tentu memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt.

Saya seronok sendiri-sendiri sehingga mungkin lupa bersyukur akan nikmat Allah itu.

Yang itu ialah perangai saya. Amat buruk sekali. Saya berjanji akan menyingkirkan perangai dan sifat buruk itu. InshaAllah.

Bagaimana perangai atau tindakan pihak yang bertanggongjawab yang diberi amanah untuk membantu atau membangunkan ummah. Saya ambil contoh penggunaan wang zakat. Secara amnya wang zakat itu telah tidak digunakan secara yang terbaik untuk membangunkan ummah. Tidak membantu orang yang memerlukan bagi menaikkan taraf  hidup dan keluar dari kehidupan susah dan miskin.

Ya, kenyataan saya itu boleh dipertikaikan kerana saya tidak menyertakan statistik . Tapi bukankan kita boleh melihat dengan mata sendiri betapa ramai orang-orang Islam yang meminta sedekah. 

Kita bertambah berang, kalau malu tidak mengapa, sekurang-kurangnya insaf dan sedar diri akan kesilapan seperti yang saya lakukan, tapi berang dan marah apabila ada pihak lain memberi bantuan kepada orang Islam. Ini cerita benar. Ingat tak cerita penguatkuasa agama Islam negeri Selangor yang menyerbu gerja kristian di Damansara Utama kerana disyakki ada usaha-usaha mengkristiankan orang Islam dengan cara memberi bantuan. 

Maka beranglah orang Islam marahkan pihak gereja itu.  

Mengapa perlu marah. Mengapa sangat cepat tuding jari kepada orang atau agama lain.

Fikir baik-baik dengan tenang. Bagi saya usaha untuk mengembangkan agama kepada penganut yang lain adalah menjadi matlamat mana-mana pihak agama  termasuklah kita agama Islam. Cuma siapa yang lebih prihatin yang lebih bertanggongjawab akan dapat melakukannya dengan baik. 

Dari segi sumber, saya selalu mengatakan orang Islam atau negara Islam telah dianugerahkan Allah sumber yang melempah ruah. Cuma pengurusan dan penggunaan sumber itulah yang menjadi halangan.
 
Maka lihat pada diri kita bagaimana wang zakat itu kita menfaatkan. Adakah kita yang menguruskan itu lebih bersifat dan bersikap membantu atau mencari berbagai justifikasi untuk menolak permohonan bantuan. Adakah kita bersikap seperti bank yang meminta koleteral apabila permohonan itu dibawa kepada kita. Jangan silap faham pula maksud koleteral itu. Ia tidak hanya bermaksud wang atau tanah/harta tanah. Ia juga bermaksud sokongan dari ahli politik. Kalau yang memohon itu bukan satu geng maka permohonan itu menjadi masaalah. 

Anda tidak percaya apa yang saya timbulkan ini? Tidak menapa, siasat sendiri.

Akhirnya janganlah jadi macam saya yang tidak langsung terniat dihati untuk memberikan bekalan makanan kepada buruh yang menyapu sampah jalan itu untuk menyeronokkan dia dan keluarga berbuka puasa tapi saya telah kesal dan insaf. 

Bagaimana dengan pihak yang menguruskan sumber untuk membantu orang Islam yang susah misalnya sumber zakat tadi.  Masih menuding jari kepada bukan Islam lagi ke jika ada orang Islam yang merujuk kepada yang bukan Islam. Kalau masih begitu maka saya telah melakukan yang terbaik kerana tidak marah-marah akan si Michael jiran saya itu.

Salam  Jumaat.  Jumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan