Theflowersellingboy

Selasa, 16 Ogos 2011

Kenangan Dari Sebuah Album: Raya dan Puasa Berair Mata

Selepas menunaikan solat Asyar berjemaah bersama iateri dia terus mencapai sebuah al-quran berkulit warna hijau yang terletak disebuah rak yang menempatkan berbagai buku agama. Untuk puasa tahun ini ia berazam untuk dua kali khatam al-quran. Tahun lepas sekali saja. Isterinya seperti biasa, turun kebawah kedapur menyediakan makanan untuk berbuka. 


Benang penanda bacaan menunjukkan dia akan mula dengan Surah To Ha. Selepas solat Zohor tadi dia mampu sehingga penghujung Surah Mariam.


Dia memulakan bacaan dengan meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan dituruti dengan memuji nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. 


Baru saja 10 minit mulutnya mula terbuka luas, bersangap, mengantuk. Dia cuba melawan dengan membeliakkan lagi matanya untuk meneruskan bacaan. Tapi perkataan yang keluar dari mulutnya tidak sama dengan apa yang dilihatnya. Semakin diteruskan bacaan semakin banyak kesalahan yang dilakukannya. 

"Bila baca al-Quran saja  mengantuk. Tapi kalau nak tidur susah nak lena", dia mengomel sambil jari tapak kanannya menggosok-gosok matanya sedikit keras tanda marah. Dia berhenti membaca dan meletakkan semula kitab suci itu ketempat asalnya.

Memang benar selepas meletakkan kitab suci itu rasa mengantuk telah mula hilang. Dia bangun untuk mengambil al-Quran itu semula. Tapi angin dalam perut tidak boleh ditahan, mahu keluar. Wuduknya batal. Dia merasa malas untuk mengambil wuduk sekali lagi.

Dia berjalan menuju ke sudut perpustakaan kecil yang bertentangan dengan biliknya untuk mencari sesuatu untuk dilihat atau dibaca. Dia menarik keluar sebuah album lama, album yang memuatkan gambar-gambar ahli keluarga semasa dia baru mempunyai dua orang putera. Dibawanya album itu kedalam bilik untuk menghidupkan semula kenangan lama.

Gambar persandingan semasa perkahwinan dulu diawal muka. Isterinya berpakaian pengantin serba putih dan dia berkot hitam sedang duduk diatas pelamin. 'Segak juga aku rupanya' dia tersenyum berbisik seorang diri. Tangannya meraba-raba kepalanya yang hampir licin tiada berambut. 'Wah dah tua rupanya aku ni', dia mula sedar realiti yang ada.

Helaian demi helaian muka album diselaknya yang diiringi komen-komen syok sendiri. Tiba-tiba tangannya terhenti. Matanya terpukau pada dua wajah anak-anaknya. Anak yang sulong dan yang nombor dua. Yang tua berambut lurus seperti dia dan adiknya berambut kerinting mengikut contoh emak pula.

Air mata mula keluar dari kelopak matanya. Dia mula menangis perlahan dengan rintihan dihati mengenangkan hal yang sudah terjadi, penuh trajedi. Takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Kedua-dua anaknya telah lama pergi. Yang tua   pada hari raya ketiga dan adiknya pada hari 13 berpuasa. Pemergiannya dengan cara yang sama kemalangan jalan raya.

Jejeran air matanya makin bertambah membasahi pipinya.


Tahun 1983. Hari ketiga aidilfitri. 

Tahun ini dia beraya dikampong isteri. Itulah persetujuan yang tidak bertulis yang sama-sama dipegang tanpa banyak soal. Dia dan isteri telah bersetuju bahawa pada hari raya pertama mesti dibuat giliran. Hari kedua dan seterusnya boleh beraya dimana-mana. Tetapi biasanya mereka beraya  sehingga hari raya ketiga ditempat giliran.

Dia tidak pernah mungkir, mahu pun isteri. Setiap tahun giliran berjalan dengan lancar.

Hari ini hari raya yang ketiga. Tiba masanya untuk dia dan isteri serta anak-anak untuk balik ke kampongnya pula. Berjumpa ibubapa dan saudara mara disana.


Waktu ketika itu sudah menghampiri pukul 12 tengah hari. Dia dan isteri telah memasukkan beg pakaian dan barang-barang yang lain kedalam boot kereta Fiat 132 berwarna putih yang telah dihidupkan injin sedia untuk dipandu. Tapi dia masih lagi diluar kereta sedang berbual-bual dengan bapa mertua.

"Ayin nampaknya dah sihat. Tadi abah nampak dia dan Wani berkejar-kejar dibelakang rumah. Tak mencungap pun. Syukur, Alhamdulillah. Dah lima tahun ke dia operet?" 

Dia hanya menganggokkan kepala tanda setuju dangan pemerhatian dan pertanyaan bapa mertuanya itu. Matanya juga turut sama memandang anak-anaknya yang sedang bermain dalam kereta. Dia tersenyum kesyukuran.


Isterinya yang telah 5 bulan mengandong anak yang ketiga menghampiri untuk bersalaman dengan kedua ibubapanya.

Dua orang anak lelaki berusia 6 dan 5 tahun telah mengambil tempat ditempat duduk belakang.  Mereka sungguh gembira. Dia pun tumpang sama gembira terutama melihat anaknya yang sulung yang nampaknya aktif setelah menjalani pembedahn jantung berlubang semasa berusia dua tahun.


"Dah masuk pukul 12, makanlah dulu", terdengar suara emak mertua yang berdiri diruang serambi mengajak dia dan isteri serta anak-anak untuk makan terlebih dahulu. Bapa mertuanya yang berdiri disebelah juga menganggok-anggokkan kepala, bersetuju. 

Isterinya memandang kearahnya untuk minta keputusan. Dia tidak berkata apa-apa cuma melihat jam ditangan seolah-olah memberi jawapan bahawa mereka perlu begerak segera kerana perjalanan memakan masa tidak kurang 5 jam untuk sampai ke kampongnya. Entah kenapa, dia perlu segera.


"Kenyang lagi ummi. Lagipun dah lambat ni. Takut hujan pulak", isterinya pandai cari alasan setelah dapat membaca air muka suaminya tadi yang perlu segera bergerak. 


Setelah bersalaman dia terus memandu keluar kereta dari kawasan rumah dan terus meninggalkan emak dan bapa mertua yang melambai layu.


Panduan keretanya pada kelajuan 70 dan 80 batu sejam diatas lebuhraya yang belum sempurna siapnya, Lebuhraya Segamat-Kuantan. Anak-anaknya yang dua orang itu sungguh gembira menyanyi dan bermain-main. Dia pun tumpang sekaki menyanyi . Suasana menyeronokkan sekali.


Terdapat banyak lori-lori 'hantu' yang mengangkut tanah dan pasir. Lori-lori itu tidak ada nombor pendaftaran, tidak ada lampu isyarat untuk memasuki simpang dan tidak juga ada lampu belakang. Lama juga dia mengekori lori-lori itu.   Setelah mendapat peluang untuk memotong dia menukar ke gear yang rendah dan terus memecut. Tapi tiba-tiba lori yang hendak dipotong itu masuk kekanan jalan. Dia dengan segera menekan brek tetapi tidak mampu untuk mengelakkan keretanya dari melanggar belakang lori. Anaknya yang tua tercampak kedepan. Isteri dan anaknya yang seorang lagi tidak mengalami apa-apa kecederaan cuma muka mereka pucat lesi dan tubuh menggigil. Dia pula berdarah didagu terkena stering kereta. Keretanya  diberhentikan ditepi sebelah kiri jalan tetapi lori hantu itu meneruskan perjalanan.


Dia keluar sambil mendukung anaknya yang tua yang mengadu kesakitan. Dia menunggu kenderaan lain untuk membawa anaknya kehospital. Lama juga menunggu akhirnya selepas hampir 20 minit sebuah kenderaan pick-up muncul lalu berhenti. Dia, isteri  dan anak-anaknya menaikki pick-up untuk kehospital meninggalkan keretanya serta barang-barang yang ada dalam kereta fiat 132 nya itu.

Dia meriba anak tuanya yang mengadu kesakitan."Pa sakit pa. Yin sakit pa. Tolong pa. Pergi hospital pa", Air matanya meleleh keluar terlalu sedih akan rayuan anaknya itu. Isterinya menangis teresak esak.


"Encik, jauh ke lagi hospital?' Dia tidak sabar untuk sampai segera kehospital kerana anaknya itu mengadu kesakitan. "Jauh juga", jawab pemandu pick-up.


Dia cuba memberi pernafasan dari mulut kemulut apabila melihat anaknya itu susah untuk bernafas. Anaknya masih menyatakan kesakitan. Dia bertambah sedih. Air matanya terus jatuh berjurai.


'Dah sampai", pemandu pick-up memberitahu. Dia dengan segera mendukung anaknya masuk keruang kecemasan untuk mendapat rawatan segera. Anaknya dimasukkan dalam satu bilik tetapi dia tidak dibenarkan bersama. Dalam beberapa minit seorang doktor keluar. 


"Minta maaf kami tidak dapat selamatkan anak awak". Dia tidak percaya. Dia minta doktor pereksa semula. Beri suntikan supaya anaknya boleh diselamatkan. Dia merayu  "Doktor, tolonglah. Saya sayang anak saya doktor. Tolonglah". Doktor menggelengkan kepala. Isterinya melaung dan dia memeluk isterinya menangis teresak-esak.


Terngiang-ngiang ditelinganya akan suara emak mertuanya yang mengajak dia makan sebelum berlepas tadi tetapi dia perlu segera untuk teruskan perjalanannya balik ke kampong. 

Tiba-tiba dia merasakan bahawa peristiwa ini pernah dialaminya. Bila? Mungkin dalam mimpi. Ya, malam tadi ia bermimpi peristiwa seperti itu. Tetapi kenapa dia boleh lupa. Hanya setelah berlaku dimainkan semula dalam otak kepala. Takdir , siapa pun tidak boleh melawan. Jika itulah takdirnya dia rela dan redha. Allah lebih mengasihi anaknya. Dia memeluk erat isterinya yang masih menangis.


Tahun 1998 pada hari ke 13 berpuasa.


Pagi itu jam 9 dia menerima panggilan talipon dari Azmi , penolongnya seorang akauntan dipejabatnya memberitahu bahawa dia mendapat panggilan dari Dr. Baharudin pengetua sebuah institusi pengajian tinggi memaklumkan anaknya yang berada ditahun ke 3 telah terjatuh dari sebuah motor yang diboncengnya. 


"Tuan haji jangan terperanjat. Dr. Baha beritahu Wani jatuh motor masa hendak hantar assingment nya . Dalam kampus. Sekarang di hospital". Dia boleh baca suara Azmi ini. Berita sedih menimpanya lagi. Dia dengan segera memberitahu isteri yang berada dirumah untuk ke hospital.


Dalam perjalanan mengambil isterinya, dia teringat baru semalam anaknya itu balik kerumah untuk berbuka. "Assalamualaikum pa. Bukak pintu", terdengar suara anaknya minta dibuka pintu. Waktu itu sudah agak gelap. Dari verandah rumah disebelah atas dia melihat seseorang sedang berdiri dihadapan rumah. "Siapa tu?" Dia mahu tahu siapa gerangan orang itu. "Wanilah. Anak sendiri pun tak kenal".


Sekarang anaknya berada dihospital. Dia telah menjangka yang terburuk. Dia telah bersedia menghadapi. Namun dia tidak dapat menahan kesedihan. Dia menangis.


"Bang turun kejap. Tolong pergi kedai beli minyak masak". Terdengar panggilan dari isterinya yang sedang sibuk memasak untuk hidangan berbuka. Dia beristigfar, sambil mengesat air mata. Diambilnya kertas tisu untuk mengesat air mata yang jatuh mengenai gambar anak-anaknya yang telah pergi meninggalkannya terlebih dulu.


Dia turun kebawah melangkah longlai, sedih apa yang telah menimpa keatasnya dan keluarga.

Sekarang dia tidak perlu balik kampong lagi. Tidak juga ke kampong isterinya. Dia menunggu kepulangan anak-anak , menantu dan cucu untuk beraya bersama. Dia mendoakan supaya mereka dilindungi Allah dari segala mara bahaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan