Theflowersellingboy

Khamis, 18 Ogos 2011

Satu Yang Tidak Sempurna Melainkan Allah Yang Satu Yang Maha Esa

Cuba kita fikirkan mengenai diri kita sendiri. Kita seorang insan. Taraf insan itupun sudah jelas bahawa kita diciptakan. Kita ada maha pencipta maka dengan itu kita sebenarnya tidak ada kuasa. Kita ditentukan oleh yang lain. Yang lain itu ialah yang mutlak yang tidak ada pencipta. Maka bagi orang Islam yang beriman bahawa yang mencipta itu ialah Allah.

Bermula dari situ iaitu kita dicipta maka kita adalah tidak sempurna. Kita tidak boleh menjadi satu kerana kita perlukan yang lain untuk meneruskan kehidupan.

Fikirkan juga pelengkap atau pasangan sama ada yang seiring atau sejalan dan yang bertentangan. Ada lelaki adanya perempuan. Yang kecil lawannya yang besar. Yang kuat timbul kerana ada yang lemah. Miskin adalah akibat dari adanya yang kaya. Cantik dan hodoh. Jahat dan baik. Dunia dan akhirat. Banyak lagi pelengkap yang jelas memberitahu kita bahawa kita dan yang lain tidak sempurna melainkan Allah yang mutlak sempurna. Satu yang sempurna.

Seterusnya jika kita ditimpa musibah maka agama mengajar kita untuk bersabar. Kalau kita mendapat nikmat atau sesuatu yang baik dan menyukakan hati kita mesti bersyukur. Musibah mesti diiringkan dengan bersabar dan nikmat disertai dengan syukur. Itulah ertinya kehidupan kerana kita akan mati. Hidup didunia yang diakhiri dengan kehidupan diakhirat selaepas kita mati.

Apa saja yang dicipta adalah tidak sempurna. Haiwan dan yang lainnya pun sama saja. Yang bersifat tidak bernyawa , yang menggambarkan sesuatu keadaan atau suasana pun tidak sempurna. Tidak boleh bersendirian. Misalnya malam berganti siang; terang ada gelapnya. Sejuk dan panasnya. Positif dan negatif. Kalah dan menang.

Bagimana pula dengan kedudukan seri dalam sesuatu perlawanan. Apa yang perlu disaingkan dengan seri. Sudah tentu seri tidak disebabkan ada yang menang atau kalah. Seri tetap seri. Adakah keadaan seri ini sempurna? Tidak juga. Sebab yang menyebabkan seri itu kerana ada persaingan ada lawan. Tidak boleh hanya satu saja mesti lebih satu. Maknanya kedudukan seri itu akan timbul jika  yang lagi satu itu berkedukan sama. 

Menang percuma? Menang percuma terhasil kerana ada yang tidak turut sama atau menarik diri.

Kita sebagai ketua dan jadi orang nombor satu. Adakah ketua dan nombor satu yang kita peroleh itu menunjukkan kita sempurna dan boleh bersendirian. Tidak juga. Kita jadi ketua sebab ada pengikut. Kita jadi nombor satu sebab kita perlukan orang lain mengambil nombor yang lain.   

Jadi walaupun diri kita 'satu' sebenarnya kita bukan satu seperti  'satu'nya Allah. Satu kita tidak sempurna sebab kita perlu pelengkap/pesaing untuk hidup. Kita tidak boleh bersendirian. Kita perlu kawan, masyarakat, suasana dan keadaan yang juga tidak sempurna. Untuk berkembang kita perlu kahwin, lelaki dengan perempuan ; jantan dan betian. Itu pelengkap dan pesaing kita. Malah kita perlu mati selepas hidup. 

Sebenarnya kita bukanlah satu yang mutlak kerana kita perlukan yang lain. Hanya Allah satu yang mutlak yang maha esa.

Hanya Allah saja yang maha mencipta dan maha mengetahui, yang sempurna. SATU SAJA. Yang lain sifatnya lebih dari satu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan