Theflowersellingboy

Ahad, 7 Ogos 2011

Mencakar Dinding: Masih Ada Lagi Perangai Buruk

Telah lama saya tidak melihat cakaran-cakaran di dinding khususnya dinding tandas dengan kata-kata yang tidak sopan penuh carutan. Maka telah lama juga saya buat kesimpulan bahawa masyarakat kita telah menunjukkan satu sikap yang terpuji selaras dengan kehendak moral dan ajaran agama. Itulah dia rakyat Malaysia, rakyat yang mempunyai maruah dan kehormatan sebagai satu bangsa yang beradab.

Rupa-rupanya pagi tadi lebihkurang jam 9 didalam sebuah tandas yang dikunjungi oleh berbagai bangsa dan agama, dari merata dunia, di Kuala Lumpur International Airport , KLIA, kesimpulan saya itu tergugur dengan sendirinya. Masih ada juga cakaran didinding tandas yang amat memalukan, amat biadap dan menjijikkan. Cakaran yang merupakan carutan dalam bahasa Inggeris.

Saya berani menuding jari walaupun saya tidak melihatnya bahawa yang menulis itu ialah orang Malaysia melihat dari kata-kata dan gaya bahasanya. Bukan orang putih atau orang hitam dari warga asing. Saya yakin orang Malaysia cuma saya tidak pasti dari keturunan etnik apa.

Namun saya amat sedih sekali kerana sudah hampir menuju negara maju minda kita masih tidak maju. Sukakan kepada yang buruk-buruk, tidak senonoh dan yang jelek. Perbuatan mencakar dinding itu tidak langsong memberi nilai tambah malah semakin menghodohkan pemandangan. Dinding yang cantik bersih menjadi kotor bukan saja kotor dari segi fizikal malah kotor dari segi minda.

Saya tidak ada kamera atau talipon tangan yang berkamera untuk mengambil gambar sebagai bukti. Maaf, kalau ada pun saya tidak akan mengambil gambar kerana ia boleh mencemarkan kamera saya nanti dengan menyimpan dan merakam kata-kata yang terlalu hanyir dan busuk itu.

Ada juga tergerak dihati untuk bertanya pihak yang bertanggongjawab di KLIA . Mengapa tidak dibuat pemeriksaan kebersihan tandas? Atau adakah fahaman pihak berkenaan kebersihan itu hanya dari sudut membersih najis saja? Atau yang berkaitan tidak pernah membuat pemeriksaan? 

Saya tidak ada kain atau perkakas atau bahan untuk menghilangkan tulisan yang memalukan itu kerana sememangnya saya tidak menjangkakan sebuah tandas disebuah stesyen kapalterbang antarabangsa kita boleh menjumpai gejala yang seburuk itu.

Untuk makluman tandas itu ialah dikawasan meletak kereta Blok B tingkat 2 berhampiran dengan lif dan tempat membayar tiket letak kereta.

Berbalik kepada siapa yang melakukan perbuatan jijik itu saya rela menuding jari kepada saya sendiri sebagai akibat saya seorang Melayu. Saya amat yakin yang melakukannya itu orang Melayu kerana Bahasa Inggeris itu ada gaya bahasa Melayu dari segi susunan ayatnya. Kalau orang Melayu bermakna ianya orang Islam. Kalau benarlah begitu maka terlalu rendahnya kita orang Islam dalam mempamirkan imej kita kepada yang bukan Islam. Rendah sungguh moral kita yang tidak ada langsong menampakkan ciri-ciri Islam yang sebenarnya. Harap-harap sangkaan saya itu salah. 


Siapa pun rakyat Malaysia yang melakukannya kita semua mesti menyatakan rasa benci kita kepada perbuatan seperti itu.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan