Assalamualaikum wbth dan Salam Jumaat kepada anda yang dirahmati Allah sekalian. Semoga anda yang muslimin dapat menjalankan ibadat puasa dengan penuh kesabaran dan ketakwaan.
Hampir seminggu kita menjalani ibadat berpuasa. Kita semoga Allah menerima ibadat puasa kita itu dan diberi ganjaran gandaan seperti yang telah dijanjikan.
Kepada yang baru kali pertama berpuasa seperti kanak-kanak dan saudara kita yang baru memeluk agama Islam ianya merupakan pengalaman baru berlapar dan berdahaga diwaktu siang hari. Bagi orang yang telah berulangkali melakukan ibadat puasa ini, berlapar dan berdahaga adalah sudah biasa, tidak menjadi masalah besar.
Tidak mudah bagi yang baru berpuasa untuk menahan lapar dan dahaga. Ianya perlukan semangat dan kekuatan serta sokongan dari banyak pihak terutama dari yang telah berulangkali menjalani ibadat bepuasa.
Ini tidak juga bererti mereka yang telah berulangkali berpuasa itu telah dapat melakukan ibadat puasa dengan sempurna. Berpuasa bukan saja menahan nafsu lapar dan dahaga ianya lebih dari itu.
Oleh itu sama ada orang baru atau orang yang telah berulangkali berpuasa matalamat berpuasa adalah sama saja iaitu meningkatkan iman kepada Allah swt. Ianya merupakan satu proses pembinaan iman melalui ketakwaan dan kesabaran.
Selain dari berlapar dan berdahaga diwaktu siang, dalam bulan puasa kita diminta untuk memperbanyakkan amalan dan perlakuan-perlakuan yang baik antaranya membaca al-Quran dan melakukan solat sunat seperti Terawih dan yang lainnya; bersedakah dan saling bantu membantu.
Kita juga diminta meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa; perkara-perkara yang tidak baik. Misalnya mata kita perlu dijaga dari melihat perkara-perkara yang dilarang; telinga kita dilarang untuk mendengar suara dan bisikan yang tidak baik seperti menghasut, memfitnah dan sebagainya dan mulut serta lidah kita perlu dipelihara hanya berkata-kata yang baik-baik saja.
Dengan demikian puasa boleh mendidik kita untuk menjadi sebaik-baik ummah kerana ianya menyuruh kita melakukan yang baik dan melarang yang tidak baik dengan tujuan mempertingkatkan iman kita, kepercayaan kita kepada Allah.
Cuba renung dan fikir ayat 110 Surah Ali Imran: Maksudnya
"Kamu adalah sebaik-baik ummah yang telah dikeluarkan antara manusia; (kerana) kamu menyuruh berbuat yang makruf dan melarang perbuatan yang mungkar serta percaya kepada Allah. Dan kalau sekiranya berimanlah ahlilkitab sesungguhnya itulah yang baik bagi mereka, (tetapi) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik".
Bukankah kita berpuasa disuruh membuat yang makruf , yang baik-baik dan melarang yang mungkar. Dengan itu kita boleh membina iman/kepercayaan kita kepada Allah.
Tetapi pada realitinya belum lagi ternampak bayangan yang kita orang Islam Menjadi Sebaik-baik Ummah. Mungkin ada yang tidak kena semasa kita melakukan amalan dan ibadat yang diperintahkan termasuk ibadat berpuasa.
SJ cuma ingin bertanya:
i) Adakah kita hanya menahan lapar dan dahaga. Bagaimana nafsu selera yang lain.
ii) Waktu kita berbuka teringatkah kita kepada orang yang susah dan miskin yang tidak ada makanan. Kita adakan juadah , makanan dan minuman lebih dari sepatutnya untuk kita puaskan selera nafsu kita, makan sekenyang-kenyangnya, dan jika ada yang tidak mampu dimakan kita bungkus buang. Membazir tidak ada dalam otak kepala kita sebab kita hidup mewah.
Cukuplah dua pertanyaan itu saja.
Namun marilah kita berdoa supaya apa saja amal ibadat kita seperti berpuasa ini diterima oleh Allah dan semoga dapatlah kita MENJADI SEBAIK-BAIK UMMAH.
Sekian jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan