'Balik kepangkal jalan jika kita sesat'.
Itulah kata-kata nasihat yang sentiasa menjadi penawar kepada orang yang telah sesat, yang telah tergelincir dari matlamat asal yang hendak dituju. Ertinya seumpama orang yang dalam perjalanan kesesuatu destinasi jika orang itu meneruskan juga perjalanannya ia akan mengambil satu arah yang akan terus menyesatkan, bertambah jauh dari pangkal jalan dan tidak akan ketemu tempat yang hendak dituju. Tambahan pula terdapat banyak simpang siur yang boleh mengelirukan.
Sesat dalam perjalanan adalah amat merugikan sekali. Masa menjadi sia-sia. Lagi jauh sesatnya lagi banyak masa yang terbuang. Lagi banyak wang yang terpaksa dikeluarkan. Dan ianya sungguh mengganggu ketenangan, merasuk perasaan, membuat kita penat dan letih , marah dan akhirnya putus harapan kerana perjalanan itu menjadi sia-sia saja.
Kalau begitu berhentikan saja perjalanan itu, jangan teruskan. Berihat sebentar untuk mewujudkan suasana tenang, menghilangkan penat dan letih disebabkan perjalanan yang sudah jauh yang tidak membawa kita ke destinasi yang diharapkan.
Semasa berihat , kita buat pertanyaan: Apakah yang terbaik yang perlu dibuat?
Kita telah memutuskan supaya perjalanan itu dihentikan. Maka kita telah ada satu jawapan yang boleh mendorong kita untuk mencari jawapan lain untuk membuat pilihan tindakan.
Mungkin kita tinggal ditempat yang kita berhenti itu saja. Maknanya tidak balik ke tempat asal, kepangkal jalan.
Atau Tinggalkan tempat itu untuk kembali ke tempat bermulanya perjalanan kita, kepangkal jalan.
Jika kita ambil keputusan untuk tinggal ditempat kita berhenti itu dan tidak kemana-mana maka secara otomatiknya kita telah bersetuju untuk tidak sampai ke destinasi yang dihajatkan. Gagallah matlamat kita.
Pilihan kembali ketempat asal, tempat kita memulakan perjalanan atau kepangkal jalan boleh menyelamatkan kita dari tersesat berpanjangan. Cuma kita tidak berjaya sampai ke tempat yang kita hendak tuju.Tapi ianya memberi rasa segar semula kerana kita merasa selesa dan selamat ditempat asal. Dengan demikian ianya memberi peluang kepada kita untuk memikir dan menentukan semula jalan yang betul yang perlu diikuti untuk menuju ketempat yang idamkan. Biasanya percubaan kali kedua selalunya akan berjaya kerana kita telah banyak belajar dari kesilapan yang pertama.
Hal diatas ialah perjalanan dari satu titik/tempat ke satu titik/tempat yang lain. Perjalanan yang bersifat fizikal. Dari tempat asal ke satu tempat yang hendak dituju. Kita sesat kerana mungkin kurang persediaan dan kurang peralatan yang boleh memandu perjalanan kita. Tetapi ketika ini perjalanan kita makin bertambah mudah apabila telah tersedia ada alat pandu arah yang dengan tepat boleh memandu dan mengesan tempat yang kita hendak tuju. Hanya kita perlu ada ilmu untuk menggunakannya.
Dan sesat dalam perjalanan berbentuk fizikal itu belum lagi boleh dipanggil 'Sesat Yang Sungguh Jauh'. Masih lagi boleh berpatah balik.
Sesat Yang Sungguh Jauh ialah sesat dari segi kepercayaan kita atau iman kita. Dan yang sesungguhnya jauh ialah sesat kerana menyekutukan Allah dengan yang lain. Maknanya Allah ada pesaing. Tempat kita menyerah diri telah kita bahagi-bahagikan diantara Allah dengan yang lain. Ya iman kita kepada Allah telah goyah dan dalam masa yang sama kita juga mengakui sama ada secara perbuatan, hati dan perasaan bahawa ada yang lain menyamai kekuasaan Allah untuk menggantungkan harapan. Ini adalah syirik, menyekutukan Allah.
Dan syirik adalah satu kesesatan yang dosanya tidak diampunkan. Sesungguhnya ianya satu kesesatan yang sungguh jauh seperti yang dinyatakan dalam ayat 13, as-Syura iaitu:
"Dan barangsiapa yang tidak mahu percaya kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabnya dan Rasul-rasulNya dan Hari Kemudian maka sesungguhnya sesatlah dia, sesat yang sejauh-jauhnya".
Sebelum kita sesat sejauh-jauhnya, cepat dan segera kita berpatah balik untuk kembali ke pangkal jalan. Kita bertaubat dan bina semula keimanan kita.
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang yang sesat. Sesat Yang Sungguh Jauh, Jauh Sejauh-jauhnya.
Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan