1. Sebuah keluarga 5 orang terdiri dari seorang bapa, seorang ibu dan tiga orang anak yang tinggal dalam sebuah rumah kayu beratapkan zing yang disulam dengan kertas kotak buangan yang dikutip, bersila diatas lantai sedang menunggu saat untuk berbuka puasa.
Dihadapan mereka telah sedia ada nasi putih, sepinggan tidak penuh setiap seorang dan air suam segelas. Untuk menaikkan selera makan disediakan juga semangkok pucuk ubi masak asam rebus.
Apabila saat berbuka tiba maka mereka pun menjamahlah hidangan yang ada dengan penuh kesyukuran kerana akhirnya pada hari itu mereka telah berjaya menahan lapar dan dahaga, dapat memulihkan tenaga . Makanan yang dihidan tiada yang berbaki semuanya telah menjadi rezeki selera dan perut. Cuma yang ada ialah didalam periuk yang sengaja diasingkan untuk keperluan sahur esok hari.
2. Pada petang itu lebih kurang jam 5.30 seorang ketua keluarga telah bergegas ke pasar Ramadhan untuk membeli makanan untuk berbuka puasa . Berbagai makanan yang sungguh menarik dimata, meliurkan tekak dan menaikkan selera. Maka dibelinya 5 bungkus nasi dagang, 5 keping roti murtabak, 10 butir berbagai jenis kueh. Dan tidak lupa juga 5 bungkus air tebu. Dalam perjalanan balik, singgah pula di kedai runcit untuk membeli sekotak rokok berjenama Dunhill kerana bekalan telah kehabisan.
Sewaktu dipejabat tadi beliau telah dimaklumkan akan berbagi jenis makanan yang boleh dibeli di pasar Ramadhan itu. Semuanya sedap-sedap belaka. Maka dengan sebab itulah beliau terus saja ke pasar Ramadhan sebaik saja waktu pejabat berakhir. Lagipun isteri juga bekerja. Tiga anak masing-masingnya remaja masih lagi belum bekerja.
Waktu berbuka dimulakan meminum air tebu setelah menjamah sebiji kurma. Diikuti dengan makanan mengikut kegemaran masing-masing.
Ketua keluarga tidak lama menikmati makanan.Malahan selepas kurma dan air tebu kotak rokok Dunhill di buka segera. Maka bermulalah hembusan asap rokok itu menerawangi persekitaran menandakan kepuasan selera ketua keluarga sambil yang lain menepis-nepis dengan tangan menghalau pergi asap yang berkepul-kepul itu.
Perut mereka semuanya mengening kekenyangan. Tapi banyak lagi makanan yang tidak sempat disentuh kerana tekak dan perut mereka tidak boleh terima. Kalau terus dimakan, muntahlah jawabnya.
Makanan yang berlebih itu di bungkus untuk dimasukkan kedalam tong sampah kerana kalau disimpan ianya akan basi. Yang basi jika dimakan dikhuatiri menyebabkan keracunan. Lebih baik dibuang dalam tong sampah. Menjadi rezeki kucing atau pun anjing. Mungkin para pengutip makanan yang berkeliaran yang memang hari-hari kelaparan.
3. Untuk bersama-sama menghormati bulan puasa sebuah hotel telah mengadakan satu promosi berbuka puasa dihotel dengan menawarkan pakej makanan berharga RM45.00 satu kepala. Disamping itu para tetamu yang berbuka akan diiringi dengan muzik ringan oleh para pemuzik tradisional. Dan tidak lupa disediakan juga bilik untuk bersolat.
Pakej makanan ini memberi peluang kepada tetamu untuk makan sebanyak yang mereka mahu. Cuma tidak boleh dibungkus untuk dibawa balik.
-Itulah 3 senario berbuka puasa yang dipaparkan untuk sama-sama kita fikir dan renungi.-
Sama-sama kita membuat soalan dan sediakan jawapan setiap satu dari senario itu. Soalan dan jawapan itu sewajarnya boleh menimbulkan kesedaran kepada kita semua Muslimin akan tujuan kita berpuasa.
Adakah iman kita bertambah atau biasa-biasa saja atau merudum.
Setiap tahun kita berpuasa. Mungkin kalau panjang usia tahun depan kita berpuasa juga. Mahukah kita lihat senario yang sama?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan