Theflowersellingboy

Ahad, 28 Ogos 2011

Catatan Cerita-cerita Sekitaran: Menjelang Menyambut Hari Raya.

Hari ini Ahad 28 Ogos 22011 iaitu hari kedua sebelum kita menyambut hari raya. Macam-macam persiapan dibuat bagi menyambut hari kebesaran dan kejayaan itu. Antara yang tidak gagal dilakukan ialah menghiasi rumah -luar dan dalam agar nampak lebih indah, cantik dan bersih dipandang mata. 

Bukankah kebersihan itu separuh dari iman? Sekiranya pun  bukan iman menjadi asas kita membersih , menghiasi dan mencantikkan persekitaran rumah rasanya semua orang suka dan minat kepada yang cantik, bersih dan indah. Jadi tidaklah rugi sedikit tenaga dikeluarkan bagi membolehkan anggota badan kita dibasahi dengan peluh kita sendiri, mengeluarkan garam dan toksid dalam  badan. 

Badan akan jadi sihat. Penat dibayar dengan sihat, ok lah kerana harga yang paling mahal ialah kesihatan. Seperti juga dengan aspek-aspek kehidupan yang lain kesihatan anggota badan dan fikiran wajar diselenggara dengan baik. Seboleh-bolehnya kos penyelenggaraan itu dalam batas kemampuan kita.  Buat kerja sendiri. Kalau ada anak-anak dan menantu buatlah bersama-muafakat bawa berkat. Seronok bekerja sekeluarga.

Lihat,  dengan tenaga sendiri kosnya zero walaupun tidaklah sebenarnya begitu kerana kita kena beli peralatan membersih itu, seperti cangkul , penyapu dan yang lain. Peralatan itupun perlu diselenggara. Pakaian kerja kita akan menjadi lusuh, dan akhirnya perlu dibeli yang baru.

Tapi kalau tak mahu buat sendiri boleh juga. Upah saja kepada orang lain. Dapat juga membantu mereka mencari rezeki, dan jika mereka orang Islam sudah tentu kita memberi peluang untuk menceriakan mereka pada saat-saat menyambut aidilfitri tidak lama lagi.

Sampah-sampah yang terdiri dari daun-daun dari pokok-pokok besar yang berdekatan disekeliling rumah sungguh banyak terutama apabila hari hujan yang berangin. Daun-daun itu bersepah diatas halaman dan didataran kecil dihadapan rumah. Perlu dikumpul dan dibuang. Rumput-rumput yang tumbuh dalam pasu-pasu bunga juga perlu dicabut buang. Longkang perlu dibersihkan.

Hari semakin bertambah panas terasa penat dan letih. Yang paling mencabar ialah keperluan air, tekak menjadi terlalu dahaga. Namun kerja dapat juga disiapkan .Alhamdulillah.


Memandang persekitaran. Pokok-pokok besar dan semak samun dilot-lot yang masih belum didirikan rumah agak merunsingkan fikiran. Binatang-binatang seperti biawak, musang, dan ular selalu kelihatan. Telah dua kali ular memasuki rumah. Nyamuk-nyamuk hutan pun terlalu banyak, tempat terbaik untuk membiak. 

Sampah dan binatang-binatang itu sekali lagi saya katakan amat merunsingkan fikiran.

Sebenarnya kawasan yang diduduki ini sebuah kawasan yang telah dirancang untuk pesara awam khusus kepada orang Melayu untuk mendirikan rumah tempat berlindung dihari tua setelah bersara. Kalau tidak silap ada 25 semua. Tanah ini dijual pada harga kos pembangunan dengan syarat rumah mesti dibina dalam tempoh dua tahun dari tarikh pemilikan. Tarikh pemilikan ialah pada tahun 1996. Jika gagal maka sesuatu tindakan akan diambil bagi memulihkan kedudukan tanah itu. Ini adalah proses yang perlu dilalui sebelum tindakan drastik boleh diambil untuk merampas.

Sehingga kini dari 25 lot hanya 5 lot telah dibena rumah. Dari jumlah 5 hanya sebuah saja rumah orang Melayu. Maknanya tanah itu telah berubah tuan yang memilikkinya dari Melayu kepada orang Cina. Walaupun dari segi undang-undang pihak berkuasa berhak meluluskan pertukaran pemilikan dari Melayu ke bukan Melayu tapi apa maknanya sesuatu rancangan yang asalnya bertujuan untuk orang Melayu terlalu mudah kita gagalkan matlamat kita itu.

Sebab itu saya selalu mengatakan  Dasar Ekonomi Baru yang murni dan baik ini telah gagal. Yang menggagalkan  ialah orang Melayu sendiri termasuk yang ada kuasa. Janganlah marahkan orang bukan Melayu. Tidak ada guna terlalak terlolong dalam perhimpunan politik dan diperbesar-besarkan dalam akhbar akan cerita ketirisan dan rasuah. Sebenarnya yang melalak dan melolong itu adalah orang-orang yang bercakap untuk mendapat undi. Itu saja. Jadi pejuang Melayu, mempertahankan hak Melayu, KONON!


Itu satu hal. Pegawai yang telah dijual tanah dengan harga subsidi itu mengapa pula  tidak bena rumah seperti yang disyaratkan. Adakah anda semua telah sedia ada rumah/rumah-rumah. Kalau begitu mengapa tanpa segan silu menerima tawaran dulu. Bagilah peluang orang lain yang benar-benar tiada tanah untuk membina rumah. Nak jadi spekulator ke atau pelabur menunggu harga naik kemudian jual. Malulah sikit. Kedudukan anda pun diperingkat yang tinggi, sebab itu anda ditawarkan.

Hal seterusnya, mengapa pihak berkuasa menawarkan tanah kepada mereka sebab kalau kita rajin cari maklumat kita akan tahu mereka itu telah sedia ada rumah/mungkin rumah-rumah. Pada pandangan saya mereka dari awal lagi tidak ada niat untuk mmbina rumah diatas tanah tersebut. Apa ada glamour jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Petaling Jaya. 


Mengapa jadi begitu? Saya ada jawapannya, cuma simpan saja dalam hati.

Dalam masa yang sama saya angkat tangan tabik kepada seorang pegawai tinggi kerajaan beruniform dari Kuala Lumpur yang dengan bahasa lembut menolak tawaran itu antara kata-kata yang saya boleh ingat tapi mungkin kurang tepat ialah " Terima kasih diatas tawaran itu. Saya merasakan ada pihak lain yang benar-benar memerlukan".

Dengan demikian saya tersenyum gajah kalau ada orang-orang politik termasuk yang bukan politik terutamanya pegawai kerajaan, iaitu orang Melayu bercakap berdegar-degar untuk mempertahankan kedudukan Melayu dalam perbualan harian atau dalam perhimpunan politik. Marah sangat tentang rasuah dan ketirisan. Marah sangat kepada orang bukan Melayu terutama oarang Cina. Sebaliknya mereka sepatutnya malu akan diri sendiri.


Sekian. Esok dengan catatan tentang hal yang lain pula.

Saya sudah penat keletihan. Terus kebilik air  untuk mandi dan bersolat zohor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan