Theflowersellingboy

Ahad, 14 Ogos 2011

Negeri Hilang Hasil?

Tapak/lot  perniagaan yang diperuntukkan oleh pihak penguasa tempatan kepada peniaga-peniaga pasar ramadhan untuk berniaga berbagai jenis makanan dan minuman adalah tertakluk kepada bayaran tertentu (tiada pula maklumat berapa yang dikenakan).  Begitu juga dengan peniaga-peniaga pasar malam.


Peniaga pasar malam dan pasar ramadhan adalah peniaga-peniaga kecil yang mencari pendapatan tambahan bagi menyara hidup diri sendiri dan juga keluarga. Untung dapat juga tapi tidak sebesar keuntungan yang dikaut oleh syarikat korporat yang besar-besar termasuklah syarikat-syarikat kerajaan yang telah diswastakan yang pada masa ini lebih dimasyhurkan sebagai GLC, dan syarikat-syarikat yang mendapat konsessi membina dan mengurus lebuhraya. 

Antara GLC itu ialah  TNB, TM, Pos Malaysia dan yang lainnya. Dan syarikat konsessi pengurusan lebuhraya pula ialah Plus dan yang lainnya. Sewajarnya syarikat-syarikat seperti ini membuat keuntungan yang besar berbanding dengan peniaga pasar malam dan pasar ramadhan.

Kalau tidak tahu buat untung bolehlah adakan perbincangan dengan mereka, peniaga kecil itu.


Perkara yang hendak ditimbulkan ialah dari segi membayar cukai/sewa keatas tapak yang diduduki atau yang digunakan. 

Plus dan syarikat yang bersamaan dengannya telah diberi konsessi untuk pengurusan lebuhraya iaitu membina dan mengutip tol pada kadar tertentu sebagi balasan membina lebuhraya berkenaan. 

Tanah-tanah yang digunakan untuk membina jalan raya itu tidak diberi milik cuma dijadikan tanah simpanan jalan sebagai kegunaan awam. Maka tanah itu tidak tertakluk kepada bayaran cukai. Maka negeri-negeri telah kehilangan sumber hasil dari tanah-tanah tersebut. Semakin luas tanah yang digunakan semakin besar kehilangan sumber hasil.


Tapi untuk tujuan kegunaan awam kehilangan hasil itu dianggap sabagai berpadanan.


Cuma tidak pasti sama ada tanah yang digunakan bagi kawasan Rekreasi dan Rihat itu merupakan tanah yang diberi milik kepada Plus dan pemegang-pemegang konsessi yang lain. Tapi melihat dari binaan yang ada diatas tanah, dan  ruang perniagaan yang disediakan maka sudah tentu tanah itu telah diberi milik kepada pemegang konsessi. Jika demikian maka hasil cukai tanah berdasarkan jenis kegunaan tanah itu boleh dikutip. Termasuk juga binaan yang menempatkan perniagaan hotel dan stesyen minyak. 


Cuma dikhuatiri pihak-pihak yang berkenaan terlepas pandang tentang pemberimilikan tanah-tanah tersebut. Atau adakah pemegang konsessi diberi pengecualian menjalankan perniagaan keatas tanah simpanan jalan? Tidak mungkin begitu. Apa pun kesannya ialah kerugian hasil kepada kerajaan negeri.


Satu lagi ialah kawasan yang digunakan oleh TNB, Pos Malaysia dan Telekom Malaysia untuk membuat pepasangan seperti tiang letrik, tiang talipon, pondok talipon, dan peti surat (pos). Termasuk juga kawasan membina banguan pencawang masuk utama dan yang lain kepunyaan TNB.


Sekiranya tanah/kawasan yang digunakan itu tidak diberi milik kepada penggunanya itu maka cukai tidak dapat dikutip. Rugilah kerajaan negeri dari segi hasil. Cuba bayangkan berapa banyakkah tiang letrik dan pepasangan yang lain bagi setiap syarikat itu. Kalau liputan perkhidmatannya luas maka banyaklah pepasangan yang kena dibina. 

Maka jika tidak dikenakan cukai , rugilah kerajaan negeri. Syarikat-syarikat itu memberikan perkhidmatan untuk membuat untung. Samalah dengan peniaga pasar malam dan pasar ramadhan itu. Yang tidak sama ialah mereka ialah peniaga kecil dan kena bayar sewa, untung ada juga tapi kecil saja, manakala syarikat-syarikat itu  pula untungnya sewajarnyalah besar, tidak dikenakan bayaran keatas tapak yang digunakan. Tidak tahulah kalau terakhir ini tanah itu telah diberi milik.


Yang terlalu berbeza ialah peniaga pasar malam dan bazar ramadhan adalah orang kecil-kecil tiada pengaruh manakala syarikat-syarikat itu mempunyai modal berbayar terlalu besar yang tidak perlu diangan-angankan oleh peniaga kecil itu kerana tidak akan terdaya sampai habis usia. Mereka ada CEO dan Lembaga Pengarah. Pandai pula cari jalan buat untung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan