Sepanjang minggu ini iaitu dari Hari Isnin sehingga hari Ahad pada hari ini, saya terlalu keletihan. Keletihan membuat kerja-keja pembersihan ruang dalam rumah. Maklumlah setahun lebih rumah di tinggalkan kosong, terlalu banyak habuk dan tahi-tahi cicak.
Selepas melakukan senaman pagi, diikuti dengan sarapan pagi yang mudah, saya dan isteri memulakan operasi membersih rumah. Isteri memberi tumpuan dibahagian dapur. Saya dikawasan selain dari dapur iaitu-bilik sendiri dan bilik anak-anak, ruang tamu, ruang rihat/tv, perpustakaan mini dan ruang makan. Pendek kata semua ruang atas dan bawah melainkan ruang dapur. Operasi tamat pada pukul satu lebih sebelum memasuki fardhu Zohor.
Selepas Zohor dan makan tengah hari, kami berihat kerana terlalu amat letih. Sesungguhnya kami merasa puas apabila melihat hasil penat lelah itu-bersih ,cantik dan tersusun seperti sebelum kami mengosongkannya dahulu.
Ruang kerja saya nampaknya 99 peratus siap.Baki kerja masih ada sedikit lagi iaitu untuk menyambung menyusun atur barang-barang dan kelengkapan. Di bahagian dapur, isteri masih lagi termengah-mengah. Dia perlukan bantuan. Esok saya akan bersama dengannya diruang dapur dan stor menyimpan barang.
Operasi kami ada sedikit terjejas. Kebetulan pada hari Sabtu anak dari Putra Jaya ada bersama. Sudah tentu cucu kami AhmadNaqib ada bersama. Anak bujang dari Pasir Gudang juga ada bersama. Jadi sudah tentu kami memberikan masa untuk mereka. Tidaklah boleh menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja membersih rumah.
Kami makan malam, sarapan, makan tengah hari dan membeli belah bersama. Seronok. Tapi dua orang lagi anak tidak ada bersama. Hari raya nanti insyaAllah semua akan dapat bersama.
Satu lagi yang menyeronokkan saya ialah mendapat hadiah sebuah tv baru 40 inci. Anak bujang yang belikan. Dia kesian tengok saya menonton tv yang ada gambar tapi tak ada suara. Dia tanya macam mana tengok tv tak ada suara, tak tahu butir apa yang dicakapkan. Saya beri tahu dia, bahawa suara tidaklah berapa perlu sangat sebab saya hanya tonton sukan saja. Tengok eksyen pun dah mencukupi.
Kadang-kadang mendengar komentar dari pengulas sukan juga boleh menimbulkan rasa kurang menyenangkan terutama pengulas tempatan. Begitupun kalau ada suara lagi bagus.
Tv yang ada gambar dan suara telah dibeli. Timbul satu hal pula. Dimana tv itu hendak diletakkan? Saya minta diletakkan dalambilik sayalah kerana boleh tonton sambil berbaring diatas katil terutama kalau ada siaran langsung sukan pada larut malam. Isteri dan anak hendakkan tv itu diletakkan di ruang tamu sebelah atas, tempat mereka berkumpul meonton rancangan masak memasak, filem dan drama terutama cerita Filipina dan rancangan-rancangan yang tidak berkait dengan sukan. Maknanya apa yang kaum hawa minat.
Dirumah saya hanya dua kaum Adam. Empat lagi kaum hawa. Kalau buat undian kami kan kalah. Tapi tv yang baru itu bertujuan menggantikan tv yang saya tonton dalam bilik. Maka mereka tidak ada alasan untuk menuntut supaya tv itu diletakkan di ruang tamu. Tv mereka masih ok, ada gambar dan ada suara. Hanya sedikit kecil saja.
Jangan marah.
Sekarang kedua-dua anak telah balik ke tempat masing-masing. Tinggallah kami berdua. Sewaktu mengucapkan selamat jalan kepada anak yang balik ke Putra Jaya, isteri menangis kerana berpisah dengan cucu. Tambahan pula bila cucu melambai-lambaikan tangan. Saya pun rasa sebak, tapi tidak menangis seperti isteri. Sedih juga.
Tapi semasa mengucapkan selamat jalan kepada anak bujang yang ke Pasir Gudang , isteri sempat berbisik yang saya boleh dengar, "Tahun depan beli untuk mama pula". Anak bujang saya itu ketawa tanpa buat janji. Saya pun, apa lagi ketawa sama.
Kami mendoakan mereka selamat dalam perjalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan