Theflowersellingboy

Isnin, 11 Mac 2013

YANG MANA SATU PILIHAN KITA

 
 
 Sambil baca dengar lagu ini.
 
Tidak berapa lama lagi, mungkin dalam tempoh dua atau tiga bulan dari sekarang rakyat Malaysia akan tahu siapakah atau parti manakah yang akan diberi mandat untuk menerajui dan mengurustadbir negara sama ada diperingkat persekutuan mahupun di peringkat negeri-negeri. 
 
Ketika ini masing-masing parti yang mahu bersaing , khususnya BN dan PR sedang hebat berkempen untuk meyakinkan kepada rakyat bahawa partinyalah yang patut diberi kepercayaan untuk menguruskan negara dan negeri-negeri bagi tempoh lima tahun atau kurang dari itu.
 
Seperti yang telah saya sentuh dalam paparan dua hari yang lepas, atas tajuk Pakatan Harapan Rakyat (PR) vs Janji DiTepati (BN), bahawa kempen itu sedang rancak berjalan dengan menggunakan berbagai-bagai kaedah, masing-masing mahu menunjukkan kelebihan mereka. Dan dalam hal ini juga kaedah-kaedah yang telah ketinggalan zaman, seperti menggunakan kekerasan dan peras ugut masih lagi diteruskan khususnya oleh pihak BN.  
 
Maka berlakulah serangan pada majlis-majlis kempen pihak pesaing, yang mengakibatkan kecederaan dikalangan pemimpin dan penyokong. Soal putar belit sesuatu kenyataan serta merekacipta fitnah sudah menjadi kebiasaan dan dipergunakan seoptima mungkin. Diperkuatkan lagi dengan kaedah menanam rasa takut dan cemas bahawa akan berlaku kekacauan jika pihak ini menang atau jika pihak ini kalah. Bahawa yang menjadi pelindung keselamatan. yang boleh mengekalkan keamanan dan perpaduan kaum, yang boleh menjaga kepentingan agama Islam, institusi raja, bangsa dan negara hanya BN saja. 
 
Dan yang boleh melakukan transformasi bagi peningkatan ekonomi dan kekayaan negara demi faedah dan kemakmuran rakyat tidak lain tidak bukan hanya BN saja. Sebab, BN ada pengalaman yang lama dalam mengurustadbir negara.
 
BN menyimpulkan bahawa pihaknya telah melakukan yang terbaik dan semua yang dijanjikan kepada rakyat telah ditepati. BN begitu berbesar hati  akan perkhidmatan yang telah diberi sehingga diheboh-hebohkannya untuk meyakinkan kepada rakyat dengan menjelajah ke seluruh pelusuk negara dibawah Program Janji DiTepati.  
 
Maka berkumandanglah setiap detik berulangkali akan kata-kata hikmat penuh pujukan dan rayuan, 'Berterima kasihlah wahai sekalian rakyat, bersyukurlah kamu dan kenangkanlah jasa dan budi yang telah dicurahkan oleh BN. Caranya ialah dengan mengundi BN pada pilihanraya ke 13 yang akan datang ini'.
 
Hal sedemikian diatas begitu rancak sekali digunakan dalam berbagai kaedah sebaran- radio, tv, media cetak yang dikawal, pentas kempen, lawatan dan bisikan rumah ke rumah,  dalam majlis rasmi dan tidak rasmi dan capaian alam maya. Jentera sebaran itu pun pelbagai juga- dari para bloggers upahan, jabatan dan agensi kerajaan termasuk juga menggunakan musuh yang telah menjadi kawan, dan lain-lain lagi.
 
Cuma hanya satu ciri yang terserlah dalam kempen BN untuk memenangi fikiran dan hati nurani rakyat iaitu kekuatan FIZIKAL. Kekuatan yang boleh dilihat dik mata, yang boleh menyentuh rasa hati dan yang boleh diresap dan dibisikkan ditelinga kerana ianya jelas terbukti dan boleh dipercayai.
 
Apa dia yang FIZIKALitu? 
 
Pertama seperti yang telah dibayangkan diatas. Mengganggu gugat majlis pihak lawan dan berbagai perbuatan yang tidak senonoh yang menyamai kaedah kempen tahun-tahun awal kemerdekaan yang terkenal dengan membaling telur tembelang ke pentas lawan.   
 
Kedua, pemberian berbagai faedah dalam berbagai bentuk- peruntukan projek-projek pembanguan segera dan pemberian wang tunai dibawah konsep 1Malaysia- BR1M, KR1M, BL1M, dan macam-macam lagi. 
 
Kedua-dua cara diatas boleh nampak dan boleh dirasa, dan jika diberitahu dan disebarkan telinga yang mendengar boleh terima dan diresapkan dalam hati dan fikiran bahawa apa yang didengar itu sah boleh dipercayai.
 
Cuma ianya berlaku dengan hebat diwaktu ini, diwaktu menghampiri pilihanraya.
 
Dan jangan pula dinafikan kesan yang positif yang akan diraih oleh BN kerana itulah cara yang mudah untuk memenangi fikiran dan hati nurani sebahagian rakyat untuk memberi undi kepada BN.
 
Itulah yang didahulukan oleh BN berbanding mengemukakan sebuah manifesto pilhanraya untuk tatapan dan penilaian rakyat seperti yang telah dilakukan oleh PR yang mengambil tema Pakatan Harapan Rakyat.
 
Manifesto memerlukan daya pemikiran dalam menilai isi kandungan yang diketengahkan-adakah ianya memberi kebaikan dan faedah yang lebih kepada rakyat berbanding dengan apa yang dilakukan oleh BN. Dan yang paling penting adakah ianya boleh dipercayai.
 
Jangan pula dinafikan akan pengaruh manifesto PR itu dalam kemampuannya meraih undi rakyat kerana tawaran dalam manifesto itu menjanjikan satu harapan baru demi faedah dan kebajikan rakyat. Oleh itu 'rakyat mesti berubah dari BN kepada PR'. Itulah kata-kata hikmat PR dalam merayu dan memujuk pengundi untuk memberi kepercayaan kepada parti itu dengan memberikan undi kepada pR dalam pilihanraya yang ke 13 nanti. PR menambah lagi kata-kata hikmatnya yang bersumberkan dari Borneo, khususnya Sabah, 'ini kalilah'.
 
Maka kita sebagai pengundi buatlah pertimbangan terbaik dengan tenang tanpa emosi.
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan