Theflowersellingboy

Sabtu, 30 Mac 2013

Dengarlah Rayuan Dari Hati Nurani Kami: Tolonglah Kali Ini Saja

Saya ingin mencadangkan agar BN membuat rayuan kepada rakyat agar rakyat memberikan undi kepada BN dalam pilihanraya ke 13 akan datang ini. Kata-kata rayuan adalah seperti dibawah

Sesungguhnya kami merayu....merayu dengan sepenuh hati suci kami, hati nurani kami agar kami diberi peluang sekali lagi, hanya untuk kali ini saja untuk diberi amanah yang begitu suci bagi kami memikul beban dan tanggungjawab, memperhambakan diri demi kesejahteraan rakyat. 

Berilah peluang sekali lagi untuk kami menjadi hamba rakyat

Rasanya banyak lagi yang perlu kami lakukan. Walaupun terlalu banyak yang telah kami lakukan, dan lakukan dengan penuh setia dan amanah, sepanjang lebih 55 tahun, menjalankan tanggungjawab mencurah khidmat bakti demi rakyat, kami masih merasakan ianya belum mencukupi, dan perlu diteruskan. Kami akan merasa amat kempunan jika kami tidak lagi dapat memperhambakan diri berkhidmat kepada rakyat. 

Jadi dengan penuh rasa kasih sayang dan rendah diri, kami merayu apalah kiranya rakyat yang budiman dapat membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya , dengan mengundi kami pada pilihanraya yang ke 13 nanti. Jangan risau, kami akan umumkan pembuburan parlimen tidak berapa lama lagi. 

Apa yang penting ialah memberi undi kepada kami, melebihi apa yang telah dilakukan pada tahun 2008 agar kami dapat berkhidmat dengan lebih kuat tanpa kacau ganggu dari pihak yang lagi satu, pihak pembangkang.

Ya, kami sedar bahawa sebagai manusia biasa kami ada juga sedikit kelemahan. Namun apa yang telah kami lakukan selama ini tiada mana-mana pihak boleh menafikan bahawa faedah yang diterima rakyat adalah lebih besar jika dibandingkan dengan sedikit kelemahan yang telah kami lakukan. Buktinya terlalu banyak untuk kami senarai dan sebutkan.

Ya, sebagai manusia biasa yang telah menunjukkan kekurangan, kami dengan rendah diri memohon maaf. Kata orang  bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Ianya tidak disengajakan.Tiada pun terniat dihati untuk mengecewakan sesiapa, apatah lagi kepada rakyat yang telah begitu lama dan setia menyokong kami. Kami bukan malaikat. Tapi jangan pula memanggil kami sebagai syaitan yang dikenali walaupun ada dikalangan pemimpin kami menggelarkan kami seperti itu.

Berdasarkan kerja-kerja yang telah kami lakukan, 'Layakkah kami dipanggil sebagai syaitan yang dikenali?'

Jika ramai yang bersetuju mengatakan begitu maka sekali lagi kami mohon maaf kerana bersifat sedemikian. Ianya satu sikap yang tidak disengajakan. Maklumlah oleh kerana terlalu lama diberi kuasa, setengah dari kami telah lupa dan alpa akan tanggungjawab yang perlu dilakukan sehingga sanggup mengambil sifat-sifat syaitan menguasai diri mereka. Sekali lagi kami mohon maaf.

Namun  kami bukan malaikat dan bukan juga syaitan. Kami adalah manusia biasa seperti juga dengan lawan kami parti pembangkang, yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Mungkin kesilapan kami tidak sebesar kesilapan pihak lawan.

Apapun dikata orang, sepanjang tempoh lebih 55 tahun menerajui negara kami telah melakukan dengan sebaik mungkin. Faedah kepada rakyat mengatasi kekurangan kami. Renungkan baik-baik apa yang telah kami lakukan. Berlapang dadalah dalam menilai jasabakti kami kepada rakyat.
 
Lihat sekeliling anda. Pembangunan yang begitu pesat. Bangunan mencakar langit. Gedung-gedung perniagaan yang bercambah. Lingkaran jalan raya yang bermutu menghubungi diantara satu tempat ke tempat yang lain yang memberi kemudahan kepada perjalanan rakyat. Dan macam-macam lagi projek ekonomi dan sosial yang menguntungkan rakyat, misalnya klinik 1 Malaysia dan pr1ma.

Jangan lupa BR1M 500 ringgit. KR1M dan 1Malaysia yang lain. Semuanya itu untuk rakyat.  Macam dalam pemberian BR1M kerajaan telah mengeluarkan berbilion wang hanya semata-mata untuk menolong rakyat yang susah bagi merengankan kos sara hidup mereka.

Kami juga mengambil kira keamanan dan keselamatan negara. Kelengkapan, peralatan dan pekerja bagi tujuan tersebut sentiasa diberi keutamaan. Sudah tentu rakyat telah biasa dengan kapal selam scorphene, kapalterbang skyhawk, berbagai jenis kapal dan bot peronda serta kelengkapan senjata bagi mempertahankan keselamatan negara dari ancaman musuh. Dan kami bercadang untuk menambahkan lagi aset ini. Ingat, kita baru saja diceroboh oleh kesultanan Sulu, di Lahad Datu.

Jadi apakah alasan yang ada untuk tidak meneruskan khidmat kami. Sudah tentu tiada sebab untuk berbuat demikian.

Kami sedar bahawa pembangkang telah juga mendekati rakyat untuk mempengaruhi rakyat mengundi mereka. Tapi apa jasa pembangkang yang baru setahun jagung. Yang baru saja ada sedikit pengalaman berkerajaan. Itupun diperingkat negeri, hanya 4 buah negeri berbanding kami yang menguasai banyak negeri dan peringkat persekutuan. Lagipun kamilah yang telah membangunkan negeri-negeri itu. Pembangkang hanya mengambil dari kami, dan menimbulkan berbagi masalah.

Mahukah tuan-tuan meletakkan kepercayaan kepada pembangkang yang tidak ada pengalaman? Kami percaya tuan-tuan akan mengatakan tidak  kerana risikonya terlalu besar. Mengapa perlu ubah kepada yang belum teruji sedangkan yang telah teruji sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sepenuh jiwa dan raga.

Yang kami tahu dan tuan-tuan pun tahu, rekod yang ada pada pembangkang ialah membuat berbagai janji yang bukan-bukan. Tak masuk akal. Bahkan boleh bengkerapkan negara. 

Mereka nak turunkan harga minyak, hapus PTPTN dan hutang PTPTN, hapus AES, turun harga kereta, beri pelajaran percuma, turun kadar harga letrik, hapuskan tol, menetapkan gaji minima RM1,100.00 sebulan, dan macam-macam lagi nak dihapuskan.

Mana boleh tuan-tuan. Negara akan bengkerap jika semua nak dihapuskan. 

Kami percaya BR1M telah banyak membantu merengankan kehidupan tuan-tuan. Tuan-tuan juga berterima kasih menerima bantuan itu. Namun kami percaya tuan-tuan tidak akan rela untuk menerima dasar pelajaran percuma, penghapusan hutang PTPTN, hapus AES, menurunkan harga minyak, menghapuskan tol, mengurangkan kadar letrik dan apa-apa saja janji yang mahu mengurangkan kos sara hidup kerana ianya melibatkan maruah tuan-tuan dan nasib masa depan negara. Tuan-tuan rela menjadi orang susah untuk mengelakkan negara menjadi bengkerap. Syabas kami ucapkan diatas sikap tuan-tuan yang patriotik itu, demi negara.

Sebenarnya mereka tidak tahu mengurus ekonomi negara, sebab tidak ada pengalaman. Bagi kami, menguruskan negara sudah menjadi darah daging, kami tahu dan mahir melakukannya.

Jika mereka diberi kepercayaan , sekali lagi saya ingatkan,   negara akan jadi bengkerap. Akan berlaku skandal kewangan. 

Mereka tidak berhenti-henti memperkatakan kami melakukan skandal kewangan dengan membangkitkan kononnya kami melakukan rasuah dalam berbagai bentuk, pengaliran keluar wang haram, salah guna kuasa dan memberi keutamaan kepada beberapa orang dalam sesuatu projek sama ada kontrak atau konsessi. Konon katanya negara kehilangan wang berbilion-bilion ringgit.

Mereka ada bukti ke tentang dakwaan mereka itu? 

Yang kami tahu mereka menggunakan laporan dari pihak asing. Apa maknanya itu? Maknanya mereka telah digunakan oleh pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan. Dimanakah sifat patriotik mereka?

Sekiranya ada, bukti kita  ada pihak berkuasa yang boleh menjalankan penyiasatan dan dakwaan. Dan kita ada mahkamah untuk membicarakan sebarang dakwaan. Tapi , setakat sekarang kami masih lagi bebas dari dakwaan itu. Bermakna tidak ada bukti. Ianya hanya rekacipta mereka saja untuk mengelirukan rakyat agar rakyat menentang kerajaan. 

Yang selalu juga mereka sebut ialah projek lembu dan kapal selam scorphene. Mereka dah tak ada modal dan isu lagi. Sebab, jika projek ini ada masalah sudah tentu pihak yang berkuasa akan melakukan siasatan dan dakwaan.      

Kalaupun benar dakwaan mereka, jumlah wang yang hilang yang dikatakan berbilion itu tidak akan dapat mengatasi jasa dan bakti yang telah kami curahkan.

Mereka juga mendakwa kerajaan mencampuri dalam hal-hal pilihanraya, penyiasatan dan dakwaan bahkan sehingga perbicaraan dimahkamah. Sekali lagi kami bertanya, 'boleh ke kita percaya dengan dakwaan mereka?'

Tuan-tuan usah percaya. Semua itu tidak betul. Yang betulnya ialah mereka gila kuasa berbanding dengan kami yang telah lebih 55 tahun berkuasa.

Dengan itu kami dengan rendah diri sekali lagi memohon maaf diatas sedikit kelemahan kami dan berjanji akan memberi perkhidmatan yang terbaik, jika dipilih sekali lagi. Ketika ini kami sedang melihat dan mendengar dengan begitu rapi dan teliti serta membaca setiap isyarat yang diberikan oleh rakyat sebelum kami membubarkan parlimen. Kami percaya dengan rayuan ini, rakyat akan memberi isyarat yang positif. Berilah semangat dankekuatan kepada kami, dan jangan terpengaruh dengan cerita pembangkang sebab mereka masih mentah tapi gila kuasa.

Undilah kami, BN. Maksudnya Barisan Nasional, bukan Barang Naik.  

Dengarlah rayuan dari hati nurani kami, tolonglah kali ini saja. 

 

 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan