Theflowersellingboy

Rabu, 6 Mac 2013

PENGUASA ISTANA Lego

Istana Lego menjadi idamannya. Dia tahu bahawa sejarah telah merakamkan bahawa semenjak dulu-dulu lagi istana itu mudah saja dikuasai oleh sesiapa yang mempunyai nafsu untuk menguasainya. Asal usul keturunan tidak penting. Yang penting jika Dia dapat mengadakan pakatan dengan orang dalam istana yang dipanggilnya sebagai macai-macai, untuk melakukan gerakan menjatuhkan penguasa diraja. Kerja berpakat dengan macai-macai ini adalah sesuatu yang amat mudah, sejarah merakamnya begitu.

Istana Lego sudah banyak kali tukar penguasa. Semuanya dengan kerjasama macai-macai dalam istana itu. Sejarah mencatatkan antara macai-macai yang terkenal ialah Si Kitol dan Raja Mandaliar. Mereka yang dua ini sungguh cekap menjalankan peranan bagi melemahkan penguasa istana. Sesiapa saja yang bernafsu untuk menjadi penguasa istana, boleh berpakat dengan dua macai ini, dijamin istana akan mudah dikuasai.

Si Kitol dan Raja Mandaliar sudah tidak ada lagi. Tapi keturunannya masih berpanjangan sehingga kini. Keturunannya ini akan melakukan perkara yang dulunya dilakukan oleh Si Kitol dan Si Raja Mandaliar ini iaitu buat macam-macam fitnah dan kerenah semata-mata untuk melemahkan penguasa istana. Malah keturunan ini telah bersumpah akan melakukan perkara yang sama selama-lamanya, selagi hayat di kandung badan.

Dia tahu, Dia juga ada bau-bau bacang dengan keturunan dua macai ini. Jadi darah yang mengalir mempunyai nafsu yang sama. Ini memudahkan lagi bagi Dia mengaturkan 'game plan' nya bagi menguasai istana lego.

Tapi Dia perlu semak diri Dia dengan lebih terperinci lagi. Adakah Dia menepati spesifikasi sebagai penguasa istana lego. Lihat fizikal dulu. Maka Dia berdiri dihadapan cermin. Cermin yang menampakkan fizikalnya dari hujung rambut sehingga ke tumit kaki.

Bahagian kepala, semuanya beres. Cuma Dia picit-picit hidungnya yang mancung.Wah terasa ada sedikit lebih berbanding penguasa yang ada. Tangannya, tidak ada masalah. Hanya bulu tangan ada sedikit lebat. Kaki dan ke bawah, pun tidak ada cacat cela. Warna kulit, biasa-biasa saja dan boleh diterima oleh macai-macai istana.

Dia menari gembira di hadapan cermin kerana Dia telah menepati spesifikasi sebagai seorang penguasa yang boleh diterima oleh macai-macai istana. 

"Aduhai aku akan jadi penguasa istana lego tidak lama lagi". 

Dia ketawa terbahak-bahak sehingga isteri yang berada didapur bersama dengan  si perempuan tukang masak, dapat mendengar ketawanya itu. Isterinya cepat-cepat mahu tahu apakah sebab Dia terlalu gembira.

"Awat suka sangat. Menari seorang ,tak ajak kita sama".

"Come on darling, let's dance together". Dia membuka dan mendepa tangannya. Dia menyanyi ikut irama dan lirik sendiri-sendiri.

"Istana lego akan jadi milik kita
macai-macai istana telah setuju bersama kita
untuk jatuhkan penguasa yang ada. 
macai-macai tidak ambil kisah
siapa kita atau keturunan kita. 
Asalkan kita beri mereka upah , semua bisa diatur".

Dia dan isteri terus menari, berdakapan begitu erat sekali atas ransangan untuk menaklukki istana lego. Dia terus berkata.

"Kita mesti buat hanya dua perkara untuk berjaya. Pertama buat cerita bohong dan fitnah ke atas penguasa istana yang ada. Kedua, laga-lagakan macai-macai itu. Tapi kita mesti kelihatan sebagai menyokong semua macai-macai itu dengan memberi sedikit upah supaya mereka mengenang budi kita. Biar mereka sentiasa mengharap kepada kita. Jangan lupakan mereka".

Isteri Dia pun suka bukan main lagi sebab akan dapat duduk dalam istana lego tidak berapa lama lagi. Suami  jadi penguasa, isteri berkuasa atas penguasa. 

"Seronoknya kekanda. Cepatlah jadi raja. Kita boleh masuk istana Lego".   

"All right, tapi pergi ke dapur dulu. Nanti si Fidah tukang masak makan terlebih dulu".
 
        

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan